1081464
1081464

UMK, Universitas Telkom kukuhkan kerjasama

Nor Azma  Muhamat Laila
12 Jun 2021 05:14pm
A
A
A

BACHOK - Berikutan pandemik Covid-19, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antarabangsa dengan Universitas Telkom (UT), Indonesia secara dalam talian bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua universiti dalam bidang akademik dan kepakaran penyelidikan masing-masing.

Majlis menandatangani MoA telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Arham Abdullah dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UT, Dr Bambang Setia Nugroho yang turut disaksikan Dekan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT) UMK, Prof Madya Dr Noor Azlina Ibrahim serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Hubungan Akademik UT, Dr Mamat Rokhmat.

Melalui MoA tersebut, Dr Arham berkata, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan dalam kerjasama penyelidikan dan pembangunan, termasuk perundingan yang melibatkan perancangan kerjasama strategik berhubung projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kepakaran inovasi yang menjadi daya saing kepada kedua-dua institusi.

Katanya, kerjasama itu turut membabitkan pertukaran maklumat dan perkongsian penerbitan akademik, ilmiah bagi tujuan pengajaran serta pembelajaran dan penyelidikan.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UT, Dr Bambang Setia Nugroho menandatangani MoA bagi pihak UT.

“Selain itu, perjanjian kerjasama ini akan dimanfaatkan bagi pertukaran pelajar dan staf untuk melanjutkan pengajian, menjalankan penyelidikan dan perundingan serta penempatan dan latihan bagi mendapatkan pendedahan, meningkatkan kepakaran, profesionalisme dan pembelajaran sepanjang hayat.

“UMK dan UT juga akan mengatur aktiviti bersama seperti pameran, ceramah, seminar, bengkel dan kerja lapangan dengan memberi tumpuan dalam bidang tuju yang telah dipersetujui,” katanya dalam ucapan mewakili Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail.

Tambah beliau, melalui MoA itu, UMK berharap kolaboratif kali ini menjadi tali ukur kekuatan untuk meningkatkan hasil pembangunan penyelidikan yang berimpak tinggi khususnya dalam bidang teknologi bahan yang melibatkan FBKT UMK dan dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FTE), UT.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok