Kehebatan Dr Marizah dalam pengajian dan kerjaya menjadi idola pelajar hari ini.
Kehebatan Dr Marizah dalam pengajian dan kerjaya menjadi idola pelajar hari ini.

Warga maya kagum dengan perjalanan pengajian Dr Marizah walau penuh liku dan onak duri

ROSHLAWATY MD RAIEH
02 Feb 2023 11:54am
A
A
A

“Saya bukan orang senang. Banyak liku dan onak duri yang perlu dilalui sebelum berjaya seperti hari ini.

“Namun, saya tidak pernah mengalah, saya belajar dan terus belajar demi mencapai cita-cita serta impian selama ini.” Demikian kata Profesor Madya Kewangan dan Ekonomi, Dr Marizah Minhat yang kini berkhidmat di England dalam bidang tersebut.

Beliau yang merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka berkata, kejayaannya sekarang adalah datang daripada NIAT.

“Saya sentiasa berpegang pada niat untuk bantu keluarga dan bangsa sejagat. Segala kepakaran dan kejayaan ini bukan disandarkan kepada diri sendiri semata-mata tetapi saya niat untuk kembalikan kepada mereka yang memerlukan.

“Hakikatnya saya bukan siapa-siapa tanpa mereka,” ujar Marizah seperti dipetik menerusi laman Facebook Dr Zulkifli Hussain.

Sebagai Profesor Madya Kewangan dan Ekonomi, Sinar Bestari melihat Marizah adalah seorang individu yang dilahirkan bijak pandai semenjak daripada kecil lagi.

Ini kerana bukan calang-calang orang mampu menjadi pakar dalam bidang kewangan dan ekonomi.

Banyak pengorbanan dilakukan oleh anak kelahiran Melaka ini dalam usahanya menggapai impian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut perkongsian beberapa laman media tentang Marizah, beliau sebenarnya sering mendapat nombor satu di dalam kelas ketika berada di sekolah rendah.

Kepandaian beliau itu dibawa hingga ke MRSM Tun Ghafar Baba sehinggalah memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menjadi pelajar terbaik subjek Prinsip Akaun.

Berbekalkan keputusan cemerlang itu, Marizah ditawarkan biasiswa oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melanjutkan pengajian di Lincoln University, New Zealand dalam bidang perakaunan.

Setelah tamat belajar, beliau pulang ke Malaysia dan bekerja di TNB. Di sinilah Marizah membina kerjaya sehingga bergelar akauntan bertauliah.

Tidak pernah luntur

Walaupun sudah berkerjaya, semangat untuk belajar ke peringkat seterusnya tidak pernah luntur dalam diri Marizah.

Katanya, dia telah diberi peluang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Perbankan dan Kewangan di University of Stirling, United Kingdom (UK).

Tamat Sarjana, beliau menyambung pula pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti yang sama.

Berkongsi mengenai kajian PhDnya pula, Sinar Bestari memetik kenyataan yang ditulis Dr Zulkifli Hussain dalam Facebooknya, baru-baru ini.

Tulis Zulkifli, kajian PhD Marizah adalah berkaitan tentang peranan insentif kewangan (pakej saraan) dan impak terhadap prestasi syarikat-syarikat korporat di UK.

Tajuk kajian ini ternyata menarik minat pelbagai pihak sehingga membawa beliau berkongsi kepakaran ke beberapa persidangan antarabangsa berkenaan tadbir urus kewangan termasuklah di Judge Business School di University of Cambridge dan Wharton School di University of Pennsylvania.

Hasil penulisan beliau juga tersenarai di laman sesawang Program On Corporate Governance, Harvard Law School.

Bagi memperkasakan kepakaran beliau di dalam bidang tadbir urus kewangan, Marizah kemudiannya melanjutkan pengajian di London School of Economics (LSE) di peringkat Sarjana Undang-Undang (LL M in Financial Law and Regulation).

Sebagai seorang akauntan bertauliah, Marizah juga bergiat aktif dengan badan perakaunan profesional dan dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) di Scotland.

Pada masa sama, Marizah juga telah melebarkan kepakaran di dalam tadbir urus kewangan Islam.

Ini terserlah sehingga terhasil terbitan kajian beliau yang diklasifikasikan sebagai kertas kajian berpengaruh dalam bidang tersebut.

Hasil semua kajian, penulisan dan keterlibatan beliau telah menarik perhatian pelbagai pihak dan lebih membanggakan pada 2019, Marizah dijemput sebagai Subject Matter Expert di Mesyuarat Kumpulan Rentas Parti (House of Lords, UK Parliament) bagi berkongsi idea tentang pelaksanaan dasar perundangan kewangan Islam di UK.

Tahniah! Tahniah! dan Tahniah! Marizah. Semoga terus diberi kekuatan untuk menyumbang kepada masyarakat, bangsa dan agama. Doa kami mengiringi kejayaan anda!

Dalam pada itu, Sinar Bestari memetik kata-kata semangat dan ucapan tahniah daripada warga maya kepada Marizah menerusi ruangan komen yang disediakan dalam Facebook Dr Zulkifli Hussain.

Antara yang menzahirkan penghargaan adalah

Maihan Abdullah: Semoga kejayaan Dr Marizah menjadi inspirasi kepada semua anak Malaysia.

Yeop Keegan: Tahniah! Dr Marizah. Satu perjalanan dalam kehidupan belajar dan bekerjaya yang hebat. Semoga ia menjadi inspirasi kepada generasi muda.

MNoor Musa: Well done super senior! We will follow, insya-ALLAH.

Abd Aziz Mohd Yusof: Alhamdulillah syukur. Setinggi-tinggi tahniah buat Dr Sumber inspirasi pada insan yang ingin cemerlang dalam kehidupan mereka. Syabas Dr!

Kamal Afendi Shaharin: Semoga anak-anak saya mengikuti jejak langkah insan hebat dari MRSM ini.

Khairiyatun Azlina: Congratulations! Very proud to read her accomplishments. Maybe she can mentor our students there. Her impressive achievements should reach a wider audience.

Asiah Dahalan: Barakallahufik Dr Marizah.

Imah Kamal: Alhamdulillah. Tahniah! Dr Marizah Minhat! Maha Suci ALLAH SWT Yang Maha Berkuasa mengurniakan kebijaksanaan kepada para hamba-hambanya yang terpilih. Mudah-mudahan dengan segala ilmu yang diperolehi, lebih ramai ahli bijak pandai Melayu Islam akan kembali menabur khidmat bakti kepada anak bangsa dan bumi Malaysia tercinta termasuk Dr Marizah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok