Imam Syafii mengajar anak muridnya, Rabi’ dengan penuh kesabaran, kasih sayang dan doa.
Imam Syafii mengajar anak muridnya, Rabi’ dengan penuh kesabaran, kasih sayang dan doa.

Cara Imam Syafii mengajar murid 'slow learner' jadi inspirasi ramai

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
29 Oct 2024 05:28pm

Slow learner merujuk kepada murid yang mempunyai kesukaran dalam memahami pelajaran berbanding dengan rakan sebaya mereka.

Golongan ini mungkin memerlukan lebih banyak masa, bimbingan dan pendekatan pembelajaran yang berbeza untuk memahami konsep atau menyelesaikan tugasan.

Namun, mereka bukanlah murid yang mempunyai kecacatan intelektual sebaliknya anak-anak didik ini hanya memerlukan pendekatan pembelajaran yang sesuai untuk membantu mereka mencapai potensi penuh.

Bagi yang bergelar pendidik, sifat sabar perlu ada dalam diri mereka supaya murid-murid slow learner dapat belajar dengan baik tanpa rasa tekanan.

Baru-baru ini, Sinar Bestari menemui perkongsian menarik di Facebook mengenai cara Imam Syafii mengajar anak muridnya yang slow learner.

Kesabaran Imam Syafii ketika mengajar Ar Rabi’ bin Sulaiman sangat lembut dan wajar dijadikan contoh serta panduan kepada mereka yang bergelar guru.

Berikut perkongsiannya.

*****

Sangat mengesankan dengan apa yang ditulis Imam Baihaqi dalam kitab Manaqib Imam Syafii iaitu bagaimana cara Imam Syafii (sebagai guru) mengajar salah seorang muridnya yang sangat lamban dalam memahami pelajaran.

Sang murid itu adalah Ar Rabi’ bin Sulaiman, murid paling slow learner.

Berkali-kali diterangkan oleh sang guru Imam Syafii, tapi Rabi’ tak juga faham.

Setelah menerangkan pelajaran, Imam Syafii bertanya...

"Rabi, sudah faham ke belum?"

"Belum faham," jawab Rabi.

Dengan kesabarannya, sang guru mengulang lagi pelajarannya, lalu ditanya kembali...

"Sudah faham belum? Belum.

Berulang diterangkan sampai 39 kali Rabi’ tak juga faham.

Merasa mengecewakan gurunya dan juga malu, Rabi’ beringsut pelan-pelan keluar dari majlis ilmu.

Selesai memberi pelajaran, Imam Syafii mencari Robi’ dan berkata, "Robi', kemarilah, datanglah ke rumah saya".

Sebagai seorang guru, sang imam sangat memahami perasaan muridnya, maka beliau mengundang untuk belajar secara persendirian.

Sang Imam mengajarkan Rabi’ secara private dan ditanya kembali, sudah faham belum?

Hasilnya? Rabi’ bin Sulaiman tidak juga faham.

Apakah Imam Asy-Syafi’i berputus asa?

Menghakimi Rabi’ bin Sulaiman sebagai murid bodoh? Sekali-kali tidak. Beliau berkata...

"Muridku, sebatas inilah kemampuanku mengajarimu. Jika kau masih belum faham juga, maka berdoalah kepada ALLAH agar berkenan mengucurkan ilmuNya untukmu. Saya hanya menyampaikan ilmu. ALLAHlah yang memberikan ilmu. Andai ilmu yang aku ajarkan ini sesendok makanan, pastilah aku akan menyuapkannya kepadamu.”

Mengikuti nasihat gurunya, Rabi’ rajin sekali bermunajat berdoa kepada ALLAH dalam kekhusyukkan. Ia juga membuktikan doa-doanya dengan kesungguhan dalam belajar. Keikhlasan, kesalahan dan kesungguhan, inilah amalannya.

Tahukah kita? Rabi’ bin Sulaiman kemudian berkembang menjadi salah satu ulama besar Madzhab Syafi’i dan termasuk perawi hadis yang sangat kredibel dan terpercaya dalam periwayatannya.

Sang slow learner bermetamorfosis menjadi seorang ulama besar.

Inilah buah dari kesabaran Imam Asy-Syafi’i dalam mengajar dan mendidik.

Adakah kita, para guru dan orang tua mampu meneladani kesabaran Imam Syafii dalam mengajar?

Berapa kuat kita meyakini bahawa tidak ada anak dan murid yang bodoh?

Sudahkah kita, para guru dan orang tua mendoakan anak-anak dan murid-murid agar memahami pelajaran?

Sudahkah kita, para guru dan orang tua memotivasi anak murid agar gigih berdoa kepada ALLAH?

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp