Lorenica (duduk di hadapan) bersama tiga lagi guru berdiri megah mengibarkan bendera bertulisan jawi di puncak Gunung Kinabalu, Sabah.
Lorenica (duduk di hadapan) bersama tiga lagi guru berdiri megah mengibarkan bendera bertulisan jawi di puncak Gunung Kinabalu, Sabah.

4 guru bawa tulisan jawi sampai ke puncak Gunung Kinabalu, Sabah!

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
14 Jul 2025 01:54pm

Melalui perjalanan yang jauh dan berbahaya, bukan penghalang bagi empat guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Beluran, berdiri megah di puncak Gunung Kinabalu sambil mengibarkan bendera bertulisan jawi.

Bagi empat guru ini, usaha berkenaan adalah simbol bahawa semangat memartabatkan tulisan jawi tidak hanya terbatas di papan tulis mahupun pada helaian kertas, sebaliknya boleh diterjemahkan di mana-mana termasuk di puncak tertinggi Malaysia.

Lorenica Frenila Masundim yang juga Ikon Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, misi itu dilaksanakan sebagai satu usaha menyemarakkan semula semangat rakyat Malaysia untuk melestarikan tulisan jawi sebagai khazanah budaya negara.

Lorenica di puncak Gunung Kinabalu.
Lorenica di puncak Gunung Kinabalu.

Menurut Lorenica, misi pendakian itu berlangsung pada 26 dan 27 Jun lalu membabitkan dirinya bersama tiga lagi rakan seperjuangan iaitu Alexius Engkamat, Mohd Rusman Usman dan Daxter Dany yang membawa bersama sepanduk bertulis 'ماري بلاجر توليسن جاوي: Mari Belajar Tulisan Jawi'.

"Antara cabaran utama yang dihadapi seperti perjalanan mencabar menuju ke puncak terutama ketika waktu Subuh yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.

"Pengalaman ini menyedarkan saya bahawa perjalanan menuju ke puncak kejayaan memerlukan langkah demi langkah tanpa putus asa. Jika penat, berhentilah berehat tetapi jangan lupa teruskan melangkah sehingga matlamat tercapai. Tiada jalan mudah untuk berjaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lorenica (dua dari kiri) bersama tiga lagi guru berdiri megah mengibarkan bendera bertulisan jawi di puncak Gunung Kinabalu.
Lorenica (dua dari kiri) bersama tiga lagi guru berdiri megah mengibarkan bendera bertulisan jawi di puncak Gunung Kinabalu.

Kongsinya lagi, mengibarkan sepanduk tulisan jawi di puncak Gunung Kinabalu membawa signifikan simbolik dan budaya yang kuat terutama dalam konteks warisan Malaysia.

"Bagi saya, ia menjadi lambang kebanggaan terhadap identiti budaya dan sejarah negara, khususnya dalam era moden yang semakin dikuasai tulisan rumi.

"Gambar bersama sepanduk jawi di puncak menjadi bukti bahawa walaupun ia adalah usaha kecil kami tetapi tetap bermakna kerana dapat menyemai kesedaran awam untuk terus mengangkat martabat tulisan yang semakin dilupakan," katanya.

Lorenica turut berkongsi bahawa misi pendakian mereka itu diiringi oleh Malim Gunung, Daverond Dolius yang sentiasa memastikan kejayaan misi tersebut sejak dari awal hingga ke akhirnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp