No Image Caption

500 ahli Pengakap dan Pandu Puteri ke Jambori Pengakap Dunia Ke-25

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
18 Jul 2023 09:52am
A
A
A

Malaysia bakal menghantar seramai 500 peserta pada Jambori Pengakap Dunia Ke-25 di Korea Selatan yang akan berlangsung mulai 1 hingga 12 Ogos ini.

Ketua Kontinjen Malaysia, Norma Noordin berkata, pasukan tersebut yang terdiri daripada ahli Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dan Pandu Puteri akan menyertai kira-kira 45,000 ahli pengakap dari seluruh dunia.

Tambah beliau, Jambori Pengakap Dunia Ke-25 ini akan berlangsung di SaeManGeum, Jeollabuk-do dan ia bakal menjadi platform untuk membolehkan golongan muda merealisasikan impian mereka menjalin persahabatan dengan orang muda, dari budaya yang berbeza dan mengambil bahagian dalam program yang selamat, inklusif dan mampan.

“Program ini direka bentuk berdasarkan beberapa elemen teras iaitu Pengarakp untuk Kehidupan (scouting for Life), Pintar & Saintifik (Smart & Scientific), Selamat & Termajin (Safe & Secure) serta Kelestarian dan Pengembaraan, Budaya, Tradisi (ACT).

“Dengan bertemakan ‘Draw your Dream’, jambori kali ini mencerminkan keterbukaan pergerakan pengakap untuk menerima idea dan pendapat orang muda dan memberi peluang kepada mereka untuk menjadikan impian jambori masing-masing menjadi kenyataan.

“Sepanjang mereka di sana, kedua-dua pasukan ini akan ditemani dan diurus oleh 19 orang ahli dewasa yang turut mengambil bahagian,” ujarnya pada Majlis Pelepasan Kontinjen Malaysia ke Jambori Pengakap Dunia Ke-25 di Wisma Berita, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Norma, sepanjang jambori tersebut berlangsung, ahli-ahli Pengakap dan Pandu Puteri akan menyertai lebih daripada 200 jenis aktiviti.

Antara aktiviti yang akan diadakan ialah kemahiran hidup, hidup bermasyarakat, sains dan teknologi, pembangunan mampan, budaya serta aktiviti lasak.

Artikel Berkaitan:

“Pada jambori kali ini Kontinjen Malaysia bakal mengetengahkan budaya Malaysia di persada dunia.

“Jambori Dunia 2023 ini juga akan memperkenalkan makanan Malaysia melalui jualan makanan di International Food House yang akan disertai lebih 30 buah negara,” tuturnya lagi.

Dalam pada itu, satu majlis pelepasan kontinjen telah berlangsung dengan meriah di Wisma Berita, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Ia disempurnakan penuh simbolik oleh Pemangku Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok