Nur Damia Irsalina (tengah) bersama ibu bapanya ketika Majlis Penyerahan Surat Tawaran Belajar di TTITC pada Ahad.
Nur Damia Irsalina (tengah) bersama ibu bapanya ketika Majlis Penyerahan Surat Tawaran Belajar di TTITC pada Ahad.

Kudung kaki, tangan bukan penghalang Nur Damia sambung pengajian

23 Jun 2025 10:05am

Walaupun dilahirkan tanpa tangan dan kaki yang sempurna, semangat juang seorang remaja perempuan dari Kampung Padang Setebu, Kuala Berang, Terengganu tidak pernah luntur.

Kecekalan itu terbukti apabila dia berjaya meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran.

Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 18, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal pertama yang diterima mengikuti program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 bagi kursus Pelukis Kanan Rekaan Dalaman di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC), Kampung Teris, di sini.

Menurutnya, dia bersyukur kerana akhirnya dapat menyambung impian dalam bidang rekaan dalaman selepas berdepan pelbagai halangan sebelum ini.

"Saya mula belajar bidang ini sejak Tingkatan Empat untuk Tahap 1 dan meneruskan ke Tahap 2 semasa Tingkatan Lima. Selepas SPM, saya memang nekad mahu menyambung ke Tahap 3.

"Namun, beberapa tawaran yang saya terima sebelum ini menolak permohonan saya apabila mereka mengetahui keadaan fizikal saya, disebabkan tiada kemudahan bersesuaian di pusat pengajian terbabit.

"Apabila diterima di TTITC, saya sangat terharu dan terkejut. Ini bukan sekadar impian, tetapi juga untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa orang seperti saya juga mampu berjaya," katanya.

Nur Damia Irsalina ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Belajar di TTITC yang disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TTITC, Maliaman Kassim, pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Ibunya, Rosnaini Mohamad, 47, berkata beliau dan suami, Daeng Malis Ab Kahar, 53, sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap anak ketiga daripada empat beradik itu.

Katanya, anaknya itu juga menjadi sumber inspirasi keluarga.

"Kami yakin dia boleh menempuhi cabaran sepanjang tempoh pengajian selama 12 bulan ini.

"Dia akan berulang-alik setiap hari dari rumah ke TTITC, dan kami suami isteri akan bergilir-gilir menghantarnya. Jarak perjalanan pergi balik kira-kira 60 kilometer," katanya.

Sementara itu, Maliaman yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu berkata, Nur Damia merupakan pelajar OKU keempat yang diterima masuk ke TTITC setakat ini.

"Sebelum ini, tiga pelajar OKU yang pernah belajar di sini terdiri daripada kategori pendengaran dan bisu. Kehadiran Nur Damia menunjukkan TTITC terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan kelainan upaya," katanya.

WARTAWAN: NORHASPIDA YATIM

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp