Jerome Khou
Jerome Khou

Aktivis alam sekitar, Cikgu Jerome terima pengiktirafan antarabangsa

20 Aug 2024 08:05pm

Guru Matematik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Union, Pulau Pinang, Cikgu Jerome Khou diiktiraf sebagai ahli Environmental Education (EE) 30 Under 30 oleh North American Association for Environmental Education (NAAEE), baru-baru ini.

Keahlian berprestij ini dianugerahkan kepada warga muda berumur 21 hingga 30 tahun yang berjaya membantu komuniti di serata dunia berkenaan masalah alam sekitar dan isu sosial melalui inisiatif berkaitan dengan pendidikan alam sekitar.

Sebagai ahli EE 30 Under 30 Kelas 2024, Cikgu Jerome akan diserap masuk ke komuniti global EE 30 Under 30 dan menerima pelbagai bantuan bagi meneruskan usaha melestarikan alam sekitar dan membina masyarakat progresif.

Dalam masa sama, Cikgu Jerome masih aktif sebagai pengerusi Green Educator's Workgroup (GREW), sebuah perbadanan bukan untung (NPO) yang telah menganjurkan lebih 50 program melibatkan Education for Sustainable Development (ESD) di Malaysia.

Melalui temu bual bersama NAAEE, Cikgu Jerome menyatakan misi NPO adalah untuk memupuk budaya cakna alam sekitar dan menggerakkan inovasi serta inisiatif berkesan untuk menggalakkan pendidik, pelajar dan pihak berkepentingan mempraktikkan amalan lestari.

“Objektif kami adalah untuk menerapkan prinsip cintakan alam sekitar ke dalam alam pendidikan dan menghasilkan generasi yang sedar tentang kepentingan penjagaan alam sekitar.

“Saya berasa bersyukur apabila usaha kami mendapat sokongan pengetua-pengetua untuk mengintegrasikan ESD,” ujar cikgu tersebut.

Untuk makluman, program EE 30 Under 30 anjuran NAAEE telah mengiktiraf 271 individu dari 53 negara semenjak 2016, menghargai kejayaan mereka melalui pendidikan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp