DRON-SKIL-SINARBESTARI-2023 (1)
DRON-SKIL-SINARBESTARI-2023 (1)

Kemahiran navigasi dron, aset masa depan. Dron medium baharu jana pendapatan

nadzarul.amir
09 Jan 2023 09:01am
A
A
A

Rakaman video mahupun imej pegun dari sudut pandangan udara berupaya menarik perhatian audiens.

Apatah lagi apabila hasil karya berkenaan menterjemah momen sehingga mengusik jiwa khalayak umum.

Penggunaan teknologi dron merupakan antara medium terkini dalam merakam detik istimewa untuk dijadikan tatapan kepada khalayak umum.

Justeru, kemahiran juruterbang dron menjadi aspek penting dalam mengendali kamera dan dron dari sudut pandangan udara bagi penghasilan video mahupun imej pegun untuk pelbagai keperluan.

Juruterbang dron mengemudi pesawat udara tanpa pemandu (UAV) perlu memiliki kefahaman yang tinggi dari segi aspek teknikal dan praktikal untuk menerbangkan dron.

Muhammad Danial (kiri) dan Shahafnan (kanan) merupakan Tenaga pengajar bertauliah DJI Academy.

Tenaga pengajar bertauliah DJI Academy, Shahafnan Sulaiman berkata, terdapat beberapa industri yang mula mengorak langkah dalam penggunaan teknologi dron di negara ini.

“Antaranya termasuk industri pertanian, pemantauan, keselamatan, pembinaan dan seni kerana penggunaan dron mampu mengurangkan kos serta efisien.

“Selain itu, terdapat juga sekolah-sekolah yang mula menunjukkan minat dalam mempelajari teknologi dron DJI Tello dan RoboMaster untuk didedahkan kepada murid-murid mereka,” katanya yang mula berkecimpung dalam industri UAV sejak 2020.

Lelaki berusia 28 tahun ini yang memiliki pengalaman dalam pelbagai projek pemetaan Light Detection and Ranging (LiDAR) dan RGB memberitahu, minat merupakan aspek penting dalam mempelajari teknologi dron.

Katanya yang menyertai DronesKaki Professional pada akhir 2021 itu, jika ingin berkecimpung dalam industri dron, ia memerlukan semangat untuk mempelajari sesuatu baharu.

Shahafnan menegaskan, komuniti dron di negara ini tidak begitu besar dan perlu menjaga garis panduan yang telah ditetapkan pihak berkuasa agar tidak menjejaskan komuniti.

Dalam pada itu seorang lagi tenaga pengajar bertauliah DJI Academy, Muhammad Danial Mohammad Ridzwan menjelaskan, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) boleh mengikuti kursus seperti latihan juruterbang Sistem Kapal Udara Tanpa Pemandu (UAS), fotografi udara dan pemeriksaan UAS.

Graduan Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat berusia 25 tahun itu berkata, sijil kemahiran yang dimiliki boleh dijadikan nilai tambah pada masa depan malah boleh menjadikan industri dron sebagai kerjaya mereka.

“Kalau hendak mempelajari dron, keyakinan sangat penting tetapi tidak boleh terlalu yakin.

“Mereka juga perlu memiliki asas dalam penjagaan dron serta pemahaman mengenai perisian-perisian untuk memastikan penerbangan berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Untuk lebih kefahaman, Shahafnan dan Muhammad Danial berkongsi enam kemahiran yang perlu dimiliki untuk menceburi bidang dron bersama pembaca Sinar Bestari.

Pemikiran pantas

Juruterbang dron perlu memiliki daya pemikiran yang pantas dalam membuat sebarang keputusan dengan berkesan terutama apabila berdepan situasi tidak dijangka.

Mereka perlu menyelesaikan masalah mengenai peralatan mahupun perisian bagi menentukan punca masalah tersebut sekali gus mencari jalan penyelesaian terbaik.

Sebagai contoh, jika dron mengalami kerosakan ketika berada di ruang udara tindakan pantas adalah satu kemestian kerana ia boleh mengakibatkan kerosakan harta benda ataupun kecederaan kepada orang sekeliling.

Justeru, menjadi kelebihan sekiranya juruterbang dron memiliki pengetahuan mengenai komponen-komponen dron, perisian dan alat kawalan jauh.

Selain itu, sebagai individu yang baharu hendak berjinak-jinak dalam dunia dron, mereka perlu cekap dan memahami alat kawalan jauh kerana tidak boleh teragak-agak atau mempunyai sifat panik ketika mengendalikan gajet tersebut.

Analisis data

Memiliki kemahiran mentafsir dan memahami data merupakan salah satu perkara penting untuk menjadi juruterbang dron.

Kemahiran berkenaan sangat berguna kerana mereka akan menggunakan data-data daripada log penerbangan untuk membuat keputusan tentang lokasi dan sebagainya.

Kesedaran spatial

Ia merupakan keupayaan dalam memahami persekitaran sekali gus membolehkan kita bergerak dengan baik tanpa melanggar sesuatu objek di sekeliling.

Apabila memiliki kemahiran ini, ia dapat membantu ketika navigasi dron melalui pelbagai persekitaran termasuk di bandar, luar bandar, lautan ataupun hutan dengan selamat.

Selain itu, kemahiran berkenaan membolehkan juruterbang dron mengenal pasti halangan-halangan yang terdapat pada laluan dron.

Perancangan penerbangan

Kemahiran ini merupakan proses pelan penerbangan termasuk memilih lokasi sesuai, menentukan cara mengemudi dengan selamat dan mengenal pasti halangan yang mungkin mengganggu laluan penerbangan.

Perancangan penerbangan juga memerlukan perincian dan pengetahuan undang-undang tempatan. Selain itu, melalui kemahiran ini, para pengendali dron juga dapat mempertimbangkan faktor-faktor lain seperti cuaca, laluan, keselamatan yang mempengaruhi penerbangan untuk mengelak kemalangan.

Fleksibiliti

Juruterbang dron memerlukan kemahiran dalam menyesuaikan diri dalam keadaan yang berubah-ubah. Ia berikutan kemungkinan terdapat perubahan pada pelan penerbangan asal atau terpaksa menukar lokasi berikutan keadaan yang tidak dapat dielakkan.

Fleksibiliti juga membantu dalam navigasi tidak dijangka semasa penerbangan dan memastikan kekal tenang dalam situasi kecemasan.

Perisian

Bagi jenama DJI, ia boleh dibahagikan kepada dua perisian iaitu DJI Fly yang lebih kepada hobi manakala industri pula menggunakan DJI Pilot.

Juruterbang perlu menguasai kemahiran perisian untuk memudahkan penerbangan terutama apabila terdapat notifikasi pada paparan skrin alat kawalan jauh.

Begitupun, perisian berkenaan tidak sukar untuk dipelajari kerana mesra pengguna. Selain daripada perisian berkenaan, terdapat banyak lagi ditawarkan di pasaran dan anda boleh cuba mempelajarinya.

Artikel berkaitan

2 Jurutera Pengajar wanita dari UTeM kini pengendali dron profesional 

Penyelidik cipta dron pelbagai fungsi, inovasi tingkat produktiviti pertanian

Teknologi pertingkat penerbangan dron


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok