Nama Cikgu Abdul Muiez sememangnya tidak asing lagi dalam dunia pendidikan.
Nama Cikgu Abdul Muiez sememangnya tidak asing lagi dalam dunia pendidikan.

Cikgu Abdul Muiez nekad beri yang terbaik selagi diri bergelar pendidik

ROSHLAWATY MD RAIEH
18 Apr 2023 04:28pm
A
A
A

Wajahnya sering kali dilihat dalam televisyen menerusi program DidikTV Kementerian Pendidikan (KPM).

Caranya mengendalikan program dengan perkongsian idea, ilmu dan pengetahuan serta perkhidmatan kaunseling membuatkan beliau cukup dikenali dalam kalangan guru dan para pelajar.

Cikgu Abdul Muiez Ruslee yang merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, Selangor berkata, penglibatannya dalam DidikTV KPM adalah lebih kepada perkongsian segmen hala tuju pendidikan.

“Pada tahun 2021 hingga 2022, saya telah bersiaran sebanyak 18 episod di DidikTV KPM dan antara tajuk yang diketengahkan adalah Laluan kerjaya: Hala tuju selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 11 laluan hala tuju selepas SPM.

“Alhamdulillah, sepanjang perkongsian 18 episod itu dilakukan, saya menerima maklum balas yang cukup baik dalam kalangan penonton,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Selain aktif dalam DidikTV KPM, ada sisi lain yang memperlihatkan kepakaran dan keistimewaan Cikgu Abdul Muiez dalam dunia pendidikan.

Sinar Bestari mencungkil kelebihan yang ada dan sebagai perkongsian bersama, kami bawakan keperibadian Cikgu Abdul Muiez seperti diceritakannya baru-baru ini.

*****

Artikel Berkaitan:

Tiada siapa sangka, hanya dengan perkongsian secara suka-suka di YouTube, Cikgu Abdul Muiez berjaya menjemput hampir 40,000 subscriber ke saluran beliau.

Manakala di Facebook pula, guru ini berjaya mengumpul hampir 20,000 pengikut dan lebih 15,000 di TikTok.

Difahamkan, rata-rata pengikutnya adalah pelajar, lepasan SPM dan mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT).

Perkongsian Cikgu Abdul Muiez mengenai hala tuju selepas SPM kepada anak didiknya bermula pada 2019.

Asalnya, beliau hanya ingin membuat video sebagai panduan para pelajar di sekolah. Tetapi, semakin lama, perkongsian itu mendapat tempat di hati penonton kerana penyampaiannya yang begitu santai dan bersahaja.

No Image Caption

Cikgu Abdul Muiez yang kini digelar guru hala tuju mula berkhidmat sebagai guru pada 2007 sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih di Sekolah Agama Menengah Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.

Kemudiannya, beliau menyambung pengajian dalam Diploma Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Pendidikan Islam di Bangi, Selangor, dan telah diserap sebagai guru tetap pada 2009.

Selepas enam tahun berkhidmat sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling, Cikgu Abdul Muiez mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) secara sepenuh masa dan bergaji penuh dengan biasiswa.

Sebaik tamat pengajian di USIM, beliau ditempatkan di SMK Seri Desa dan SMK Sungai Burung di Tanjung Karang, Selangor, sebelum berkhidmat di sekolah sekarang bermula 2017.

Cikgu Abdul Muiez sangat aktif dalam bidang penulisan dan telah memiliki hampir 20 buah buku serta akan terbit sebuah lagi sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023.

Antara yang mendapat tempat ialah karya sastera iaitu Mandala Anak Merdeka yang mana karya ini pernah disenarai pendek untuk dijadikan teks KOMSAS Tingkatan Tiga namun tidak berjaya.

Cikgu Abdul Muiez gemar menulis cerpen sehingga pernah dijemput beberapa kali oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia bagi berkongsi penulisan cerpen di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Selain daripada itu, karya-karyanya juga pernah disiarkan dalam Berita Minggu, majalah Mingguan Wanita dan beberapa majalah lain.

No Image Caption

Beliau juga pernah menghasilkan beberapa skrip drama radio dan disiarkan dalam slot drama Nur Hikmah di radio IKIM.FM malah guru ini juga pernah beberapa kali memenangi sayembara penulisan anjuran KPM.

Sehingga ke hari ini, Cikgu Abdul Muiez telah menerima pelbagai anugerah.

Antara anugerah tersebut terdiri daripada Tokoh Guru Bimbingan dan Kaunseling daerah Kuala Selangor (2016); Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2021); Tokoh Kepimpinan Guru Kaunseling Sabak Bernam (2021); Edufluencer KPM (2022); Anugerah Adiguru dan mewakili Sabak Bernam ke negeri Selangor (2023) serta banyak lagi.

Kebolehan beliau bukan hanya sekadar di luar sekolah tetapi juga banyak jasa yang telah guru ini tumpahkan kepada pelajar dan warga SMK Sungai Besar.

Sebagai contoh, pada 2022, Cikgu Abdul Muiez bersama guru kaunseling yang lain mendapat tempat keempat dalam Pertandingan Amalan Terbaik peringkat kebangsaan dan menjadi guru pembimbing kepada pasukan Rekabentuk Grafik Kerjaya yang mana pasukan itu mendapat tempat pertama di peringkat kebangsaan.

Kemudian, Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMK Sungai Besar mendapat anugerah gangsa dalam penarafan Laman Minda Sihat peringkat kebangsaan pada 2021.

Dalam masa yang sama, Cikgu Abdul Muiez juga memenangi pertandingan video kreatif di peringkat negeri dan menjadi johan pada pertandingan video kreatif Piala Timbalan Menteri Pendidikan.

Sepanjang 2020 hingga 2023, banyak yang Cikgu Abdul Muiez usahakan untuk membantu meningkatkan kemenjadian pelajar di sekolah.

Beliau berjaya mencungkil bakat terpendam yang ada pada anak-anak didik. Malah beliau pernah membawa pasukan teater hingga ke peringkat kebangsaan dan berjaya.

Akhir sekali, Sinar Bestari mendoakan semoga kejayaan demi kejayaan akan melatari Cikgu Abdul Muiez sepanjang 20 tahun lagi baki perkhidmatan beliau dalam bidang pendidikan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok