
Di sebalik hilang minat, masih ramai bertahan
Profesion guru sejak dahulu diangkat sebagai kerjaya mulia dan diminati ramai.
Ini kerana, sebahagian besar dalam kalangan anak muda memilih laluan pendidikan dan latihan perguruan kerana melihat pekerjaan ini sebagai satu kerjaya stabil, terjamin dari segi masa depan dan penuh dengan nilai bakti.
Malah, permohonan untuk mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) atau universiti sentiasa tinggi setiap tahun, membuktikan daya tarikan kerjaya berkenaan tidak pernah luntur.
Namun di sebalik popularitinya, fenomena guru memilih untuk bersara awal semakin mendapat perhatian.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who, punca utama yang dikenal pasti adalah hilang minat terhadap kerjaya, selain faktor masalah keluarga dan kesihatan.
Beliau berkata, berdasarkan data kementerian, sebanyak 67.44 peratus guru yang memohon persaraan awal menyatakan tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjaya dalam dunia pendidikan.
Manakala masalah keluarga pula mencatatkan 17.43 peratus, diikuti masalah kesihatan sebanyak 7.69 peratus, beban tugas (5.37 peratus) dan masalah peribadi (2.08 peratus), kongsi Kah Who dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Penulis berpendapat, hilang minat bukan berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya terbentuk selepas bertahun-tahun berdepan pelbagai tekanan.
Antaranya bebanan kerja yang semakin meningkat sekali gus ramai guru merasakan tumpuan mereka untuk mengajar semakin berkurangan.
Keadaan ini lama-kelamaan menjejaskan semangat dan akhirnya membuatkan sebahagian daripada mereka memilih untuk berundur lebih awal.
Meskipun terdapat guru yang hilang minat hingga mengambil keputusan untuk bersara, profesion ini tetap diminati ramai. Ribuan permohonan untuk menjadi guru membuktikan kerjaya berkenaan masih relevan.
Walaupun kita dimaklumkan tentang kehilangan ramai guru kerana kurang minat terhadap kerjaya mereka, namun jangan dilupakan bahawa masih ada kelompok cikgu yang kekal setia hingga ke usia persaraan wajib.
Golongan berkenaan biasanya mempunyai minat mendalam terhadap pendidikan dan melihat pekerjaan guru sebagai satu perjuangan.
Mereka mampu bertahan kerana mempunyai sokongan moral daripada keluarga, rakan sekerja dan pentadbir sekolah. Lebih penting, masing-masing meraih kepuasan apabila berjaya mendidik anak bangsa.
Sebagai contoh, Roslah Ishak, 58, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Lebu, Bentong, Pahang, baru sahaja menamatkan perkhidmatannya secara rasmi. Sepanjang lebih tiga dekad bergelar cikgu, Roslah telah menabur bakti mendidik anak bangsa tanpa mengenal penat lelah.
Baginya, tempoh perkhidmatan yang panjang itu bukan sekadar angka, tetapi satu perjalanan penuh pengalaman, pengorbanan dan kasih sayang terhadap dunia pendidikan.
"Profesion perguruan bagi saya bukan sekadar pekerjaan untuk mencari rezeki. Ia adalah satu panggilan jiwa, satu amanah besar yang digalas dengan penuh rasa cinta dan tanggungjawab.
"Walaupun sudah bersara, saya tetap seorang guru. Jiwa ini akan sentiasa bersama bidang pendidikan. Selagi mampu, saya ingin terus menyumbang, walaupun bukan lagi secara rasmi di bilik darjah," katanya dalam portal tempatan.
Seorang lagi insan hebat dunia pendidikan ialah Jolkili Ya’akup dari SK Kelapa Sawit No. 2, Subis, Sarawak, juga baru menamatkan perkhidmatannya selepas 34 tahun mencurah bakti sebagai pendidik.
Sepanjang tempoh itu, beliau dikenali sebagai seorang guru yang penuh dedikasi dan komitmen terhadap amanah yang dipikul.
Sikap penyayang dan keprihatinannya menjadikan beliau amat dikasihi serta dihormati bukan sahaja oleh murid-murid, tetapi juga rakan setugas, ibu bapa dan seluruh warga sekolah.
Ramai yang menitipkan doa agar beliau terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga tercinta.
Sebenarnya profesion guru masih menjadi pilihan ramai meskipun terdapat guru yang hilang minat dan bersara awal.
Cabaran kerjaya sememangnya tidak dapat dielakkan, tetapi sokongan berterusan boleh membantu memelihara semangat mereka.
Selagi minat dan cinta terhadap pendidikan dipupuk, akan ada guru yang kekal setia sehingga akhir perkhidmatan.
Realitinya, profesion guru tetap relevan dan akan terus diminati, asalkan cabaran semasa dapat diurus dengan bijak.