pexels-thirdman-8926546
pexels-thirdman-8926546

UPSI teroka potensi guru hologram

Nor Azma  Muhamat Laila
30 Sep 2021 06:58pm
A
A
A

Revolusi Industri 4.0 telah menyaksikan pengautomasian melalui pengintegrasian mesin atau robot dengan internet dalam pelbagai bidang sebagai perwakilan manusia sebenar.

Mengadaptasi perkembangan ini, Revolusi Pendidikan 4.0 boleh mengoptimumkan penggunaan aplikasi agen pedagogi maya dalam persekitaran pembelajaran sebagai pengganti atau perwakilan guru sebenar di dalam kelas.

Antara aplikasi agen pedagogi maya yang berpotensi digunakan ialah seperti guru hologram di mana, penggunaan guru hologram ini memungkinkan pelajar berasa seolah-olah mereka berada di dalam situasi pembelajaran sebenar di dalam kelas, walau tanpa kehadiran guru sebenar.

Berdasarkan siri penyelidikan yang dijalankan, didapati bahawa tahap penerimaan pelajar terhadap pendekatan guru hologram adalah sangat meyakinkan.

Baik murid di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah mahu pun pelajar di peringkat tertiari didapati agak teruja dan bermotivasi dengan pendekatan pembelajaran bersama guru hologram.

Penggunaan animasi turut dicadangkan dalam kajian penggunaan guru hologram.

Ini menggambarkan, guru hologram berpotensi untuk dijadikan sebagai perwakilan guru sebenar di dalam kelas untuk pendidikan masa hadapan.

Guru hologram bukan hanya terbatas kepada penggunaan karakter manusia sebenar, malah, karekter seperti kartun tiga dimensi, robot manusia dan sebagainya juga boleh digunakan berdasarkan kesesuaian dan keperluan.

Secara asasnya, hologram adalah bermaksud pandangan keseluruhan yang terhasil daripada pancaran satu atau beberapa sumber cahaya yang membentuk paparan visual tiga dimensi.

Pendekatan semasa hologram menggunakan dua bentuk paparan, iaitu skrin lutsinar khas yang disusun berbentuk piramid bagi paparan empat sisi dan penggunaan satu skrin lutsinar bagi paparan satu sisi sahaja.

Guru hologram juga boleh menjadi satu pendekatan bagi menangani masalah bebanan kerja guru. - Gambar hiasan daripada Pexels.

Hologram yang berbentuk piramid sesuai untuk digunakan sebagai medium pengiklanan dan pameran kerana kelebihan paparan pelbagai sisi. Namun, kebiasaannya ia hadir dalam ukuran atau saiz yang kecil. Hologram yang dipaparkan di atas satu skrin pula dapat mempersembahkan visual dalam ukuran dan saiz sebenar atau lebih besar.

Hologram satu sisi ini kebiasaannya dipersembahkan di atas pentas dan bagi penonton yang tertumpu. Oleh itu, hologram satu sisi lebih sesuai digunakan untuk paparan karakter guru kerana ia dapat memaparkan karakter tersebut dengan saiz manusia sebenar dan suasana seolah-olah ia berada di hadapan penonton.

Meskipun begitu, terdapat juga kekangan terhadap penggunaan guru hologram yang dikenalpasti daripada siri penyelidikan yang dijalankan. Pertamanya ialah aspek penumpuan pelajar terhadap penyampaian kandungan pembelajaran. Pelajar didapati tidak fokus terhadap penyampaian guru hologram sekiranya tempoh masa penyampaian adalah lama.

Hal ini mungkin disebabkan faktor guru hologram adalah buatan dan bukan guru sebenar. Sehubungan itu, dengan menambah ciri interaktif dan kecerdasan buatan (AI), keyakinan dan perhatian pelajar mungkin boleh ditingkatkan.

Kekangan berikutnya ialah faktor pencahayaan di dalam kelas. Paparan guru hologram yang baik memerlukan pencahayaan yang sangat minimum. Yang mana, perkara ini tidak berlaku di dalam reka bentuk kebanyakan bilik darjah di sekolah.

Untuk merealisasikan pendekatan ini pada masa hadapan, penyelidikan-penyelidikan lanjutan adalah sebenarnya perlu dilakukan bagi memastikan segala kekangan yang wujud dapat diatasi. Ini bagi memastikan, sekiranya aplikasi guru hologram diperkenalkan sebagai perwakilan guru sebenar di dalam kelas, ia mampu menghasilkan kesan pembelajaran positif yang optimum.

Hakikatnya, mempelbagaikan kaedah penyampaian maklumat seumpama guru hologram perlu diberi perhatian agar sistem pendidikan kita selari dengan kehendak perkembangan teknologi semasa. Guru hologram juga boleh menjadi satu pendekatan bagi menangani masalah bebanan kerja guru.

*Penyelidikan fundamental ini diketuai oleh Prof Dr Ahmad Zamzuri Mohamad Ali dari UPSI bersama Mohd Khairulnizam Ramlie dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) di bawah dana geran penyelidikan FRGS, Kementerian Pengajian Tinggi yang berfokus pada reka bentuk kerangka konseptual bagi penggunaan tutor hologram sebagai perwakilan guru sebenar.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok