Hari Hidupan Liar Sedunia, pelajar sekolah perlu mainkan peranan lindungi spesies terancam

AZLEENDA SAHALUDIN
03 Mar 2023 02:30pm
A
A
A

Hidupan liar bukan sahaja merupakan sumber tidak ternilai tetapi turut menjadi sebahagian daripada budaya dan warisan negara yang perlu dijaga serta dipelihara.

Untuk itu, 3 Mac setiap tahun telah ditetapkan sebagai Hari Hidupan Liar Sedunia yang telah diselaraskan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai hari kesedaran antarabangsa untuk merai dan melindungi haiwan serta tumbuhan liar di habitat semula jadi mereka.

Malaysia juga merupakan salah satu negara yang mempunyai keunikan tersendiri dengan biodiversiti kaya flora dan fauna terdiri daripada 22,500 spesies tumbuhan serta 422 spesies mamalia.

Malangnya kepelbagaian ini semakin terancam akibat aktiviti pemburuan berlebihan, kehilangan habitat, perubahan iklim dan pencemaran.

Profesor Gs Ts Dr Mohd Hasmadi Ismail
Profesor Gs Ts Dr Mohd Hasmadi Ismail

Menurut Pensyarah, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Gs Ts Dr Mohd Hasmadi Ismail, hidupan liar di negara ini mengalami kepupusan pada kadar membimbangkan terutamanya spesies harimau Malaya, badak sumbu Sumatera, orang utan Sumatera, gajah Asia, dan beberapa spesies penyu laut.

Selain itu, Mohd Hasmadi berpendapat golongan belia bermula daripada peringkat sekolah perlu memainkan peranan dalam memberi kesedaran tentang melindungi haiwan liar ini daripada mengalami kepupusan.

Katanya, golongan tersebut mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap isu alam sekitar dan kelestarian alam.

Artikel Berkaitan:

“Belia khususnya pelajar sekolah boleh terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti kempen pembersihan pantai, kempen kutipan sampah atau kempen pemuliharaan untuk taman semula jadi.

“Malah mereka juga boleh terlibat dalam aktiviti seperti lawatan hutan, kajian alam sekitar dan aktiviti berkaitan biologi atau sains alam sekitar yang dapat memberi pengetahuan tentang haiwan liar dan kepentingan melindunginya.

“Ini kerana aktiviti tersebut dapat menggerakkan belia untuk mengambil tindakan membantu melindungi haiwan liar di samping menggalakkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan melindungi haiwan-haiwan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Tambah Mohd Hasmadi, terdapat beberapa kesan yang besar kepada ekosistem dan biodiversiti negara sekiranya haiwan liar ini mengalami kepupusan.

Tuturnya, ia akan menjejaskan sistem dan rantaian makanan dalam ekosistem serta mengurangkan kepelbagaian biologi yang boleh memberi manfaat ekonomi, sosial dan alam sekitar kepada masyarakat.

Mengulas lanjut tentang kesan kepupusan haiwan liar, Mohd Hasmadi memberitahu, ia turut menjejaskan sektor pelancongan negara.

“Spesies haiwan liar yang unik dan jarang ditemui menjadi tarikan utama pelancongan di Malaysia.

“Sekiranya spesies itu pupus maka ini boleh memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan dan berpotensi mengurangkan pendapatan ekonomi yang dijana oleh sektor tersebut,” ujarnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok