Keringat 18 tahun Cikgu Nurhayatul Nira diiktiraf
Nurhayatul Nira Ramli terima Anugerah Guru Terbaik - Prasekolah AEC di Bangkok
Selepas 18 tahun mencurahkan dedikasi dalam pendidikan awal kanak-kanak, guru prasekolah Malaysia, Nurhayatul Nira Ramli menerima penghormatan tertinggi menerusi Anugerah Pendidikan Asia 2024.
Pendidik berusia 44 tahAEC un dari Makmal Perkembangan Kanak-Kanak di Universiti Putra Malaysia (UPM) ini, dianugerahkan gelaran Guru Terbaik 2024 bagi Pendidikan Prasekolah oleh Asia Education Conclave (AEC) di Bangkok baru-baru ini.
Dalam perkongsian bersama Sinar Bestari, Nurhayatul Nira berkata, anugerah diterimanya itu menggambarkan komitmen mendidik dan menyemai nilai positif dalam kalangan anak-anak kecil.
“Saya berbesar hati menerima Anugerah Guru Terbaik – Prasekolah daripada Asia Education Conclave.
“Platform ini menyatukan para pendidik dari seluruh dunia dan menyerlahkan peranan penting yang kami mainkan dalam membentuk masa depan.
“Saya bersyukur dengan pengiktirafan ini dan rasa bertuah dapat berdiri bersama pendidik serta pemimpin berdedikasi dalam bidang ini,” katanya.
Salah satu sumbangan inovatif Nurhayatul Nira adalah pembangunan Kit Bijak Wang, satu kit pendidikan awal yang bertujuan meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.
Kata Nurhayatul Nira, inovasi itu bukan sahaja menggalakkan kanak-kanak memahami asas pengurusan kewangan, tetapi membentuk nilai kebijaksanaan dalam membuat pilihan sejak usia muda.
“Kit Bijak Wang mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai alat berkesan dalam pendidikan literasi kewangan untuk kanak-kanak,” kongsi pendidik itu.
Bergelar guru di Makmal Perkembangan Kanak-Kanak, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Nurhayatul Nira mengajar kira-kira 150 murid berusia antara tiga bulan hingga enam tahun mengikut Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).
Beliau menyatakan bahawa anugerah ini mencerminkan usaha kolektif semua pihak yang bekerja keras untuk meningkatkan pendidikan awal kanak-kanak.
“Saya harap dapat terus beri impak positif dalam pendidikan awal kanak-kanak,” tambahnya.
Nurhayatul Nira turut berterima kasih kepada rakan sekerja, mentor dan keluarga di atas sokongan yang berterusan.
Untuk rekod, AEC berperanan sebagai platform mengiktiraf pencapaian pendidik yang cemerlang atas sumbangan mereka terhadap kemajuan pendidikan di Asia dan di peringkat global.