Picture11
Picture11

Yayasan Peneraju tumpu latihan TVET dalam sektor berimpak tinggi

Adlan Farhan Azwan
15 Feb 2022 12:20pm
A
A
A

Kuala Lumpur - Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar penekanan dibuat terhadap pembangunan modal insan negara dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya berkaitan keperluan pembangunan dan peningkatan kemahiran serta kebolehpasaran tenaga kerja.

Usaha dan tumpuan kerajaan dalam pembangunan modal insan ini disokong dalam pembentangan Bajet 2022 apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk tujuan pendidikan termasuk pemerkasaan TVET.

Menurut Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Kol Bersekutu (PA) Ts Dr Mohd Muzzammil Ismail, organisasi itu sememangnya telah menyediakan program latihan TVET sejak penubuhannya 10 tahun lalu.

Katanya, objektif program-program ini adalah untuk menyumbang kepada peningkatan bilangan Bumiputera yang memiliki pensijilan kemahiran tinggi diiktiraf di peringkat industri dan antarabangsa seterusnya mencapai sasaran negara untuk meningkatkan bilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi tempatan.

Baca juga 

Tambah baik program TVET KPLB agar selari dengan kehendak industri

5 kemahiran graduan perlu ada sebelum memasuki alam pekerjaan

“Kami sedang merangka beberapa program berimpak tinggi di dalam sektor automotif, aeroangkasa, sumber tenaga baru (seperti solar), telekomunikasi (fiber optik), elektrik (wireman dan chargeman), kereta api dan sebagainya bagi membolehkan lebih ramai lagi peserta menyertai program ini.

“Aspirasi kami adalah untuk menjadi pemain utama dalam melahirkan modal insan yang serba boleh, berkemahiran tinggi dan berdaya saing bagi menyumbang kepada sosio-ekonomi negara kita.

"Bagi kami, usaha dalam membangunkan modal insan penting dan perlu diteruskan agar Bumiputera mampu bersaing dalam pasaran kerja yang menawarkan peluang pekerjaan bernilai dan berimpak tinggi," katanya.

Program Dynamic Positioning Officer mensasarkan pelaut yang memegang Sijil Kekompetenan Deck Kelas 1,2, atau 3 yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia.

Sejak tahun 2020, Yayasan Peneraju meluaskan lagi penawaran program TVET yang mempunyai elemen kebolehpasaran dan kebolehgajian kepada golongan bekerja dan tidak bekerja termasuklah graduan-graduan baharu, siswazah menganggur, mereka yang kehilangan pekerjaan serta individu yang ingin meningkatkan kemahiran ‘upskill’ atau mempertingkatkan kemahiran ‘reskill’ ke tahap yang lebih tinggi.

Yayasan Peneraju turut bekerjasama rapat dengan lebih 100 pemain industri, rakan-rakan program, penyedia latihan dan pihak berkepentingan yang lain bagi memastikan lebih 370 program yang ditawarkan berkualiti, relevan dan meningkatkan kadar kebolehpasaran penerima faedahnya.

Selain itu, penempatan pekerjaan menjadi keutamaan Yayasan Peneraju dengan pendekatan Train & Place ataupun Place & Train untuk memastikan mereka memperoleh pekerjaan setelah tamat program.

Program Specialist in CAD/CAM - Advanced Computer Numerical Control and Manufacturing pula, ia mensasarkan golongan tenaga kerja mahir yang ingin meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang rekabentuk 3D.

Setakat ini, seramai 19,135 orang yang terdiri daripada graduan baharu, tenaga kerja sedia ada, belia keciciran dan penganggur diberi latihan TVET re-skilling & upskilling dalam sektor berpendapatan tinggi manakala 2,460 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta individu bekerja telah dilatih untuk pengiktirafan pensijilan profesional dalam bidang ICT & MRO Aeroangkasa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Antara cabang kerjaya yang ditawarkan kepada individu yang mengikuti program di bawah Yayasan Peneraju ialah Specialist In CAD/CAM, System Integration in Automation & Robotics, Dynamic Positioning Officer, Scaffolding Level 3, Welding Inspector Level 1 & 2 dan Drone Certification Training di dalam sektor perkilangan, minyak dan gas, pembuatan, maritim dan lain-lain.

Para peserta yang mengikuti program ini akan menjalani latihan di lokasi terpilih di seluruh Malaysia termasuk Kedah, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Melalui usaha yang berterusan ini, Yayasan Peneraju berharap lebih ramai modal insan Bumiputera akan turut serta dan menjadi sebahagian daripada lebih 46,000 penerima faedah Yayasan Peneraju yang lain.

Yayasan Peneraju akan terus bersungguh-sungguh dalam memacu dan memperkasa agenda Bumiputera dan sentiasa meneroka peluang untuk meluaskan penawaran program-program dan kumpulan sasaran supaya lebih inklusif serta selari dengan dasar utama negara seperti RMK-12 serta TPB2030.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok