Cikgu Meera jadikan TikTok platform perkongsian ilmu
TikTok, kaedah pembelajaran alaf baru yang memberi banyak manfaat
Kemunculan pelbagai aplikasi baru salah satunya TikTok telah menjadi satu platform perkongsian ilmu yang semakin mendapat tumpuan orang ramai termasuklah warga pendidik.
Mana tidaknya, dengan hanya memuat naik video ia kini boleh dijadikan sebagai satu kaedah pembelajaran alaf baru yang memberi manfaat serta boleh diakses oleh semua orang tanpa batas dan mengira waktu.
Guru Pendidikan Muzik Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pekan, Kedah, Cikgu Nur Ameera Nabila Azmi berkata, kewujudan aplikasi itu sedikit sebanyak membolehkan dirinya berkongsi ilmu tentang Pendidikan Muzik dari segi nyanyian, latihan persembahan termasuklah kepelbagaian irama syair.
Kongsi ilmu menerusi video
Beliau yang sudah lama bergiat aktif di aplikasi berkenaan berkata, perkongsian video yang dimuat naik membantu guru-guru serta murid di sekolah seluruh negara mempelajari seni itu tanpa perlu bersemuka dengannya.
“Sebelum ini saya banyak berkongsi video tentang Pendidikan Muzik atau latihan persembahan nyanyian murid-murid saya.
“Sejak akhir-akhir ini baru saya mula berkongsi video tentang kepelbagaian irama syair yang boleh dijadikan rujukan guru serta murid lain sekiranya mereka terlibat dalam pertandingan syair.
“Jadi tidaklah semua sekolah menggunakan irama yang sama selain menjadikan persembahan syair lebih menarik,” ujarnya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Utamakan kandungan yang beri manfaat
Mengulas lanjut tentang isu pelajar sekolah mula menceburi bidang pencipta kandungan (content creator), Cikgu Ameera atau Cikgu Meera memberitahu, ia satu usaha yang bagus namun hendaklah juga tidak mengetepikan pembelajaran.
Beliau berpendapat, mereka yang berjinak-jinak untuk menjadi pencipta kandungan di media sosial perlu menitikberatkan kandungan yang berilmu dan dapat memberi pengajaran kepada orang lain.
“Sebolehnya biarlah kandungan tersebut mempunyai ilmu yang boleh dimanfaatkan serta memberi pengajaran kepada setiap lapisan penonton.
“Saya juga ingin menegaskan untuk mereka ini tidak terlalu taksub dengan menjadi pencipta kandungan sehingga melupakan tanggungjawab sebagai pelajar sekolah,” katanya.
INFO
Tip hasilkan content di media sosial dengan menarik
1) Kenali audiens
Penting untuk mengenali terlebih dahulu audiens di media sosial bagi mengetahui pola aktiviti sebelum merancang kandungan yang bersesuaian serta dimuat naik mengikut waktu yang lebih sesuai.
2) Menganalisis jenis kandungan yang dimuat naik
Ini adalah penting bagi mengetahui jenis kandungan yang lebih digemari dan sesuai oleh para penonton sama ada berbentuk video atau gambar. Ia juga akan menarik perhatian dan minat penonton untuk terus mengikuti di media sosial.
3) Belajar hasilkan satu kandungan yang mudah
Sebagai permulaan, cuba hasilkan satu video yang mudah walaupun hanya menggunakan telefon pintar. Malah hari ini juga terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan untuk meningkatkan kreativiti dan kandungan unik.
4) Komitmen dan konsisten
Walaupun bergelar seorang pelajar sekolah namun sekiranya berminat untuk berkongsi kandungan video, anda juga hendaklah konsisten meskipun terpaksa membahagi masa antara pelajaran dan bidang pencipta kandungan. Cuba cari masa yang sesuai yang hasilkan kandungan dan memuat naik mengikut masa yang sesuai.
5) Ketengahkan keunikan diri
Perkara lain yang diperlukan oleh pencipta kandungan adalah penjenamaan peribadi. Kuatkan ciri-ciri yang dimiliki dengan meneroka minat terlebih dahulu kemudian kembangkan ia sebagai bahan kandungan utama.