Pakar Pendidikan saran KPM tukar waktu mula sesi persekolahan

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAINFIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
02 Feb 2023 09:47am



Kementerian Pendidikan (KPM) diminta untuk pertimbangkan cadangan memulakan sesi persekolahan di Semenanjung Malaysia bermula pukul 8 pagi.

Menurut Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, cadangan itu disuarakan bagi meraikan konsep Malaysia Madani dan slogan ‘Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera’.

Kata beliau, kerajaan seharusnya mempunyai rasa simpati dan empati kepada situasi yang dihadapi guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa bangun seawal 4.30 pagi.

“Jika di bandar mereka terpaksa meredah kesesakan jalan raya seawal pukul 6 pagi untuk ke sekolah.

“Manakala di sekolah pendalaman anak-anak kecil terpaksa jalan becak dan berlumpur. Ada juga anak-anak yang terpaksa meredah danai kecil malahan ada yang terpaksa berperahu untuk ke sekolah.

“Jika kerajaan prihatin dengan kesejahteraan serta kesihatan rakyat apa salahnya kita lakukan perubahan ini untuk kebaikan semua,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambah Anuar, langkah itu juga boleh memberikan sedikit masa untuk anak-anak bersarapan bersama keluarga tanpa perlu bergegas ke sekolah awal pagi.

Tuturnya lagi, bagi melaksanakan cadangan berkenaan, KPM juga disaran supaya mengurangkan sesi persekolahan selama 15 minit bagi sesi pagi dan petang.

Artikel Berkaitan:


“Saya tidak fikir pengurangan 15 minit bagi sesi pagi dan petang ini akan menjadi isu yang besar untuk KPM dan semua pihak,” ulasnya lanjut.

Ketika ini waktu sesi persekolahan bermula pukul 7.30 pagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp