Untitled (4)
Untitled (4)

UniKL RCMP anjur ICPHS 2021, sedia platform perbincangan berkaitan bidang farmasi dan sains kesihatan

Nor Azma  Muhamat LailaNor Azma  Muhamat Laila
09 Sep 2021 05:27pm

Bagi membincangkan mengenai persediaan dan cabaran dalam bidang farmasi serta sains kesihatan, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) menganjurkan 3rd International Conference of Pharmacy & Health Sciences 2021 (ICPHS 2021), baru-baru ini.

Bertemakan Modern Research, Innovation and Practice: The Need of the Hour, persidangan itu menyediakan platform kepada ahli akademi tempatan dan antarabangsa, penyelidik, profesional dalam bidang penjagaan kesihatan dan pelajar untuk bertukar idea, ilmu dan kepakaran dalam bidang farmasi dan sains kesihatan.

ICPHS 2021 yang dianjurkan oleh Fakulti Farmasi dan Sains Kesihatan UniKL RCMP dengan kerjasama Universitas Airlangga, Indonesia, dan Adichunchanagiri University, India, itu pertama kalinya diadakan secara maya.

Interaksi bersama dalam persidangan kali ini dijangka membawa kepada kerjasama jangka masa panjang antara institusi, industri, sektor penjagaan kesihatan di Malaysia khususnya dan negara-negara luar amnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Datuk Dr Roziah Omar, hadir menyampaikan ucapan alu-aluan di persidangan berkenaan yang dirasmikan oleh Pengerusi UniKL RCMP, Datuk Dr Afifi al-Akiti yang juga Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia.

Roziah berkata, persidangan kali ini menekankan pentingnya penyelidikan dan inovasi dalam bidang sains kesihatan agar dunia lebih bersedia dalam menangani sebarang bahaya yang ada pada hari ini dan masa depan sekali gus menjamin kesihatan dan kesejahteraan manusia sejagat.

Menurut beliau, bahaya yang dimaksudkan termasuklah penyakit yang masih belum dapat dikesan dan masyarakat perlu tahu bahawa persekitaran dan cara hidup manusia pada hari ini sangat berkait dengan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit ini.

"Dalam usaha menjadi masyarakat yang lebih bersiap sedia menangani penyakit di masa depan yang tidak diketahui, kita mesti belajar daripada Covid-19 ini.

"Oleh itu, kunci kejayaan dalam menangani bahaya kemunculan penyakit di masa depan ialah dengan bekerjasama sepanjang penyelidikan dilakukan bermula daripada saintis yang menemui idea kepada pencipta inovasi yang membawanya ke dalam ekonomi, masyarakat dan individu yang menggunakan produk ini dalam kehidupan seharian," kata beliau.

Ujar beliau lagi, dalam menangani cabaran kesihatan di masa depan, masyarakat tidak harus melupakan sumbangan golongan profesional dalam bidang kesihatan, petugas barisan hadapan, doktor, ahli farmasi, dan jururawat yang banyak mengurus, merawat dan memberikan ubat atau penemuan vaksin baharu kepada pesakit dan masyarakat.

"Profesional lain seperti ahli fisioterapi dan kakitangan diagnostik turut memainkan peranan dalam melengkapkan rawatan kepada pesakit.

"Sehubungan itu, saya menggalakkan semua orang untuk sama-sama memikirkan bagaimana kita dapat membuat perubahan di dunia ini dan bekerjasama untuk membantu kesihatan serta kesejahteraan generasi akan datang," tutur beliau.

Selain ucaptama daripada Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, peserta persidangan turut bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri perkongsian daripada panel terkenal iaitu Penyelidik Utama (Pembangunan Vaksin Oxford COVID-19), Jenner Institute, Universiti Oxford, Profesor Teresa Lambe yang bertajuk The Oxford Vaccine: From the Lab to the Global Community.

Lambe berkongsi bagaimana vaksin Covid-19 Oxford dihasilkan dengan kerjasama Astra-Zeneca yang kemudian diedarkan dengan harga yang sangat rendah untuk vaksinasi membabitkan 160 negara di enam benua.

Hingga kini, lebih 200 juta individu menerima vaksin berkenaan dalam program vaksinasi yang dibuat di seluruh dunia malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberikan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan vaksin Oxford, yang sudah dibekalkan ke 100 negara melalui kemudahan COVAX.

ICPHS 2021 telah berjaya menarik ratusan peserta lebih dari 10 negara yang merangkumi Amerika Syarikat, Australia, Perancis, India, Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Singapura, Ukraine, Republik Mauritius, Republik Seychelles dan Malaysia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp