Azizulhasni mendapat jolokan sebagai The Pocket Rocketman.
Azizulhasni mendapat jolokan sebagai The Pocket Rocketman.

Kenali Azizulhasni, jaguh berbasikal trek negara yang dikagumi ramai

ROSHLAWATY MD RAIEH
24 Feb 2023 07:20pm
A
A
A

Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita.

Kehebatan dan kejayaan yang diraih Azizulhasni dalam pelbagai kejohanan membuatkan beliau dikagumi ramai sehingga menjadi idola para pelajar.

Selain aktif dalam bidang sukan, atlet kelahiran Dungun, Terengganu yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman sememangnya individu yang bijak dalam akademik.

Ini dibuktikan apabila Azizulhasni yang merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) kini memiliki Sarjana Muda Sukan Gerakan, Universiti Victoria, Melbourne, Australia.

Menurut Azizulhasni seperti dipetik menerusi laman Facebooknya, keinginan menyambung pengajian di Australia adalah datang daripada keputusannya sendiri.

“Walaupun telah berjaya mencipta kejayaan, saya melihat yang diri harus juga memiliki ilmu pengetahuan sebagai sandaran sekiranya karier sebagai atlet berakhir.

“Selain itu, saya mahu menjadi atlet contoh kepada golongan muda yang memiliki kelulusan akademik demi masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, Sinar Bestari melahirkan rasa kagum dengan ratusan anugerah dan sumbangan yang diberikan Azizulhasni kepada negara.

Artikel Berkaitan:

Walaupun ramai melihat kejayaan yang diraih mungkin mudah, namun tiada siapa tahu apakah bentuk pengorbanan telah dilakukan oleh anak kelapan daripada sembilan beradik ini.

Sebagai info bersama, Sinar Bestari kongsikan trivia menarik The Pocket Rocketman yang mungkin ramai tidak tahu.

  • Azizulhasni digelar The Pocket Roketman kerana saiz tubuhnya yang kecil.
  • Isterinya bernama Datin Athiah Ilyana Abd Samat manakala anaknya Amna Maryam dan Amna Khadeeja.
  • Sebelum memasuki SSBJ, bakat Azizulhasni diasah menerusi Pasukan Berbasikal Terengganu.
  • Beliau pernah mendapat hadiah basikal terpakai oleh ayahnya kerana mendapat keputusan cemerlang 7A 1B dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) ketika itu.
  • Azizulhasni dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2010 dan 2021.
  • Beliau juga dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada majlis Anugerah 100Plus Perpaduan SAM 2020/2021. Anugerah berkenaan merupakan yang keempat bagi jaguh keirin ini selepas memenangi anugerah yang sama pada 2009, 2017 dan 2019.

Sebahagian pencapaian Azizulhasni dalam sukan berbasikal

  • 2022: Emas (acara pecut di Melbourne, Australia)
  • 2016: Gangsa (acara keirin di Rio de Janeiro)
  • 2016: Gangsa (acara keirin London, England)
  • 2015: Emas (acara keirin Nakhon Ratchasima, Thailand)
  • 2015: Gangsa (acara keirin Yvelines, Perancis)
  • 2014: Emas (acara pecut Astana, Kazakhstan)
  • 2010: Perak (acara keirin Ballerup, Denmark)
  • 2009: Perak (acara pecut Pruszkow, Poland)
  • 2009: Emas (acara pecut individu dan berpasukan Tenggarong, Indonesia)
  • 2008: Emas (acara keirin dan pecut Nara, Jepun)
  • 2007: Emas (acara keirin Bangkok, Thailand).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok