28 murid tadika Pusat Minda Lestari diraikan dalam majlis graduasi

ROSHLAWATY MD RAIEH
14 Mar 2023 10:00am
A
A
A

Seramai 28 murid tadika dari Pusat Minda Lestari (PML), Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan dalam Majlis Graduasi Sesi 2022 kali ke-12 baru-baru ini.

Menurut Pengarah PML, Dr Suwaibah Zakaria, majlis graduasi itu merupakan acara tahunan pusat itu dalam meraikan kanak-kanak tadika yang berjaya menamatkan pengajian peringkat prasekolah.

“Ia merupakan salah satu acara penting yang mewarnai takwim aktiviti PML di samping aktiviti-aktiviti lain seperti sukaneka, sambutan Hari Malaysia, Hari Kanak-Kanak dan Guru (HAKAGU) serta sebagainya,” kata Suwaibah ketika merasmikan majlis graduasi di Mini Auditorium, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS.

Hadir sama Guru Besar PML, Zaleha Abdul Ghani; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) PML, Dr Saifulazry Mokhtar dan Setiausaha PIBG PML, Dr Lailawati Madlan @ Endalan.

Berkongsi mengenai penubuhan PML, Suwaibah berkata, pusat jagaan dan didikan awal kanak-kanak itu merupakan satu keperluan utama bagi ibu bapa yang bekerja.

“Ibu bapa akan lebih produktif dalam pekerjaan apabila keperluan penjagaan dan pendidikan awal anak-anak mereka terjamin.

“Justeru, inilah tugas yang perlu dipikul PML iaitu menyediakan perkhidmatan terbaik khususnya kepada kakitangan UMS yang mempunyai anak pada peringkat awal usia,” ujarnya.

Menurut Suwaibah lagi, PML banyak membantu kanak-kanak dalam membina keyakinan diri mereka.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, jika sebelum ini ada antara murid tadika kurang berkeyakinan untuk melakukan sesuatu, namun setelah berada di PML banyak perubahan positif dapat dilihat dalam kalangan anak-anak ini.

“Pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan di PML berorientasikan pembinaan self-esteem atau keyakinan diri.

“Selain itu, semangat kerjasama dalam kalangan murid-murid tadika turut dipupuk bermula hari pertama mereka melangkah ke kelas.

“Hasilnya seperti yang kita lihat pada majlis graduasi ini, ramai murid-murid prasekolah berjaya menyertai pelbagai acara yang diadakan dan ini adalah perkembangan yang sangat bagus untuk masa depan mereka,” akhiri Suwaibah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok