Usaha Politeknik Merlimau jimat tenaga berbaloi, dapat pengiktirafan dari Kementerian
Usaha Politeknik Merlimau jimat tenaga berbaloi, dapat pengiktirafan dari Kementerian

Usaha Politeknik Merlimau jimat tenaga berbaloi, dapat pengiktirafan dari Kementerian

webadmin
23 Jan 2021 08:52am
A
A
A

MERLIMAU - Politeknik Merlimau (PMM) berjaya merangkul anugerah khas bagi kategori Energy Performance Contracting (EPC) sempena National Energy Award (NEA) 2020 yang diumumkan secara dalam talian oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), baru-baru ini.

Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal berkata, pengiktirafan itu cukup bermakna buat politeknik berkenaan dan ia adalah satu berita yang sangat menggembirakan bagi semua pihak.

“PMM merupakan agensi kerajaan pertama yang melaksanakan Kontrak Penjimatan Tenaga (EPC) dan telah berjaya menamatkan kontrak tersebut dalam tempoh 80 bulan yang   berakhir  September   2019.   

“EPC ialah satu inisiatif untuk menjimatkan penggunaan tenaga dimana semua kos peralatan, pemasangan dan penyelenggaraan peralatan jimat tenaga akan dibiayai sepenuhnya oleh Syarikat Perkhidmatan Tenaga(Energy Service Company –ESCO) manakala penjimatan selepas penukaran  semua peralatan jimat tenaga tersebut akan dikongsi dengan nisbah 20 peratus untuk PMM dan 80 peratus untuk ESCO.

“Alhamdulillah, menerusi inisiatif ini, PMM dapat mencapai kejayaan menerusi anugerah khas NEA 2020 anjuran KeTSA,” katanya.

Suzie (dua dari kiri) bersama Jawatankuasa Pengurusan Tenaga PMM di Green Tech Malaysia, baru-baru ini.

Terdahulu, sejumlah 110 penyertaan telah menyertai program itu dan hanya 30 penyertaan sahaja yang terdiri agensi kerajaan dan swasta termasuk Politeknik Merlimau (PMM) diangkat sebagai pemenang sempena NEA 2020.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Tenaga PMM, Suziee Sukarti berkata, usaha   telah   dimulakan   sejak   Februari   2020  lagi  bagi   memastikan   PMM mengecapi kejayaan tersebut dengan kerjasama beberapa ahli jawatankuasa iaitu Muhammad Jais Gimin, Azlan Shah Kamaruddin, Haryani Hassan, Shafura Shariff dan Mohamad Nazri Ismail selaku penasihat projek.

Mereka turut dibantu barisan kakitangan Unit Pembangunan dan Selenggara PMM dan ahli Energy Accounting Centre PMM serta mahasiswa PMM sendiri.

Politeknik ini telah melaksanakan kaedah EPC sejak tahun 2013 dan turut menerima jemputan bagi berkongsi kepakaran di beberapa buah agensi kerajaan dan swasta termasuk perkongsian di Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) sebelum ini.

Untuk rekod,  sejak 2011,  PMM  telah  banyak  memenangi anugerah berkaitan pengurusan tenaga dan kampus lestari hijau yang mana kemuncak kepada kejayaan ini pada 2014 apabila menjadi wakil tunggal Malaysia memenangi tempat pertama bagi anugerah ASEAN ENERGY AWARDS 2014 kategori Small and Medium Building bagi ASEAN Best Practices Award for Energy Management in Building and Industries.

Artikel menarik

Unik, replika batu bersurat di SMK Seksyen 18 jadi perhatian

Mudah sahaja buat video gunakan powerpoint, ikuti perkongsian Nur Khadijah Nabilah



 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok