smkakl6
smkakl6

Sedekad kendali koperasi sekolah SMKAKL, Cikgu Siti Rohani bantu terap aspek keusahawanan kepada pelajar

Nor Azma  Muhamat Laila
13 Jul 2021 05:43pm
A
A
A

Minat pelajar dalam bidang keusahawanan seharusnya dipupuk dari bangku sekolah lagi supaya negara dapat melahirkan lebih ramai generasi muda yang berjiwa usahawan.

Sudah tentunya di sekolah, pelajar telah mendapat pendidikan secara formal mengenai bidang perniagaan melalui mata pelajaran seperti Ekonomi dan Perdagangan di peringkat sekolah menengah.

Meskipun begitu, ia lebih terarah kepada teori manakala aspek praktikal tidak dapat diterapkan secara aktif kerana kekangan masa pembelajaran di sekolah apatah lagi ketika ini negara dilanda pandemik Covid-19 yang tidak berkesudahan.

Selain dua mata pelajaran berkenaan, sedar atau tidak, penubuhan koperasi sekolah adalah salah satu cara untuk membantu menerapkan aspek keusahawanan dalam diri pelajar yang lebih menjurus kepada aktiviti praktikal.

Bagi Guru Kanan Kemanusiaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL), Cikgu Siti Rohani Mat Nor, yang menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Belian dan Jualan Koperasi SMKAKL Berhad, peranan itu membuka peluang kepada dirinya untuk memupuk minat berniaga dalam kalangan pelajar.

Pengetua SMKAKL (dua dari kanan), Azman Yusof bersama Cikgu Siti Rohani semasa program menghargai guru dan pelajar yang terbabit dalam Koperasi SMKAKL Berhad.

Menurut beliau, sokongan perlu diberikan kepada pelajar yang berminat menceburi dunia perniagaan sama ada secara fizikal atau dalam talian kerana bidang itu bukan saja mampu menjana pendapatan tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.

"Jika melihat dari sudut pandang saya sebagai seorang guru koperasi pula, minat dalam bidang perniagaan diterapkan dalam diri pelajar yang menjadi Ahli Lembaga Koperasi (ALK) SMKAKL.

"Ini kerana, mereka berpeluang terbabit dalam pelbagai aspek praktikal ketika bertugas di koperasi sekolah termasuklah jual beli, proses mengira stok, berkomunikasi dengan pelanggan yang terdiri daripada pelajar, guru dan ibu bapa serta membuat hebahan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan koperasi," katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Terap minat berniaga

Cikgu Siti Rohani yang sudah lebih sedekad lalu menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Belian dan Jualan Koperasi SMKAKL Berhad berjaya membantu sekolah meraih beberapa anugerah termasuklah Guru Cemerlang dan Terbilang Koperasi Angkasa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018 dan Anugerah 10 Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018.

Koperasi SMKAKL yang dipengerusikan oleh Pengetua, Azman Yusof juga berjaya meraih Anugerah Koperasi Cemerlang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2018 dan Anugerah Perolehan RM1 Juta di Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah 2019 Peringkat Kebangsaan apabila merekodkan hasil jualan sebanyak RM1.3 juta.

Berkongsi mengenai pelbagai aktiviti yang dianjurkan Koperasi SMKAKL Berhad dalam memberi pendedahan mengenai bidang keusahawanan kepada pelajar, Cikgu Siti Rohani menjelaskan pihak sekolah memberi peluang kepada ALK untuk terbabit secara langsung dalam pelbagai aktiviti yang dikendalikan koperasi.

Cikgu Siti Rohani (kanan) bersama Pengetua SMKAKL, Azman Yusof dan rakan pendidik yang lain.

"Aktiviti keusahawanan ini tidak terhad kepada aspek jual beli di dalam koperasi sekolah saja sebaliknya ALK diberi peluang merasai sendiri pengalaman menguruskan pelbagai aktiviti di luar kelas dan juga luar sekolah.

"Contohnya ialah penganjuran Program Muqayyam Huffaz yang diadakan setiap tahun bagi melatih pelajar menghafaz al-Quran kerana melalui aktiviti sedemikian, mereka didedahkan cara berkomunikasi dengan hotel atau resort untuk tempahan penginapan, aspek kewangan dan pemasaran untuk mendapatkan peserta," jelas beliau.

Selain aktiviti jual beli, Koperasi SMKAKL Berhad turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain bagi melatih pelajar dalam dunia perniagaan termasuklah studio foto, dobi, seminar menjawab soalan peperiksaan dan membekal peralatan sukan.

Beralih kepada digital

Mengulas mengenai perkembangan dunia perniagaan yang semakin banyak beralih kepada pendigitalan iaitu secara dalam talian, Cikgu Siti Rohani berpendapat sudah tiba masanya koperasi sekolah mula mengadaptasi konsep berkenaan.

"Mengambil kira cabaran yang dihadapi Koperasi SMKAKL Berhad dalam meneruskan operasi ketika tempoh pandemik ini, pihak sekolah juga turut menjalankan proses jual beli secara dalam talian berdasarkan kehendak pelanggan.

"Meskipun begitu, perniagaan dalam talian itu cuma terhad kepada perkhidmatan tertentu saja buat masa ini iaitu membabitkan jualan buku dan pakaian asrama saja," ujar guru Bahasa Melayu itu.

Cikgu Siti Rohani berkata, pelajar yang berminat menceburi bidang perniagaan terutama secara dalam talian perlu mempunyai asas keusahawanan supaya mereka tidak kecundang di tengah jalan atau mengabaikan pelajaran masing-masing.

"Mahu atau tidak, mereka perlu mempunyai pengetahuan asas dalam dunia perniagaan seperti aspek jual beli, cara menguruskan kewangan, memasarkan produk sama ada secara fizikal atau dalam talian dan berkomunikasi dengan pelanggan serta pembekal.

"Saya menyokong sekiranya ada pelajar saya yang memilih untuk menjalankan perniagaan dalam talian tetapi dalam masa yang sama, suka saya mengingatkan supaya bijak menguruskan masa agar tidak mengabaikan pelajaran dan sentiasa amanah dalam urusan jual beli," katanya.

INFO

1) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL) atau nama asalnya Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL) ditubuhkan pada 1 Januari 1988.

SMKAKL menjadi satu-satunya Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Kuala Lumpur.

2) Pendaftaran pelajar sulungnya telah diterima secara rasminya oleh Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan ketika itu, Badiah Abdul Manan.

Pada awal penubuhan, pelajar lelaki sekolah ini ditempatkan di Sekolah Menengah (SM) Wangsa Maju, Seksyen 2, Wangsa Maju, Setapak, Kuala Lumpur manakala pelajar perempuan pula ditempatkan di SM Puteri Wilayah, Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

3) Selepas lima tahun ditubuhkan, pelajar SMAKL dipindahkan ke bangunan sendiri yang terletak di Bandar Menjalara, Kepong.

4) Pada 2 Januari 2014, SMKAKL merupakan salah sebuah sekolah SMKA dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang akan melaksanakan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA).

5) Baru-baru ini, SMKAKL mendapat Anugerah Lonjakan Saujana apabila mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dan 36 pelajarnya mendapat semua A bagi mata pelajaran yang diambil.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok