ustaz kartun
ustaz kartun

Ustaz Kartun dedah rahsia faham surah al-Quran, melalui 3 teknik ‘kartungogi’

Rasyidah Zulkifi
07 Oct 2022 02:56pm
A
A
A

Untuk memahami surah-surah dalam al-Quran tidak lagi sesukar dahulu dengan adanya kepelbagaian teknik yang kreatif dan canggih pada zaman ini.

Melalui lukisan kartun, semua lapisan masyarakat tanpa mengira had umur akan tertarik untuk mempelajari kalam ALLAH dengan lebih mendalam.

Menurut bekas guru di Maktab Mahmud Alor Setar, Kedah, Mohd Nasrullah Che Halim, 42, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kartun, teknik ini merupakan suatu inovasi dalam pengajaran al-Quran.

Ustaz Kartun mengajar murid-muridnya memahami isi kandungan al-Quran melalui teknik lukisan kartun.

“Saya mendapat idea kartungogi iaitu gabungan kartun dan pedagogi melalui pengalaman saya selama 12 tahun dalam bidang melukis watak dalam komik.

“Ilmu pedagogi pula saya dapat semasa menyambung Diploma Pendidikan di Institut Perguruan Kampus Perlis.

“Dari situ, saya bawa kartun sebagai bahan bantu mengajar untuk menyampaikan mesej dan memudahkan kefahaman murid-murid mengenai al-Quran,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Ujarnya, apabila murid memberi tumpuan kepada membaca dan menghafal sahaja akan membuatkan surah yang dipelajari sukar difahami.

Selain itu, teknik pengajaran juga penting untuk memudahkan proses menghayati isi kandungan dalam al-Quran.

Murid-murid tertarik dengan teknik pembelajaran kartungogi.

“Dalam kartungogi, terdapat tiga teknik umum saya mahu jelaskan. Pertama, mulakan set induksi dengan melukis kartun berkaitan tajuk untuk menarik minat dan tumpuan murid terlebih dahulu.

“Kemudian, murid akan melukis langkah demi langkah bersama saya. Lukisan tidak perlu cantik, yang penting mereka dapat faham apa yang dilukis.

“Teknik ketiga adalah sesi penerangan atau menjalankan pelbagai aktiviti berbentuk perbincangan, soal jawab, permainan dan nyanyian yang memberi ruang serta peluang untuk murid terbabit aktif bagi mencapai objektif pada akhir pengajaran,” tuturnya lanjut.

Kongsinya, kaedah ini sesuai untuk semua murid sekolah rendah dan menengah mengikut sukatan pelajaran masing-masing.

“Anak-anak berumur lima atau enam tahun pun boleh mengikuti teknik ini, sebagai pendedahan awal bagi menarik minat mereka agar seronok mempelajari al-Quran.

“Juga dalam kalangan orang dewasa, sebagai pengisian secara santai dalam program tadabbur dan berinteraksi dengan al-Quran.

“Besarlah harapan saya, semoga medium kartun dalam pendidikan ini dapat disebarkan lebih luas lagi pada masa hadapan,” katanya yang pernah mengemudi rancangan Ustaz Kartun dan Robojim selama 13 episod di saluran TVAlhijrah, tahun lalu.

Artikel berkaitan

Modul pengajian al-Quran untuk OKU ditambah baik, inisiatif KUIS dapat sokongan

Penghafaz al-Quran wajib ada 3 tip ini untuk kekalkan ingatan hafazan

10 tip pastikan anak suka mengaji al-Quran, mari amalkan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok