Acara balapan pelajar kurang upaya penglihatan timbul sebak netizen
Olahraga atau balapan sentiasa menjadi acara yang ditunggu-tunggu dalam kalendar tahunan mana-mana sekolah.
Manakan tidak, pada waktu tersebut para pelajar dapat menunjukkan bakat dan kemahiran mereka dalam disiplin sukan.
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok tentang sebuah sekolah di Johor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Osman Mohd Saat, Pontian yang menganjurkan acara balapan bagi pelajar orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah penglihatan.
Muat naik hantaran oleh pemilik akaun bernama Ekalorange itu memperlihatkan sekumpulan pelajar yang cekal meneruskan larian di atas padang meskipun menghadapi kekurangan tersebut.
Tambah mengharukan, kesungguhan tersebut tetap ditunjukkan meskipun acara berkenaan berjalan pada waktu yang mana cuaca ketika itu kurang baik.
Video tersebut mendapat 54,600 tanda suka daripada kalangan pengguna halaman TikTok itu.
Seorang individu bernama EcikJeny yang dipercayai merupakan guru pendidikan khas memuat naik komen tanda terharu mengenai acara berkenaan.
“Setiap kali apabila ada acara yang melibatkan murid kurang penglihatan, air mata pasti akan mengalir,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik akaun MHAS menzahirkan kekaguman atas tanggungjawab para guru yang mengendalikan acara tersebut.
“Kepada cikgu yang mengajar kelas khas, percayalah ALLAH nampak ikhlas anda dan saya doakan pahala kalian berganda kerana menjaga hamba syurga ini,” katanya.
Individu bernama Kakakninjabpt mengakui yang video tersebut amat menyentuh hatinya.
“Baru sampai tempat kerja dan nak sarapan, tiba-tiba tengok video ini, berjurai air mata serta tidak tersuap makanan dalam mulut.
“Kuatlah anak-anak, guru-guru dan ibu semua," luahnya dalam ruangan komen berkenaan.