IDA-SINARBESTARI-2022(4)
IDA-SINARBESTARI-2022(4)

Sukan piring terbang tambat hati Nuraida. Tiada pengadil, ikut naluri semangat kesukanan atlet

nadzarul.amir
21 Nov 2022 11:54am
A
A
A

Pergerakan tubuh badan Nuraida Abd Khalid ketika melempar piring terbang kelihatan cukup elegan di atas padang.

Wanita yang berkhidmat dalam industri perbankan itu mula 'jatuh cinta' dengan sukan piring terbang sejak 17 tahun lalu sewaktu menghadiri minggu orientasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Sukan piring terbang atau lebih sinonim dengan panggilan ultimate frisbee merupakan permainan yang tidak memerlukan khidmat pengadil untuk mengadili perlawanan di atas padang.

Tidak seperti sukan lain, atlet ultimate frisbee perlu memahami peraturan dan menggunakan budi bicara untuk memastikan perlawanan berjalan lancar.

Keunikan tersebut antara daya penarik yang menjentik hati Nuraida atau lebih mesra dipanggil Ida Kaled untuk bergiat secara serius dalam sukan berkenaan sehingga bergelar atlet ultimate frisbee untuk kelab dan peringkat kebangsaan.

“Banyak sukan saya ikuti sejak di bangku sekolah seperti hoki, bola jaring dan balapan.

“Begitupun kelainan dan keunikan sukan ultimate frisbee menarik minat saya untuk terus aktif sehingga kini,” ujar wanita berusia 37 tahun itu.

Tambah Ida Kaled, disebabkan sukan itu tidak mempunyai pengadil untuk adili setiap perlawanan yang berlangsung, atlet sukan ultimate frisbee perlu mempelajari dan memahami bahasa tangan dalam memastikan kelancarannya.

Bahasa tangan

Dia memberitahu, antara bahasa tangan digunakan termasuk untuk memaklumkan kekasaran berlaku di padang, jaringan, kesalahan masa, ofsaid, masa tambahan, turnover dan banyak lagi.

Berbekalkan pengalaman selama 17 tahun, Ida Kaled berbangga kerana menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan wanita pertama menyertai kejohanan Asia Oceanic Ultimate & Guts Championships (AOUGC) di Shanghai, China pada 2019.

Dalam kejohanan sulung tersebut, pasukan kebangsaan wanita itu berjaya meraih anugerah Spirit dan pendedahan berharga di peringkat antarabangsa.

“Anugerah Spirit merupakan penghargaan kepada pasukan yang memiliki semangat kesukanan paling tinggi dalam kejohanan,” tuturnya yang turut meraih anugerah sama bersama kelab Black Widows pada kejohanan Kelab Terbuka Amerika Syarikat 2018 di Blaine, Minnesota, Amerika Syarikat (AS).

Mengulas mengenai pengalaman berentap bersama pasukan luar negara, dia berkata, terdapat perbezaan antara atlet-atlet dari AS dan negara Asia Tenggara.

“Atlet-atlet AS lebih lantang dan terbuka dalam menyuarakan pendapat mereka di atas padang berbanding atlet-atlet negara-negara Asia Tenggara,” katanya.

Rojaks Ultimate merupakan antara kelab yang aktif di dalam negara.

Komunikasi

Dia yang telah menjelajah lebih 10 negara termasuk Colombia menjelaskan, komuniti sukan ultimate frisbee masih berkembang di dalam negara berbanding AS dan Kanada.

Justeru, dia memberitahu, atlet-atlet dan penggiat sukan berkenaan lebih mesra serta membantu antara satu sama lain dengan sentiasa berkomunikasi.

Ida Kaled menambah, golongan remaja terutama mereka yang masih tercari-cari sukan yang ingin diceburi boleh mencuba ultimate frisbee dan boleh dapatkan maklumat terkini dengan melayari Persatuan Piring Terbang Malaysia (MFDA).

Artikel berkaitan 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok