18 institusi pendidikan pilihan buat lepasan SPM 2022
Kurang dari seminggu sahaja lagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022 akan diumumkan kepada 403,637 calon seluruh negara.
Pastinya keputusan yang dinanti-nantikan ini membuatkan kesemua calon berdebar dan teruja memandangkan ia menjadi penentu masa depan mereka.
Mana tidaknya dengan keputusan yang diraih itu nanti akan memudahkan urusan pelajar lepasan SPM ini bagi merancang hala tuju dalam pendidikan yang mahu diceburi.
Pemilihan bidang pendidikan selepas SPM ini juga amat penting bagi mengelakkan pelajar tidak tersalah langkah dan lebih teruk lagi terjerumus dalam jurusan yang tidak diminati.
Justeru, menjadi kewajipan buat mereka untuk mengkaji dan mengambil tahu tentang beberapa maklumat permohonan terkini apatah lagi sekarang ini kemudahan internet juga lebih mudah diakses pada bila-bila masa.
Namun begitu, Sinar Bestari turut memahami kesukaran yang dialami oleh pelajar lepasan SPM ini dalam membuat keputusan terbaik demi masa depan dan untuk itu, kami di Sinar Bestari akan kongsikan 18 destinasi atau pilihan pendidikan yang boleh dijadikan rujukan.
Jom kita lihat!
1) Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) atau Swasta (IPTS)
Bagi mereka yang mendapat keputusan cemerlang, sudah pasti universiti tempatan akan menjadi destinasi tumpuan untuk melanjutkan pelajaran. Oleh itu, sekiranya berminat pelajar-pelajar boleh memohon kemasukan melalui UPU online bagi lepasan SPM atau setaraf. Bukan itu sahaja, mereka juga layak membuat permohonan kemasukan ke Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Latihann Kemahiran Awam (ILKA) berdasarkan kelayakan dan minat. Bahkan menyambung pengajian ke IPTS turut boleh dijadikan pilihan antaranya Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Management and Science University (MSU) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
2) Program Matrikulasi
Sama seperti program asasi yang menawarkan pengajian selama setahun setengah atau dua tahun, Matrikulasi juga boleh dijadikan pilihan buat pelajar lepasan SPM yang ingin menyambung dalam bidang Sains Hayat, Sains Fizikal atau Perakaunan. Bagi program ini juga, anda boleh membuat permohonan melalui UPU online.
3) Pengajian ke luar negara
Bagi mereka yang ada rezeki menerima penajaan biasiswa bolehlah melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti United Kingdom (UK), Australia, New Zealand, Indonesia, Jepun, Korea dan Ireland. Malah mereka juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti di Timur Tengah seperti di Jordon dan Mesir.
4) Politeknik
Jangan mudah berputus asa sekiranya gagal untuk ke mana-mana IPTA, IPTS atau matrikulasi, kerana anda berpeluang untuk menyambung di politeknik. Di institusi ini anda boleh memohon pengajian sama ada di peringkat sijil atau diploma.
5) Institut Pendidikan MARA (Ipma) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA)
Program di bawah Ipma menawarkan pengajian seperti Program Pengajian Persediaan, Pra-Diploma, Diploma, Higher National Diploma dan Ijazah Pertama. Anda boleh menyambung pengajian-pengajian ini di Kolej Profesional MARA, UniKL, German-Malaysian Institute (GMI), Kolej Poly-Tech MARA, Kolej MARA, Kolej Universiti Poly-Tech MARA, Kolej Ketengah International College dan GIATMARA.
6) Program Pendidikan dan Latihan dan Vokasional (TVET)
Bidang pengajian TVET juga semakin menjadi pilihan utama dan ia tidak lagi menjadi pilihan mereka yang kurang cemerlang. Kini, terdapat banyak program diploma dan sijil yang ditawarkan di ILKA atau mana-mana institut kemahiran memandangkan TVET hari ini menjadi kebolehpasaran graduan dalam bidang pekerjaan.
Antara institut kemahiran yang boleh dipilih adalah:
a) Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS)
b) Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM)
c) TVET MARA
d) Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP)
7) Tingkatan Enam atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)
Walaupun program STPM tidak begitu popular namun ia sebenarnya sangat berharga dan setaraf dengan program diploma. Ini kerana tamatnya STPM, pelajar boleh terus membuat permohonan menyambung dalam Ijazah Sarjana Muda di mana-mana universiti pilihan.
8) Institut Pendidikan Guru (IPG)
Buat mereka yang berminat untuk menjadi guru, bolehlah memohon di IPG. Walaupun agak mencabar dengan bebanan tugas yang bakal ditempuhi, perkara ini umpama seperti alah bisa tegal biasa. Jadi didiklah anak bangsa sehingga berjaya dan berguna untuk masyarakat dan negara kelak.
9) Kursus Ketenteraan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Pelajar yang berminat dengan aktiviti lasak serta sukakan cabaran boleh membuat permohonan pengajian ke UPNM. Program ini terbuka kepada semua lepasan SPM atau setaraf yang layak untuk mengikuti pengajian di peringkat Asasi Pertahanan selama setahun dan boleh meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana Muda.
Antara program-program yang ditawarkan adalah;
i) Asasi Perubatan
ii) Asasi Pengurusan dan Strategi
iii) Asasi Kejuruteraan dan Teknologi
iv) Diploma Pentadbiran Perniagaan
v) Diploma Pengurusan Logistik
vi) Diploma Ketangkasan Pertahanan
10) Akademi Laut Malaysia (ALAM)
Kepada yang berminat untuk melibatkan diri dengan dunia pekerjaan laut yang mencabar boleh mohon kemasukan ke Akademi Laut Malaysia (ALAM). Program pengajian yang ditawarkan adalah Diploma Pengajian Nautika dan Diploma Kejuruteraan Marin. Permohonan dibuka sekitar Mac setiap tahun.
11) Permohonan Diploma Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)
Program pengajian yang ditawarkan untuk kemasukan ke PPUM adalah Program Diploma Kejururawatan, Diploma Radiografi dan Diploma Teknologi Makmal Perubatan. Permohonan kemasukan ini juga dibuka sekitar Mac setiap tahun.
12) Kursus Penerbangan (Aviation)
Mesti ramai yang berminat dengan kursus ini memandangkan ia merangkumi kerjaya seperti juruterbang, pramugara, pramugari dan ahli-ahli biasa di kawasan lapangan penerbangan. Kerjaya seperti juruterbang, pramugara dan pramugari ini lebih kepada di awan biru manakala ahli biasa lebih kepada proses teknikal di kawasan lapangan penerbangan.
13) Latihan Separa Perubatan
Program ini disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pelajar lepasan SPM yang berusia antara 17 hingga 25 tahun. Terdapat sebanyak 13 latihan ditawarkan untuk program Latihan Separa Perubatan bertaraf diploma dan sijil. Tempoh pengajian Kursus Separa Perubatan adalah selama tiga tahun bagi program Diploma manakala peringkat Sijil pula mengambil masa selama dua tahun sahaja. Bukan sahaja menerima elaun setiap bulan dan tetapi pelajar turut disediakan kemudahan-kemudahan yang kondusif di beberapa Pusat Kolej Kesihatan seluruh Malaysia.
14) Permohonan Diploma Jururawat USM
Khas buat lepasan SPM yang berminat menjadi jururawat. Pengambilan dibuat sekitar Februari setiap tahun.
15) Kolej UNIKOP
Kolej UNIKOP adalah Institut Pengajian Tinggi (IPT) milik Koperasi Polis Diraja Malaysia. Permohonan dibuka untuk lepasan SPM mengikuti Program Diploma seperti berikut;
a) Diploma Kepolisan Dan Penyiasatan
b) Diploma Perakaunan
c) Diploma Perkhidmatan Penyiasatan
d) Diploma Teknologi Maklumat (Aplikasi Perniagaan)
e) Diploma Pengurusan Perniagaan
f) Diploma Pentadbiran Pejabat
16) International Baccalaureate (IB)
IB Diploma Programme (DP) ditawarkan kepada pelajar yang berumur 16 hingga 19 tahun. Antara institusi yang ditawarkan adalah;
a) Kolej Tunku Kurshiah (TKC)
b) Royal Militiary College
c) Kolej MARA Banting
Pelajar boleh memilih subjek berdasarkan kumpulan subjek seperti Bahasa dan Linguistik, Sains, Matematik dan Seni. Lebih menarik, lepasan program ini diterima di seluruh dunia antaranya di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.
17) A-LEVEL
Lepasan A-Level diterima di lebih 160 buah negara dan juga diterima di IPTA di Malaysia. Antara institusi yang menawarkan program ini adalah;
• Sunway College, Kuala Lumpur
• German Malaysian Institute (GMI)
• TAR College
Tempoh pengajian adalah satu tahun setengah hingga dua tahun. Terdapat dua tahap iaitu Advanced Subsidiary (AS) dan Advanced Two (A2), di mana masing-masing memberikan 50 peratus untuk markah akhir.
18) Memohon Pekerjaan Di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)
Buat mereka yang tidak berminat untuk menyambung pengajian di mana-mana institusi pendidikan, boleh memohon pekerjaan di SPA dan memilih jawatan dengan kelayakan SPM atau setaraf.