5 panduan pupuk minat murid-murid dalam bidang seni visual
5 panduan pupuk minat murid-murid dalam bidang seni visual

5 panduan pupuk minat murid-murid dalam bidang seni visual

Roshlawaty Md Raieh
17 Oct 2022 10:05am
A
A
A

Setiap murid mempunyai bakat seni yang tersendiri dan ia perlu dikembangkan dari semasa ke semasa bersama fitrah tumbesaran mereka.

Karya seni golongan cilik ini mampu menjadi jalan penghubung untuk berkomunikasi dengan individu di sekeliling mereka.

Hasil lukisan yang terhasil sama ada di atas kertas atau kanvas dapat menunjukkan apa yang ada dalam fikiran dan emosi mereka.

Menerusi karya tersebut, masyarakat dapat melihat pelbagai idea kreatif, unik dan tersendiri dalam lukisan itu.

Malah lebih jauh lagi, karya seni murid-murid ini mempunyai nilai komersil yang tersendiri.

Menyedari pentingnya ilmu berkaitan seni visual yang dapat menjana pendapatan lumayan, Guru Seni Visual yang juga pengasas Kelas Seni Kreatif Kanak-Kanak @ Sufi Kreatif di Proton City, Perak, Cikgu Mohd Firdhaus Hasraf Hassan telah berkongsi lima panduan bagi memupuk minat murid dalam bidang tersebut.

Untuk mengetahui lebih lanjut, jom ikuti panduan atau tip Cikgu Firdhaus ini seperti dikongsikan kepada wartawan Sinar Bestari, baru-baru ini.

1) Kenali kemahiran asas seni visual

Dalam bidang seni visual, elemen dan prinsip seni adalah pengetahuan asas yang penting. Kefahaman berkenaan garisan, bentuk, ruang, jalinan dan warna akan menentukan kualiti sesebuah karya. Sama juga dengan aspek keseimbangan, dominasi, hala tuju, harmoni, kontra dan penegasan sebagai prinsip rekaan.

Kefahaman ini boleh dicapai menerusi sesi bermain di antara anak-anak dengan ibu bapa di rumah.

Aktiviti seperti mengoyak kertas, menconteng, melakar, mencakar dan mencampuradukkan warna dapat meningkatkan kemahiran fizikal serta mental anak-anak.

Secara tidak langsung, anak-anak turut mengembara ke alam kreativiti sehingga terhasil karya seni visual mereka yang pertama.

2) Sertai bengkel seni lukis kanak-kanak

Kini sudah terdapat banyak bengkel seni lukis kanak-kanak yang dianjurkan sama ada secara berkumpulan atau perseorangan. Dengan yuran yang berpatutan, anak-anak dapat belajar secara teknikal untuk pengalaman melukis bersama kawan-kawan.

Guru Seni Visual yang baik akan memperkenalkan tajuk dan gaya lukisan yang kreatif seperti mengaplikasikan Potret Monalisa (Leonardo Da Vinci), Starry Night (Vincent Van Gogh), The Scream (Edvard Munch) termasuklah karya-karya ikonik negara seperti Siri Pago-Pago (Abdul Latif Mohidin), Siri Gunung Ledang (Syed Ahmad Jamal), Siri Pertarungan (Amron Omar) dan banyak lagi. Semakin aktif anak-anak menyertai bengkel seni, semakin banyak karya yang mereka hasilkan dan dapat dijadikan koleksi peribadi yang boleh diburu golongan pengumpul karya seni kelak.

Ibu-bapa boleh menyediakan aktiviti seni visual di rumah secara santai dan menyeronokkan.

3) Aktif sertai pertandingan melukis dan mewarna

Pertandingan melukis dan mewarna banyak manfaatnya. Bagi membina minat anak-anak dalam bidang seni lukis, pertandingan yang disertai dapat memberikan keseronokan dan keghairahan untuk menunjukkan bakat semula jadi.

Namun harus difahami bahawa menyertai pertandingan bukan untuk mencari kemenangan semata-mata. Pengalaman dan keseronokan sokongan ibu bapa yang dirasai oleh anak-anak akan membantu mereka mengorak langkah lebih jauh dalam bidang ini. Menang atau kalah, sediakan hadiah untuk mereka. Semangat mereka akan lebih membara selepas itu.

4) Berkunjung ke galeri seni

Banyak galeri seni yang dibuka untuk pengunjung. Antara yang wajib dikunjungi adalah Balai Seni Negara di Kuala Lumpur, Galeri Petronas di KLCC dan banyak lagi di seluruh negara.

Di sana, pelbagai karya lukisan pelukis ternama dan baru dipamerkan. Anak-anak dapat melihat sendiri bagaimana sebuah karya seni visual yang lengkap dipamerkan sebagai satu keindahan yang dihayati.

Dengan pelbagai subjek, gaya lukisan dan bahan yang digunakan, nilai kreativiti yang ditunjukkan dapat menyampaikan maklumat bahawa kerja-kerja seni adalah tugasan yang mencabar tetapi menyeronokkan. Ia turut dapat dijadikan pendapatan lumayan.

5) Jual karya anak-anak di media sosial

Bermodalkan sebuah telefon pintar, gunalah pelbagai medium media sosial untuk mempromosikan hasil karya anak-anak.

Ibu bapa tentu terkejut jika ada pembeli yang berminat untuk membeli karya lukisan anak-anak yang kelihatan biasa, conteng-conteng atau cakar-cakar kerana sebuah karya Jackson Pollock dengan kaedah yang sama boleh terjual dengan harga jutaan ringgit.

Ibu bapa boleh mulakan dengan bercerita aktiviti seni lukis anak-anak secara santai di laman sosial. Karya yang siap boleh dikongsikan dan letakkan harga paling minima serendah RM50 sebagai contoh.

Bantu anak-anak hasilkan karya dengan kerap dan promosikan karya mereka dengan aktif dan berterusan. Aktiviti ini dapat membina jaringan maya pelukis dengan khalayak dan mungkin sangat bermanfaat bagi membina kerjaya jangka masa panjang sejak anak-anak berusia kecil lagi. Jika sudah ada pembeli, rangsang keghairahan anak-anak dengan bersama-sama bungkus karya tersebut. Bawa anak-anak ke kaunter pengeposan dan tunjukkan bagaimana sesebuah karya diposkan kepada pembeli sehinggalah wang jualan diterima.

Percayalah dengan usaha awal ini, anak-anak dapat membina minat yang mendalam dalam bidang seni visual. Tunjuk ajar dan pengalaman yang diberikan ibu bapa amat penting dalam mencorakkan masa depan anak-anak.

INFO

Bidang seni visual

Bidang ini menyediakan peluang kepada murid mengaplikasi kefahaman mereka untuk menghasilkan kerja seni berdasarkan asas seni reka dalam pelbagai teknik.

Proses penghasilan ini memberatkan pernyataan idea yang berkaitan dengan pernyataan kendiri, masyarakat dan nilai kenegaraan.

Bidang seni visual meliputi asas seni reka, seni halus (lukisan, catan, arca dan cetakan), komunikasi visual (seni grafik dan multimedia), reka bentuk (reka bentuk industri dan reka bentuk persekitaran) serta seni kraf tradisional dan dimensi baru.

Artikel berkaitan 

Kelas Seni Kreatif beri peluang kanak-kanak kembang bakat melukis

Ustaz Kartun dedah rahsia faham surah al-Quran, melalui 3 teknik ‘kartungogi’

3 guru Sabah hasilkan projek ‘Dau-Dau’, gembira diumumkan finalis anugerah inovasi di United Kingdom


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan