WhatsApp Image 2021-06-22 at 8.53.14 AM
WhatsApp Image 2021-06-22 at 8.53.14 AM

Sempena 21 tahun penubuhan, USIM sambut ulang tahun bersama warga universiti secara maya

Roshlawaty Md Raieh
22 Jun 2021 12:49pm
A
A
A

NILAI – 18 Jun lalu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah meraikan 21 tahun penubuhannya dalam suasana norma baharu.

Walaupun negara masih berdepan dengan penularan pandemik Covid-19 dan kini dalam lockdown, ia tidak menghalang USIM untuk berkreativiti menyambut ulang tahun penubuhannya bersama warga universiti dan alumni secara maya.

Memandangkan 18 Jun adalah pada hari Jumaat, majlis sambutan secara maya itu dimulakan dengan Majlis Bacaan Yasin Perdana yang disertai pengurusan universiti, kakitangan, mahasiswa dan alumni menerusi aplikasi Zoom dan siaran di Facebook USIMTV.

Kemudian, beberapa program iringan lain turut diadakan antaranya pelancaran laman sesawang USIM Virtual Campus Tour (VCT); bacaan doa khas USIM 21 Tahun; program Dialog Kepimpinan Alumni anjuran Pusat Alumni dan Kerjaya; Khutbah Khas Solat Jumaat USIM 21 Tahun oleh Pusat Islam dan Wacana Ilmiah Naratif Masa Depan: Memilih atau Dipilih anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar USIM.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapan khasnya, mengajak warga kampus mengimbau sejarah penubuhan USIM yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

Dr Mohamed Ridza mengajak warga universiti menghayati sejarah penubuhan USIM oleh kerajaan.

Katanya, hasrat penubuhan KUIM ketika itu adalah selaras dengan manifestasi kerajaan untuk melahirkan pemimpin Islam yang berwibawa dan dapat memelihara kepentingan negara dan umat Islam sepenuhnya.

“Selain itu ia berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai model utama negara-negara Islam di dunia dan menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dengan menggunakan kurikulum tempatan untuk memastikan keutuhan Islam dalam negara demi merealisasikan pembinaan tamadun baru Islam,” kata beliau.

Tambahnya, USIM telah melahirkan 25,269 alumni yang membawa nama USIM di serata pelusuk dunia.

“Dikesempatan ini, saya ingin menyingkap beberapa pencapaian signifikan dan berimpak sepanjang 21 tahun penubuhan USIM antaranya 82% program pengajian yang ditawarkan oleh USIM telah memperolehi akreditasi penuh (Full Accreditation) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan USIM memperolehi penarafan lima bintang dalam Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Malaysia (SETARA) 2018/2019.

“Kejayaan besar lain antaranya USIM berjaya mencapai penarafan 4 Bintang dalam Penarafan Bintang Malaysia Research Assessment (MyRA) 2020 untuk bidang penyelidikan dan inovasi, USIM melalui Program Empowering Youth for Drug-Free Community (EYDFC) telah diumumkan sebagai finalis di International Green Gown Awards 2021 (IGGA) dan yang terbaharu, Program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah telah menerima pengiktirafan penuh oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia,” ulasnya.

Terdahulu, tarikh 18 Jun setiap tahun dipilih sebagai tarikh rasmi menyambut ulang tahun penubuhannya dengan mengambil tarikh kemasukan 255 kumpulan pelajar pertama di universiti ini pada 18 Jun 2000.

Sejak dari tarikh tersebut, USIM terus mengorak langkah dalam mencapai kemajuan menjadi universiti yang kompetitif setaraf dengan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) lain di Malaysia.

Sambutan ulang tahun USIM dlihat sebagai satu manifestasi kebersamaan warga USIM kekal bertahan disebalik semua kekangan dan kekurangan yang perlu ditempuhi dari awal usia penubuhannya hingga sampai ke tahap ini.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok