No Image Caption

Beza kehidupan universiti dan sekolah

13 Jul 2023 04:28pm

Segala penat lelah calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) terjawab pada Khamis.

Justeru, syabas diucapkan kepada mereka yang berjaya meraih keputusan cemerlang kerana ia secara tidak langsung menjadi ‘lesen besar’ untuk menyambung pelajaran ke menara gading.

Bagi yang kurang bernasib baik, jangan terus kecewa kerana masih ada peluang bagi yang ingin maju ke hadapan.

Bercerita tentang keputusan STPM ketika ini pastinya tidak terlepas buat kita untuk membincangkan tentang perihal universiti.

Ini kerana kebanyakan pelajar yang mengambil sijil tersebut kebiasaannya mempunyai cita-cita untuk meneruskan pelajaran ke institusi berkenaan.

Namun, tahukah bahawa terdapat beberapa sisi kehidupan kampus yang berbeza berbanding semasa di sekolah?

Jom kita lihat apakah perbezaannya!

1. Semuanya diuruskan sendiri

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Semasa di bangku sekolah, hampir setiap aspek bermula daripada pengajaran sehingga ke nota pembelajaran disediakan oleh guru.

Itu belum ditambah dengan program kecemerlangan dan motivasi yang diadakan pada hari tertentu.

Apa yang perlu dilakukan pelajar adalah mereka hanya perlu memberikan komitmen semampu mungkin terhadap pembelajaran.

Akan tetapi segalanya berbeza dengan kehidupan di kampus memandangkan semuanya perlu dilakukan secara ‘manual’.

Tiada siapa yang akan peduli jika anda terlepas input pembelajaran kerana kebiasaannya syarahan kuliah diberikan secara umum.

Sekiranya ingin perincian ia adalah tanggungjawab pelajar itu sendiri untuk menelaah segala maklumat sama ada secara dalam talian, di perpustakaan atau berjumpa terus dengan pensyarah.

Itu belum ditambah dengan anjuran acara atau majlis yang memerlukan pelajar untuk menguruskannya secara ‘sendirian’ tanpa pertolongan mana- mana pihak.

2. Kejutan budaya

No Image Caption

Enam atau lima tahun di sekolah menengah menjadikan rata-rata pelajar lebih selesa dengan rakan masing-masing.

Bagaimanapun, kehidupan di menara gading pastinya bakal mempertemukan dengan insan daripada pelbagai latar belakang yang berbeza.

Oleh itu adakalanya pergaulan baharu itu membawa satu naratif yang berbeza kepada mereka.

Maka, jangan terkejut jika ada pelajar yang gaya hidupnya berubah 90 darjah semasa di kampus.

Apa yang penting, perkataan ‘jaga diri’ perlu ada di dalam kamus kehidupan.

3. Akses persatuan lebih luas

Berbanding di bangku sekolah, kehidupan di universiti membuka ruang buat para pelajar untuk terlibat dengan pelbagai persatuan dan menjadi lebih aktif.

Terdapat pelbagai badan atau unit beruniform yang ada di kampus termasuk Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan banyak lagi yang tersedia untuk menerima anda.

Jangan terkejut, persatuan yang bermotifkan politik juga mempunyai ‘pangkalan’ bagi menarik anak muda di sana.

Penyertaan dalam unit beruniform, kelab dan persatuan bakal memberikan peluang kepada pelajar untuk mencari pengalaman khususnya dalam bab kepimpinan dan pengurusan.

Apa pun, seaktif mana pun mahasiswa jangan sampai menjejaskan pelajaran ya.

4. Kos sara hidup

Isu kos sara hidup tidak pernah berhenti dibincangkan dalam pelbagai kelas masyarakat sama ada yang telah bekerja atau masih belajar.

Berbanding di sekolah kehidupan di universiti kebiasaannya memerlukan pelajar untuk berjauhan dengan keluarga. Ia sudah pasti mempengaruhi kos kewangan mereka.

Bermula daripada makan dan minum sehinggalah rumah sewa semuanya ‘bermain’ dengan jumlah wang yang bukan sedikit.

Berdasarkan Panduan Belanjawanku 2022/2023 yang diterbitkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan kos hidup untuk golongan bujang di bandar besar seperti Lembah Klang memerlukan mereka mempunyai sekurang-kurangnya RM1,930.

Perkara itu tidak menghairankan kerana jika dilihat kos sewa bilik sahaja mencecah ratusan ringgit bagi pelajar yang tidak tinggal di asrama.

Oleh itu, mereka yang menyambung pengajian di kawasan bandar besar seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Baharu perlu bersedia dan bijak dalam menguruskan kewangan.

Elakkan menggunakan wang yang banyak bagi perkara yang tidak penting. Bezakan antara kemahuan dan keperluan.

Bahkan dalam konteks pembelajaran, sekiranya boleh mendapatkan bahan atau nota tanpa perlu membelinya seperti dengan capaian atas talian, lakukan.

5. Latihan industri

No Image Caption

Tempoh belajar di menara gading bukan terikat dengan teori semata-mata seperti di sekolah tetapi juga secara amali.

Maka, menajdi lumrah setiap pelajar untuk mengikuti latihan industri di mana-mana syarikat atau perusahaan.

Apa yang menjadi cabaran adalah isu elaun yang diberikan kepada mereka.

Terdapat sesetengah syarikat tidak memberikan sebarang upah atau elaun kepada pelajar semasa mereka mengikuti latihan.

Ia sudah pasti dilihat satu cabaran terutama bagi mereka yang menjalaninya dan tinggal di Lembah Klang dan bandar utama lain di dalam negara memandangkan kos sara hidup semakin meingkat dari semasa ke semasa.

Di samping itu, terdapat pelajar mengikuti latihan di indutsri yang tidak sepadan dengan jurusan mereka.

Contohnya, individu tersebut mengikuti pengajian dalam jurusan Komunikasi namun menjalani praktikal di pasar raya atau bertugas sebagai pengawal keselamatan.

Maka, para pelajar perlu bijak merancang bagi menjalani latihan di industry, tempat yang sesuai kerana ia dapat mempengaruhi kualiti kemahiran mereka.

Setakat ini perkongsian dari kami. Sinar Bestari sekali lagi mengucapkan tahniah kepada mereka yang memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM dan selamat melangkah ke peringkat pengajian seterusnya.

Selamat maju jaya!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp