Dron semakin mendapat perhatian ramai

nadzarul.amir
10 Jan 2023 11:32am
A
A
A

Siapa tidak mengenali gajet atau alat teknologi yang semakin popular ketika ini yang dikenali sebagai dron.

Merupakan pesawat udara tanpa pemandu (UAV), dron boleh dikawal melalui alat kawalan jauh untuk pelbagai tujuan.

Jika dahulu dron hanya digunakan dalam ketenteraan bagi latihan tembakan anti pesawat dan dijadikan sebagai senjata namun melihat kepada perkembangan teknologi hari ini penggunaannya semakin meluas seperti penggambaran filem dan video, pemantauan trafik dan cuaca, pengawasan serta proses mencari juga menyelamat.

Malah, kemahiran pengendalian dron dilihat mampu membuka peluang pekerjaan baharu di negara ini berikutan kerjaya berkenaan semakin mendapat permintaan tinggi dalam pelbagai sektor antaranya sektor pertanian.

Ketua Jurulatih Dron, Drone Academy Asia, Lim Guang Ming.

Menurut Ketua Jurulatih Dron, Drone Academy Asia, Lim Guang Ming, mereka yang berminat untuk menceburi bidang pengendalian dron ini perlu menjalani latihan terlebih dahulu serta hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya sijil kelulusan daripada pihak yang diiktiraf iaitu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Katanya, sijil berkenaan bertujuan untuk membolehkan pengendali dron menjalankan operasi dron secara sah di negara ini.

Sijil RCoC-B

Guang Ming memberitahu, Drone Academy Asia adalah pusat pengendalian dron pertama yang diiktiraf dan diluluskan oleh CAAM di bawah Akta Peraturan 64 melibatkan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR 2016).

Melihat kepada konteks ini adalah penting untuk seseorang mendapatkan sijil kompetensi pengendalian dron terlebih dahulu jika ingin mengendalikannya secara sah dan menjadi seorang profesional.

Tambah Guang Ming lagi, Remote Pilot Certificate of Competency (RCoC-B) adalah sijil kompetensi yang dikeluarkan supaya pengendali dron mematuhi peraturan, memenuhi keperluan dan prosedur operasi serta menjalankan penerbangan dron dengan selamat.

“Untuk memperoleh sijil RCoC-B ini tidak sukar namun tidak mudah buat mereka yang pertama kali menceburinya.

“Ini kerana pengendali dron profesional mesti menjalani latihan secara teori dan praktikal terlebih dahulu serta wajib lulus peperiksaan bertulis dan praktikal.

“Dengan adanya sijil ini pengendali dron akan mendapat pengiktirafan dan kepercayaan daripada pihak berkuasa untuk mengendalikan dron mengikut undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Boleh digunakan untuk pelbagai sektor

Selain itu, mereka yang menerima sijil kompetensi ini boleh menceburi pelbagai sektor diminati serta boleh dijadikan sebagai satu kerjaya atau servis berbayar kepada industri yang memerlukan khidmat teknologi dron.

Guang Ming berkata, banyak sektor yang menggunakan dron sebagai alat bantuan selain ia digunakan untuk merakam video atau penggambaran filem.

Antara sektor yang menggunakan teknologi ini adalah pertanian bagi membantu memudahkan dan meringankan beban petani.

“Jika dilihat, ramai petani moden hari ini mula menggunakan dron sebagai alat penyembur racun kepada tanaman.

“Ini kerana sektor pertanian juga perlu bergerak seiring dengan penggunaan teknologi terkini bagi menggantikan kaedah penyemburan racun secara manual.

“Ia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan tenaga kerja malah terbukti mampu menjimatkan kos dan masa petani,” jelasnya.

Sebagai jurulatih yang telah berkhidmat selama empat tahun, Guang Ming turut berkongsi beberapa tip pengendalian dron kepada mereka yang berminat untuk mempelajarinya.

Ketahui risiko operasi dron

Pengendali dron perlu tahu dan cakna dengan peraturan-peraturan ditetapkan sebelum menerbangkan dron.

Ini termasuk risiko penerbangan di kawasan yang berangin dan hujan memandangkan keadaan tersebut akan menyebabkan lebih banyak kuasa dron diperlukan untuk melawan cuaca buruk sehingga mendorong kepada kerosakan.

Lakukan pra penerbangan dron

Semua pengendali dron walaupun seseorang itu sudah lama berkhidmat dalam bidang ini perlu menjalankan pra penerbangan terlebih dahulu sebelum meneruskan apa jua aktiviti menggunakan gajet ini.

Pemeriksaan perlu dilakukan dengan baik dan teliti bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Pastikan dron berada dalam jarak penglihatan visual

Buat mereka yang mengendalikan dron kali pertama hendaklah pastikan gajet tersebut masih boleh dilihat pada pandangan visual.

Ini kerana ia lebih selamat dan dapat mengelakkan sebarang kemalangan disebabkan panik dan gelabah jika dron diterbangkan jauh daripada pandangan.

Artikel berkaitan

Teknologi pertingkat penerbangan dron

Rakaman nadir dron tawan hati Mohd Die Shuhainie. Kerjaya juruterbang dron dapat permintaan

Kemahiran navigasi dron, aset masa depan. Dron medium baharu jana pendapatan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan