Cikgu perlu menyediakan pelbagai dokumen penting sebelum mereka memohon Guru cemerlang.
Cikgu perlu menyediakan pelbagai dokumen penting sebelum mereka memohon Guru cemerlang.

Cara memohon Guru Cemerlang

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
01 Aug 2024 05:32pm

Ramai dalam kalangan pendidik hari ini melahirkan hasrat untuk menjadi Guru Cemerlang.

Bagaimanapun, untuk merealisasikan impian itu, ia bukan semudah memetik jari.

Difahamkan, pelbagai persiapan terutama berbentuk dokumen, perlu disediakan warga cikgu yang berminat bergelar Guru Cemerlang.

Justeru, anda perlu bersiap sedia segala keperluan sebelum memohon gelaran itu.

Baru-baru ini, Guru Cemerlang Sains Sekolah Rendah, Cikgu Sharifah Noraziah Syed Ali berkongsi pengalaman dan tip berkenaan permohonan Guru Cemerlang.

Katanya, mereka yang dilantik dilihat sebagai satu pencapaian antara yang terbaik dan termanis hasil usaha mereka selama ini.

“Sebenarnya, ramai lagi yang sememangnya layak menjadi Guru Cemerlang gred 44/48/52/54, tetapi tidak memohon.

“Ya, untuk pangkat Guru Cemerlang ini mestilah memohon terlebih dahulu untuk melalui peringkat-peringkat tapisan sebelum dilantik,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Seterusnya, mari ikuti koleksi tip penting perkongsian guru hebat ini.

Semoga bermanfaat!

*****

Peringkat-peringkat yang perlu dilalui:

Permohonan -> Saringan dan Tapisan (Putrajaya) -> Pemantauan di sekolah untuk verifikasi (jika melepasi tapisan kelayakan)

-> Keputusan dan Pelantikan

Persediaan untuk memohon dan pemantauan:

1) Menepati syarat kelayakan (cukup tempoh untuk memohon) dan syarat-syarat umum lain

Sah jawatan

Telah dinaikkan pangkat ke gred semasa, tidak layak memohon jika sedang memangku

Bebas tindakan tata tertib

Lulus tapisan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Telah isytihar harta

Markah prestasi sekurang-kurangnya 80 peratus untuk tiga tahun kebelakangan

Mendapat sokongan Ketua Jabatan

2) Sumbangan peringkat sekolah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa

Jangan lupa simpan semua sijil-sijil sumbangan, penyertaan di pelbagai peringkat untuk dokumentasi sebagai bukti sumbangan cikgu. Paling penting, kemenjadian murid-murid cikgu sendiri daripada aspek peningkatan peperiksaan, pencapaian murid dalam pertandingan dan sebagainya.

Walaupun kita terlibat dengan pelbagai aktiviti, tetapi kebajikan murid kita sendiri jangan diabaikan.

Sumbangan sebagai Ketua Panitia, Jurulatih Utama (JU) Daerah, JU Kebangsaan, panel-panel Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), semua itu ada kreditnya.

No Image Caption

3) Anugerah dan pencapaian dalam profesion perguruan

Sekiranya cikgu-cikgu pernah mendapat apa-apa anugerah, contohnya Guru Inovatif, Ikon dan sebagainya, mohonlah cikgu! Ini antara kredit terbesar untuk berjaya. (Pendapat peribadi saya berdasarkan pemerhatian dan pengalaman)

4) Hasil penulisan

Sekiranya cikgu-cikgu ada menghasilkan apa-apa bahan penulisan ilmiah, simpan cikgu, sebagai evidens.

Simpan dan catat juga modul, buku kerja, laman blog, youtube channel, bahan-bahan ceramah yang cikgu hasilkan sendiri.

5) Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan Kajian Tindakan

Sebagai guru, kita memahami murid-murid sendiri. Justeru, kenal pasti kelemahan murid dan buatlah inovasi untuk membantu mereka.

Bahan inovasi boleh dijadikan Kajian Tindakan. Dokumentasikan semuanya malah, bahan inovasi sebegini boleh digunakan dalam pertandingan Anugerah Guru Inovatif daerah dan negeri yang diadakan saban tahun sebelum dipilih untuk ke peringkat kebangsaan.

6) Dokumentasi

Ini bukti paling penting untuk verifikasi semasa pemantauan. Saya pasti ramai antara kita yang kerjanya sangat cemerlang, tapi lemah dalam bahagian dokumentasi.

Apa yang perlu ada semasa pemantauan?

Sediakan fail-fail berasingan untuk pemantauan

1) Sumbangan peringkat sekolah (Hal Ehwal Murid, kurikulum dan kokurikulum)

2) Sumbangan peringkat negeri

3) Sumbangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa

4) Sumbangan luar yang melibatkan komuniti

5) Sijil kursus-kursus peningkatan profesion yang pernah dihadiri

6) Hasil-hasil penulisan

7) Inovasi dan Kajian Tindakan

8) Rekod pencapaian murid (semua kelas yang cikgu ajar terutamanya kelas peperiksaan)

No Image Caption

9) Slide PowerPoint (berdasarkan kehendak dan syarat yang dikemukakan dalam surat makluman pemantauan)

10) Pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc)

Pemantauan PdPc cikgu juga antara yang sangat penting dan perlu dititikberatkan. Pastikan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dan bahan bantu mengajar (BBM) cikgu lengkap. PAK21 dan teknologi dalam PdPC sangat digalakkan.

11) Hubungan dengan rakan sekerja.

Pemantau akan turut bertemu dengan rakan-rakan sejawat kita untuk temu duga. Hubungan yang positif, ikhlas, insya-ALLAH akan membantu kita nanti.

Akhir sekali, teruskan berdoa dan jangan putus asa. ALLAH sudah tetapkan rezeki masing-masing dari pelbagai sudut, cuma cepat atau lambat, bergantung kepada usaha dan semangat kita.

Usaha, doa, tawakal. Jaga niat, ALLAH pelihara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp