DRON-APPS-UNSPLASH-SINARBESTARI-2023
DRON-APPS-UNSPLASH-SINARBESTARI-2023

Teknologi pertingkat penerbangan dron

nadzarul.amir
09 Jan 2023 08:42am
A
A
A

Penggunaan dron atau pesawat udara tanpa pemandu (UAV) berkualiti membolehkan pengendalian penerbangan dilakukan dengan baik.

Bahkan, ia memudahkan rakaman imej pegun mahupun video mengikut cita rasa juruterbang dron sehingga menterjemahkan kepada karya menakjubkan.

Dengan penggunaan teknologi pintar, ia dapat memberi kesan yang lebih menarik sekali gus memberi nilai tambah kepada hasil dirakam juruterbang dron.

Terdapat pelbagai kaedah untuk merancang dan mengatur penerbangan dron dalam memastikan mendapat hasil terbaik.

Salah satu daripada kaedah itu adalah memilih aplikasi-aplikasi yang ditawarkan di pasaran.

Tidak terbatas kepada mereka berkemahiran sahaja tetapi ia boleh digunakan penggemar dron yang baru berjinak-jinak dalam bidang berkenaan.

Pemilihan serta penggunaan teknologi pintar tersebut bergantung kepada keperluan para juruterbang dron.

Ia berikutan penggunaan dron semakin diminati hari ini terutama bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti rekreasi mahupun menjadikan juruterbang dron sebagai kerjaya.

Tahun lalu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut menyasarkan 100,000 peluang pekerjaan diwujudkan melalui industri dron.

Untuk itu, dalam membantu para pembaca, Sinar Bestari berkongsi tujuh aplikasi yang dapat meningkatkan penerbangan dan pengendalian dron.

1 AirMap

Memiliki ciri sesuai untuk juruterbang dron komersial mahupun rekreasi. Beberapa ciri canggih termasuk pemetaan dron, geo-pagar dan pengelongan penerbangan.

Walaupun baru berjinak-jinak dalam penggunaan peranti berkenaan, maklumat sekatan penerbangan berasaskan aplikasi lokasi penting bagi mereka yang menggunakan dron.

Aplikasi tersebut mempunyai maklumat tentang undang-undang UAV di lebih 20 negara. Ia amat berguna untuk juruterbang dron yang gemar melancong.

2 DJI Go

Tidak dinafikan, DJI merupakan antara nama pengeluar dron yang menguasai pasaran pengguna.

Justeru, tidak mustahil jika anda merupakan juruterbang dron rekreasi dan kemungkinan besar akan menerbangkan dron keluaran DJI.

Penggunaan dron jenama ini pastinya akan memilih aplikasi DJI Go kerana ia mampu mengawal kamera dan peranti terbabit.

Ia turut didatangkan dengan mod penerbangan, paparan definisi tinggi (HD) secara langsung, data penjejakan dan pengelongan, keupayaan suntingan serta perkongsian video.

3 Litchi

Aplikasi ini merupakan alternatif yang boleh digunakan kerana ia dikatakan antara terbaik di pasaran dan turut menawarkan beberapa ciri penjejakan autonomi menarik untuk merakam video.

Selain itu, Litchi turut dilengkapi mod Panorama, Orbit Me, Follow Me, Ground Station dan Waypoints, Virtual Realiti (VR) serta fokus.

4 UAV Forecast

Cuaca memainkan peranan penting dalam pengendalian dron. Oleh itu, UAV Forecast amat berguna kerana dapat memaklumkan tentang ramalan cuaca kepada juruterbang dron.

Dengan menggunakan aplikasi ini informasi dron perlu dimasukkan dan ia akan memaklumkan sama ada selamat atau tidak untuk terbang di sesuatu kawasan.

Ia akan memaklumkan tentang kelajuan, arah, suhu angin malah mampu mengetahui mengenai penglihatan awan terutama apabila cuaca akan hujan.

5 DroneMate

Aplikasi yang sangat baik dalam menentukan lokasi penerbangan sesuai kepada juruterbang dron.

Ia dipadankan dengan Google Maps untuk mencipta peta dunia yang menunjukkan tahap sekatan berbeza dan kelulusan penggunaan quadcopter.

Butang hijau yang terdapat pada aplikasi berkenaan memberi indikasi bahawa menerbangkan dron dibenarkan tanpa banyak gangguan atau prosedur birokrasi.

Apabila ada pin kuning pula, terdapat sekatan penggunakan dron dan perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu.

6 DroneDeploy

Merupakan pemodelan tiga dimensi (3D) dan pemetaan udara. Ia mampu menukar imej yang dirakam UAV kepada peta definisi tinggi merangkumi butiran seperti ketinggian rupa bumi dan tumbuhan.

Dengan menggunakan DroneDeploy, pengguna dapat melakukan prarancang laluan penerbangan automatik dan menukar rakaman imej ke dalam peta dua dimensi (2D) dan 3D.

7 Sun Surveyor

Ini merupakan perisian yang memberi maklumat terperinci mengenai kedudukan matahari dan bulan.

Sun Surveyor memudahkan mengetahui pencahayaan semula jadi dengan tepat sekali gus dapat membantu dalam rakaman ideal.

Artikel berkaitan

Teknologi dron dan cabaran masa hadapan

UTHM cipta rekod MBOR hasilkan dron kargo saiz besar pertama di Malaysia

Penyelidik cipta dron pelbagai fungsi, inovasi tingkat produktiviti pertanian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok