Kredit foto: Pixabay
Kredit foto: Pixabay

Amalan yang perlu dilakukan sempena bulan Muharam, berikut perinciannya

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
17 Jul 2023 09:40pm

Tahun Baharu dalam kalendar Islam iaitu 1 Muharam akan bermula apabila masuknya waktu Maghrib pada Selasa, 18 Julai 2023.

Ia bermakna, hari ini (selepas Maghrib) kalendar Hijrah (H) akan bertukar kepada tahun 1445H.

Dalam kalendar tersebut terdapat 12 bulan yang wajib diketahui seluruh umat Islam.

Bulan-bulan tersebut terdiri daripada Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah.

Muharam merupakan bulan pertama dalam Takwim Hijrah.

Ia bermaksud ‘diharamkan’ iaitu ALLAH SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah.

Bulan Muharam mengingatkan kita, umat Islam mengenai dua hal penting iaitu;

1) Bulan ini adalah satu daripada empat bulan (Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijah) yang dimuliakan dan yang diagungkan oleh ALLAH dan RasulNya, sebagai bulan haram.

Artikel Berkaitan:

2) Muharam juga adalah tahun baharu umat Islam yang dikenali dengan peristiwa besar berupa peristiwa Hijrah Rasulullah SAW daripada Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Kredit foto: Pixabay
Kredit foto: Pixabay

Kenapa dipanggil bulan haram

Para ulamak menyatakan terdapat dua makna pada istilah haram;

1) Pada bulan-bulan tersebut diharamkan melakukan pembunuhan dan pertumpahan darah.

2) Pada bulan-bulan tersebut juga dilarang melakukan perbuatan-perbuatan yang haram dan zalim sama ada kepada diri sendiri atau kepada orang lain.

Kezaliman yang dimaksudkan itu seperti meninggalkan yang diwajibkan oleh ALLAH dan melanggar apa yang dilarangNya serta tidak mentaati perintahNya.

Di luar bulan-bulan ini, perbuatan seperti ini tentu sahaja ada berlaku tetapi di dalam bulan-bulan haram, ia lebih ditekankan kerana dosanya lebih besar dan berganda.

Begitu juga jika melakukan ketaatan pahalanya lebih besar dan berganda.

Jadi pada bulan Muharam ini iaitu salah satu daripada empat bulan haram dalam Islam, Islam menekankan agar memperbanyakkan amalan soleh.

Sementara itu, sempena tibanya Tahun Baharu ini, Sinar Bestari kongsikan enam amalan yang boleh dilakukan umat Islam sepanjang Muharam iaitu;

1) Berpuasa sunat pada hari terakhir bulan Zulhijah (18 Julai)

2) Membaca doa akhir tahun pada hujung waktu Asar (18 Julai)

3) Membaca doa awal tahun setelah solat Maghrib (18 Julai)

4) Berpuasa sunat pada hari pertama Muharam (19 Julai)

5) Berpuasa sunat Hari Tasu'a pada 9 Muharam (27 Julai)

6) Puasa sunat Hari Asyura pada 10 Muharam (28 Julai)

Kredit foto: Pixabay
Kredit foto: Pixabay

Kepentingan membaca doa akhir dan awal tahun

Dalam pada itu, berbicara mengenai kepentingan membaca doa akhir dan awal tahun, pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau Da’i Fuad berkata, doa berkenaan mempunyai kaitan dengan memulakan tahun baharu bagi memohon keberkatan, kerahmatan dan kasih sayang ALLAH.

“Ia adalah adab dan permintaan kita. Doa akhir tahun dan awal tahun sebenarnya permintaan kepada ALLAH supaya DIA menurunkan lebih banyak rahmat, kejayaan dan rezeki yang halal melimpah-ruah.

“Ia sama seperti kehidupan kita. Setiap kali memulakan sesuatu, kita mahu mendahuluinya dengan langkah kanan. Sama juga halnya dalam perkara ini,” ujarnya seperti dipetik portal tempatan.

Menurut beliau lagi, bulan Muharam mempunyai kelebihan tertentu dan beliau menukilkan pandangan al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali yang menyatakan, ia dinamakan sebagai bulan ALLAH bagi menunjukkan kemuliaannya.

“Jelas ulama berkenaan, ALLAH sama sekali tidak akan menisbahkan diriNya kepada makhlukNya kecuali kerana ada keistimewaan atas ciptaanNya itu.

“Bahkan, al-Imam an-Nawawi Rahimahullah juga menyatakan, dalam keadaan yang sangat jelas bahawa ALLAH memberikan banyak manfaat dan fadilat untuk mereka yang beramal dalam bulan Muharam,” tutur Da’i Fuad.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp