Siti Ameera lakar kejayaan membanggakan di The University of Edinburgh, Scotland. Kredit foto: Laman LinkedIn.
Siti Ameera lakar kejayaan membanggakan di The University of Edinburgh, Scotland. Kredit foto: Laman LinkedIn.

Cemerlang di The University of Edinburgh, Scotland, kebijaksanaan Siti Ameera buat ramai kagum!

29 Jun 2023 10:17pm
A
A
A

Kejayaan Siti Ameera Liana Ahmad Kamal yang menerima penganugerahan ljazah Kelas Pertama Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (EEE) (Kepujian) serta Pingat Pencapaian Pelajar Cemerlang Tahun Empat Kursus EEE di The University of Edinburgh, Scotland baru-baru ini, membuktikan negara mampu berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi.

Beliau yang merupakan pelajar cemerlang tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, kejayaan itu adalah susulan daripada penulisan tesis yang mengkaji penggunaan semula bateri kereta elektrik untuk aplikasi fotovoltan (PV) solar di luar grid dengan menggunakan Simulink pada MATLAB iaitu satu platform pengaturcaraan.

“Segala usaha membuahkan hasil apabila menerima gred kelas pertama untuk projek saya.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada penyelia, Dr Jonathan Shek atas bimbingan dan sokongan berterusan sepanjang tahun.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pemeriksa, Dr Paul Judge atas maklum balas dan idea yang membina serta memastikan saya sentiasa berada di landasan yang betul,” katanya menerusi hantaran di laman LinkedIn.

Siti Ameera yang pernah mengikuti pengajian A-Level di Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan sebelum ini turut berkongsi kegembiraan tersebut dengan merakamkan penghargaan kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaannya.

“Selama empat tahun saya berusaha dan akhirnya ia membuahkan hasil.

“Terima kasih kepada MARA atas peluang yang diberikan untuk belajar di luar negara serta membantu merealisasikan impian belajar di salah sebuah universiti terkemuka dunia.

Artikel Berkaitan:

“Tidak ketinggalan kedua ibu bapa saya, keluarga dan sahabat-sahabat yang tidak putus memberikan sokongan,” jelas Siti Ameera.

Sementara itu, gadis cantik ini turut memberitahu, mengikuti pengajian di Edinburgh adalah satu pengalaman yang luar biasa.

“Sejujurnya, tiada tempat lain seindah bandar ini tetapi setiap perjalanan pasti ada pengakhirannya.

“Beribu kenangan telah tercipta sejak saya mula datang pada tahun 2018 dan setiap daripadanya akan saya ingat sampai bila-bila,” akhiri beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok