Kredit foto: antaranews
Kredit foto: antaranews

Boleh ragut jutaan nyawa berbanding Covid-19, 6 info ‘ngeri’ penyakit X

AZLEENDA SAHALUDIN
26 Sep 2023 03:21pm
A
A
A

Pakar kesihatan global percaya ancaman pandemik besar seterusnya semakin hampir dan boleh meragut sehingga jutaan nyawa berbanding Covid-19.

Digelar sebagai penyakit X oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Justeru itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia menghadapi segala kemungkinan yang berlaku pada masa depan berhubung pandemik baharu termasuk ancaman penyakit X dalam negara.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, WHO akan memberikan amaran kepada negara-negara sekiranya terdapat ancaman berkenaan.

“Ia dinamakan X kerana masih belum diketahui penyakit yang sebenar, namun kita sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia hadapi kemungkinan pandemik ini.

“Semasa saya menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, isu penyakit X ini tidak dibincangkan antara Menteri Kesihatan lain.

“Namun, di peringkat Malaysia, KKM sentiasa membuat pemantauan jika ada muncul penyakit-penyakit baharu seperti yang diperkatakan,” katanya seperti dipetik portal tempatan.

Melihat kepada ancaman pandemik baru ini, Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi enam info tentang penyakit X kepada pembaca.

Artikel Berkaitan:

Jom kita lihat.

6 Info penyakit X

1. Ia digelar sebagai penyakit X oleh WHO dan dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa.

2. WHO menyarankan penyediaan segera vaksin sebagai tindak balas cepat setelah dunia berada pada situasi ‘tidak bersedia’ ketika menghadapi Covid-19 pada awal 2020.

3. Kate Bingham yang pernah mempengerusikan Pasukan Petugas Vaksin Britain menggesa komuniti antarabangsa supaya tidak leka kerana sesuatu wabak berupaya menjadi pembunuh senyap.

4. Kata Bingham, para saintis mengenal pasti 25 keluarga virus yang berpotensi untuk berkembang menjadi pandemik.

5. Menurutnya lagi, dianggarkan terdapat kira-kira sejuta lagi virus yang masih terdapat di luar sana dan boleh melompat dari satu spesies ke satu spesies lain dan berupaya membunuh jutaan manusia.

6. Ujar Bingham, bayangkan jika penyakit X berjangkit dengan kadar kematian seperti Ebola (67 peratus). Di bahagian lain di dunia, ia kemudiannya mereplika dan lambat-laun ada individu akan jatuh sakit.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok