DRON-IKON-SINARBESTARI-2023
DRON-IKON-SINARBESTARI-2023

Rakaman nadir dron tawan hati Mohd Die Shuhainie. Kerjaya juruterbang dron dapat permintaan

nadzarul.amir
09 Jan 2023 10:28am
A
A
A

Sudut pandang lensa kamera menggarap penceritaan sesebuah karya yang ingin disampaikan kepada audiens.

Kreativiti dalam pemilihan sudut pandang menghidupkan sesebuah karya video mahupun imej pegun sehingga ia mampu menjentik hati khalayak.

Trend terbaharu hari ini, sudut pandang udara dengan menggunakan dron semakin mendapat tempat di hati para pengkarya yang ingin menampilkan rakaman nadir menakjubkan sekali gus memberi 'nyawa' kepada karya mereka.

Anak kelahiran Terengganu, Mohd Die Shuhainie tidak terkecuali terpikat dengan teknologi dron dalam menghasilkan karya terbaik untuk tatapan umum.

Lelaki berusia 42 tahun itu meninggalkan kerja kontrak sebagai juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam mengejar impian menceburi bidang dron secara serius.

“Saya mengenali teknologi dron pada 2016 dan ia sebagai hobi sahaja. Sebelum itu, saya menggunakan kamera untuk merakam momen menarik.

“Bagaimanapun, apabila cuba beberapa kali penggunaan dron, saya rasa lebih serasi dengan teknologi baharu tersebut sehingga menjadikan ia sebagai kerjaya sehingga hari ini,” katanya.

Pemandangan dari dron yang dihasilkan Mohd Die di terengganu baru-baru ini.

Kerjaya

Mohd Die memberitahu, hampir setahun dia berlatih mengemudi dan mengenali komponen-komponen pada gajet berkenaan.

Katanya lagi, latihan dilakukan setiap hari antara satu hingga dua jam untuk memahirkan diri dalam kawalan dron.

“Selain latihan berterusan, saya juga mengikuti media sosial tempatan dan luar negara untuk mempelajari sesuatu yang baharu bagi melancarkan lagi penerbangan,” ujarnya.

Dia menambah, semasa awal pembabitannya, ia masih lagi belum popular di negara ini malah perlu menyelami sendiri segala kemahiran.

Justeru, katanya, dia banyak mendekati komuniti dron melalui media sosial dan menyertai acara-acara yang dianjurkan untuk menimba ilmu sebanyak mungkin.

“Ilmu itu perlu dicari kerana masih belum ramai yang berkecimpung dalam bidang ini.

“Sebagai orang baharu, kita perlu untuk menuntut ilmu apatah lagi berkaitan teknologi yang kerap kali berubah-berubah mengikut peredaran masa,” katanya.

Mengendali dron perlu mengetahui garis panduan dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa. Gambar-Unsplash

Pengalaman

Tutur Mohd Die, dia terpukau dengan rakaman daripada udara apabila mula-mula mengenali teknologi tersebut.

Tuturnya, keserasian bersama gajet tersebut membulatkan hatinya meninggalkan terus kamera dimiliki.

“Kalau kita menggunakan kamera Digital Single Lens Reflex (DSLR) sudut pandang terhad. Bagaimanapun, dengan dron lebih meluas.

“Melalui sudut pandangan manusia, subjek kelihatan agak biasa tetapi apabila menggunakan dron sesuatu yang menarik dapat dilihat dari pandangan udara,” ujarnya lagi.

Mohd Die yang sudah berkecimpung selama enam tahun dalam industri dron telah terlibat dalam pelbagai iklan, drama, filem bersama syarikat-syarikat korporat termasuk jenama gergasi seperti Petronas dan Maxis.

Bahkan, dia merupakan antara tenaga yang terlibat dalam merakam detik menarik dron menerangi langit Menara Berkembar Petronas pada acara Cartier baru-baru ini dan pernah mengikuti Jelajah Raja Muda Selangor.

“Pengalaman menarik ketika mengendali dron adalah dapat mengenali dan mendekati sesuatu budaya.

“Selain itu, ia juga memberi kesempatan kepada saya untuk menghargai alam semula jadi,” katanya.

Sukan permotoran merupakan antara cabaran awal pembabitan Mohd Die dalam industri dron.

Dia memulakan karier pengendali dron dengan merakam sukan permotoran dan lasak berkata, penggambaran filem Peransang Rentap yang diadakan di Sarawak merupakan antara momen tidak dapat dilupakan kerana dapat mengenali budaya Iban malah pemandangan cukup mempesona.

Ujarnya lagi, mengemudi dron mengikut watak pahlawan-pahlawan sedang berlari dan bertarung di dalam hutan memberikan pengalaman baharu kepada dirinya.

“Selain itu, saya diberi kesempatan merakam bot besar di atas bot dalam keadaan bergoyang serta berombak.

“Pengalaman-pengalaman berkenaan tidak ternilai dan akan dijadikan kenangan terutama apabila saya mengajar kemahiran dron,” jelasnya.

Mohd Die memberitahu, dia turut berpeluang mengenali budaya upacara pengebumian Orang Asli di Pulau Carey, Selangor.

Tuntut ilmu

Mohd Die menambah, mereka yang ingin berkecimpung dalam industri dron terutama murid dan pelajar memerlukan minat serta kemahiran.

Katanya, ini kerana dron bukanlah peranti yang murah malah mereka perlu mengetahui segala garis panduan dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

“Mereka juga memerlukan kemahiran peka kepada keadaan sekeliling apabila mengemudi dron di ruangan udara kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Secara peribadi, saya akan melakukan pemantauan sehari sebelum menerbangkan dron untuk mengetahui destinasi yang ingin dirakam untuk memastikan laluan, apa yang patut dan tidak patut dilakukan semasa rakaman,” katanya lanjut.

Dia yang menyimpan impian untuk berkhidmat di Hollywood, Amerika Syarikat (AS), memberitahu, industri dron semakin berkembang di negara ini terutama melibatkan industri-industri pembinaan, pemantauan, keselamatan dan banyak lagi.

Artikel berkaitan

Kemahiran navigasi dron, aset masa depan. Dron medium baharu jana pendapatan

Teknologi pertingkat penerbangan dron

Mahasiswa UTeM menang pingat emas cipta dron pada WICO 2021


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok