penganalisis jenayah kamal affandi
penganalisis jenayah kamal affandi

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi kongsi 7 tip elak diri daripada dibuli

Rasyidah Zulkifi
05 Sep 2022 12:21pm
A
A
A

Belum ada lagi penemuan dalam sejarah dunia yang membuli di sekolah terdiri daripada pelajar-pelajar junior, sebaliknya mereka yang melakukan hal itu adalah yang memegang status senior.

Pelaku ini melakukan penindasan terhadap golongan bawahan bertujuan untuk kelihatan gah dan supaya ditakuti di mata orang ramai.

Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, kelemahan yang dapat dilihat pada diri pembuli secara jelas adalah perbuatannya menjadi tontonan khalayak umum.

“Saya tidak menemukan lagi kes pembuli yang senyap-senyap membuli, itu dinamakan sebagai pembunuh bersiri.

“Buli ini dimulakan apabila si pelaku membuat percubaan untuk melihat bagaimana respons si mangsa buat kali pertama.

“Sekiranya yang dibuli terus berdiam diri, maka pembuli akan terus membuli, melainkan mangsa tidak langsung menunjukkan reaksi takut,” katanya ketika ditemu bual Sinar Bestari, baru-baru ini.

Sambungnya, sebelum kejadian buli berlaku di sekolah, pembuli akan menyenarai pendek mangsa daripada bilangan yang ramai dahulu.

“Selepas itu jumlah akan dikecilkan untuk melihat siapa yang ‘paling ayam’ (paling lembik) dan pelajar itulah yang akan menjadi mangsa buli.

“Saiz fizikal juga penting dalam kejadian buli kerana orang yang membuli disifatkan mempunyai saiz badan yang lebih besar atau memegang jawatan yang lebih tinggi daripada mangsa,” ujarnya.

Mengulas lanjut berhubung kes ini, walaupun pencegahan buli itu mustahak, sekiranya kes tersebut sudah pun berlaku, maka pemulihan wajar dilakukan.

“Misalnya mangsa seksual jika tidak dipulihkan, memberikan masa yang panjang untuk sembuh sendiri sehingga mengganggu kualiti kehidupan mereka.

“Ini kerana mangsa berasa peristiwa itu tidak mendatangkan keadilan terhadap dirinya sehingga ia boleh mencetuskan trauma berpanjangan atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD),” tuturnya lanjut.

Sehubungan itu, Kamal Affandi berkongsi tujuh tip untuk mengelakkan diri daripada dibuli.

*

BINA KEYAKINAN DIRI

TIP untuk ibu bapa, sebelum menghantar anak-anak ke sekolah berasrama atau berasingan daripada keluarga, bina keyakinan diri mereka bermula sejak kecil lagi. Cara ini dapat dilakukan dengan melibatkan anak ketika membuat keputusan dalam satu unit keluarga. Misalnya sekiranya ingin pergi bercuti, utamakan pandangan mereka untuk menentukan destinasi percutian kerana hal picisan sebegini akan menambahkan keyakinan anak untuk membuat keputusan. Apabila berseorangan tanpa ibu bapa, anak boleh membuat keputusan kerana keyakinan itu ada sekali gus memberikan respon yang bijaksana terhadap pembuli yang menindas.

BERJENAKA

ANDA boleh mengelakkan diri daripada dibuli dengan menggunakan kaedah berjenaka. Semasa pemangsa mendekati buat kali pertama untuk membuli dengan cara menyergah atau apa-apa, boleh disuraikan waktu itu juga dengan teknik ini. Perkara ini penting untuk mengeluarkan mereka daripada konflik tersebut atau ‘de-escalation of the conflict’.

TIDAK BERSEORANGAN

PELAJAR hendaklah bergerak dalam kumpulan dan mempunyai kawan supaya tidak bersendirian. Jika jalan berseorangan akan menyebabkan mangsa dibuli kerana tiada siapa yang akan membela.

MINTA MAAF

WALAUPUN tidak melakukan sebarang kesalahan, tidak salah jika kita yang mendahului permohonan maaf kepada si pembuli. Tip ini untuk meleraikan keadaan pada masa buli itu sedang berputik lagi.

MOHON PERTOLONGAN

PENTING untuk melaporkan kepada pihak berkuasa supaya ‘intervention’ dapat dilakukan serta-merta. Ini penting untuk mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku atau berlarutan. Maklumkan juga hal ini kepada ibu bapa dan guru jika kes buli di sekolah masih berada pada peringkat awal untuk mendapatkan pertolongan segera.

HUBUNGI TALIAN KHAS

BOLEH membuat laporan mengenai kes buli menerusi talian Nur 15999 yang beroperasi 24 jam atau talian khas aduan buli (03-88849352) yang baru diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

ILMU MEMPERTAHANKAN DIRI

PADA badan manusia ada zon-zon tertentu yang boleh digunakan bagi membatalkan serangan pembuli serta-merta dan memungkinkan mangsa melarikan diri seperti kemaluan dan solar plexus (ulu hati). Melihat kepada seksyen 100 kanun keseksaan, seseorang boleh mengambil apa-apa tindakan yang dilanjutkan walaupun boleh membawa kematian kepada penyerang.

Salah satunya dalam serangan bertujuan rogol atau liwat. Mangsa boleh mendapatkan perlindungan di bawah seksyen ini yang membawa maksud anda boleh menendang, menumbuk, menggenggam apa sahaja untuk menyelamatkan diri walaupun itu boleh menyebabkan pelaku mati atau cedera parah sepanjang hayat. Tiada istilah kasihan kepada pelaku kerana undang-undang membenarkan. Dalam keadaan ini, ilmu mempertahankan diri berbeza dengan sukan mempertahankan diri.

Artikel berkaitan 

7 tip menjadi atlet silat yang berjaya 

5 tip pemula selam skuba 

7 tip hayati kemerdekaan cara Ustaz Quszaini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan