TNC AA ketika berucap di Majlis Simbolik Penerimaan Mahasiswa Baharu Diploma
TNC AA ketika berucap di Majlis Simbolik Penerimaan Mahasiswa Baharu Diploma

UniMAP terima 427 pelajar baharu diploma

Nor Azma  Muhamat Laila
11 Aug 2021 07:06pm
A
A
A

PAUH PUTRA - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima 427 pelajar baharu diploma bagi sidang akademik 2021/2022 yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Ir Dr Mohd Rizal Arshad, buat masa ini UniMAP akan menggunakan proses pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan berharap pelajar boleh beradaptasi ke persekitaran maya.

“Sebagai sebuah universiti awam yang kini sudah berusia 20 tahun, UniMAP sangat mementingkan kebajikan para pelajar.

“Pihak UniMAP juga akan memastikan segala keperluan para pelajar dapat dipenuhi dari semasa ke semasa supaya dapat meningkatkan kualiti dan bermotivasi dalam pembelajaran untuk mengekalkan kecemerlangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Simbolik Penerimaan Pelajar Baharu Diploma Sidang Akademik 2021/2022.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Ir Dr Mohd Rizal Arshad.

Tambah beliau, pelbagai usaha telah diambil bagi memastikan kebajikan para pelajar dijaga antaranya bantuan melalui Insentif Khas Kasih UniMAP yang telah dilancarkan pada bulan Julai tahun lalu yang mana manfaat bantuan melalui insentif ini telah banyak meringankan beban pelajar-pelajar UniMAP.

“Bantuan ini merangkumi bantuan komputer riba kepada pelajar yang kurang berkemampuan selain bantuan ‘foodbank’ dan baucar bantuan makanan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak untuk disalurkan kepada para pelajar yang berada di kampus,” kata beliau.

Beliau turut menasihatkan pelajar untuk berkongsi sekiranya menghadapi sebarang masalah dalam pembelajaran.

“Sekiranya pelajar mempunyai sebarang masalah atau kesulitan dalam pembelajaran, maklumkan kepada tenaga pengajar masing-masing supaya jalan penyelesaian dapat dicari.

“Tidak kira apa juga masalah yang dihadapi, pihak UniMAP bersedia untuk membantu mencari penyelesaian yang sewajarnya,”ujarnya lagi.

Untuk rekod, UniMAP baharu sahaja menyambut dua dekad penubuhannya pada 25 Julai 2021 lalu dan kini mempunyai hampir 14,000 pelajar pelbagai jurusan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok