Lailatulqadar menunjukkan keistimewaan kerana pada malam inilah ALLAH menurunkan kitab suci utama iaitu al-Quranul Karim.
Lailatulqadar menunjukkan keistimewaan kerana pada malam inilah ALLAH menurunkan kitab suci utama iaitu al-Quranul Karim.

7 kelebihan lailatulqadar sebagai panduan guru dan pelajar

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
15 Apr 2023 03:02pm

Setiap umat Islam mengimpikan bertemu dengan lailatulqadar iaitu malam penuh rahmat dan kemuliaan.

Malam yang pahalanya melebihi ganjaran beribadah selama 1,000 bulan dan menyamai 80 tahun empat bulan jika dihitung hanya boleh ditemui setahun sekali iaitu pada salah satu daripada 10 malam terakhir Ramadan.

Sinar Bestari tertarik dengan nasihat Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang boleh dijadikan panduan kepada guru, pelajar, ibu bapa dan penjaga di luar sana.

Nasihat beliau, umat Islam perlu lebih bersungguh-sungguh melakukan amal ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan untuk memperoleh keutamaan lailatulqadar di samping meneladani Rasulullah SAW.

“Caranya bukan semata-mata memadai dengan melakukan solat sunat tarawih sahaja tetapi ia perlu ditambah lagi dengan amalan-amalan sunat lain termasuk tilawah al-Quran, bermunajat dan beristighfar pada waktu sahur, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, berzikir dengan zikir-zikir yang ma’thur dan sebagainya,” ujarnya seperti dipetik menerusi portal tempatan.

Sementara itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang ingin mendapatkan lailatulqadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27. (Hadis riwayat Ahmad).

Terdapat juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia tersebut terjadi pada malam ganjil 10 hari terakhir.

Walau apapun harinya, yang penting pada malam tersebut, ALLAH SWT menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-Nya yang melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan yang selalu mengharapkan keredaan Ilahi dan juga yang sentiasa menghiasi setiap detik kehidupannya dengan amalan salih.

Artikel Berkaitan:

Kelebihan lailatulqadar sudah tentu tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberikan kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja dalam bulan Ramadan.

Untuk mengetahui kelebihan lailatulqadar, Sinar Bestari senaraikan tujuh keistimewaan yang mungkin ramai tidak tahu.

Tujuh kelebihan itu terdiri daripada

1) Malam lebih baik dari 1,000 bulan

Keutamaan lailatulqadar sungguh luar biasa kerana malam ini lebih baik daripada 1,000 bulan dan menyamai 80 tahun empat bulan jika dihitung.

2) Malam turunnya al-Quran

Lailatulqadar menunjukkan keistimewaan kerana pada malam inilah ALLAH menurunkan kitab suci utama iaitu al-Quranul Karim.

3) Turunnya Jibril dan para malaikat

Keistimewaan dan kelebihan lailatulqadar diiringi juga dengan turunnya para malaikat yang diketuai ‘Ar Ruuh’ iaitu malaikat Jibril pada malam al-Qadr dalam suatu angkatan yang besar dan penuh gilang-gemilang untuk memberi taufik serta hidayah kepada orang berpuasa dengan seikhlas hati.

4) Malam penuh keberkatan

Lailatulqadar adalah malam yang penuh keberkatan berdasarkan firman ALLAH:

“Sesungguhnya kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya kamilah yang memberi peringatan” - (Surah Ad Dukhan: Ayat 3).

5) Malam pengampunan dosa

Dosa setiap orang yang menghidupkan malam lailatulqadar akan diampunkan oleh ALLAH.

6) Malam kesejahteraan

Lailatulqadar disifatkan sebagai keutamaan luar biasa dan kesejahteraan kerana pada malam itu malaikat turun untuk mengucapkan 'Salam Sejahtera' kepada seluruh penduduk bumi.

7) Malam pencatatan takdir dalam setahun

Lailatulqadar adalah malam penulisan dan dicatatkan takdir tahunan.

Dengan keistimewaan ini, Sinar Bestari menitipkan doa agar kita semua berpeluang dipertemukan dengan lailatulqadar iaitu malam yang penuh keberkatan di mana segala amalan kebaikan dilipat gandakan dan doa-doa dipermudahkan serta diterima oleh ALLAH.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp