(Dari kanan) Sawittri, Mohd Zamarol, Cikgu Shawn Stanly, Kah Woh, Josephine, Fadzliaton dan Barry Winn bergambar bersama selepas SK RPS dinobatkan sebagai penerima RISE Educator Award 2024 dan menerima tajaan RM20,000 untuk sekolah tersebut.
(Dari kanan) Sawittri, Mohd Zamarol, Cikgu Shawn Stanly, Kah Woh, Josephine, Fadzliaton dan Barry Winn bergambar bersama selepas SK RPS dinobatkan sebagai penerima RISE Educator Award 2024 dan menerima tajaan RM20,000 untuk sekolah tersebut.

Cikgu Shawn Stanly SK RPS Banun terima anugerah utama RISE Educator Award 2024

09 Jun 2024 11:01pm
A
A
A

Guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Banun, Gerik, Perak, Cikgu Shawn Stanly Anthony Dass berjaya meraih hadiah utama sebanyak RM5,000 manakala sekolahnya membawa pulang geran berjumlah RM20,000 menerusi RISE Educator Award anjuran Taylor’s College.

Cikgu Shawn Stanly berkata, kaedah pembelajaran secara simulasi dan pengalaman dunia sebenar telah mencipta persekitaran berbeza serta memberi impak besar kepada murid di sekolah tersebut yang rata-rata mempunyai masalah 3M (membaca, mengira dan menulis).

Menurutnya, wang kemenangan tersebut akan digunakan bagi menyediakan hub pembelajaran bukan sahaja kepada murid tetapi juga komuniti bagi menggalakkan lebih ramai mendapat pendidikan dalam suasana lebih selesa seperti di kawasan bandar.

“Antara projek yang saya usahakan adalah pembangunan simulator penerbangan dan kelas pemuliharaan marin di mana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membantu murid memahami konsep kompleks melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Kaedah ini telah meningkatkan motivasi dan keyakinan mereka untuk bercakap di hadapan khalayak ramai selain memupuk daya tahan serta semangat untuk menuntut ilmu. Sebagai pendidik saya ingin menyediakan peluang pembelajaran dan memperkasakan prestasi akademik pelajar dengan melibatkan lebih banyak aktiviti tambahan melalui kaedah simulasi ini.

“Cara ini akan meningkatkan potensi diri murid dengan memberikan pengalaman pembelajaran dan peluang terbaik untuk merealisasikan cita-cita mereka,” katanya kepada pemberita dalam Majlis RISE Educator Award Ceremony di Restoran Thyme and Tarragon Taylor's College pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Wah; Ketua Interim Fellowship Teach For Malaysia, Sawittri Charun; Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan; Naib Canselor dan Presiden, Taylor's University, Profesor Barry Winn, Timbalan Pengarah Bahagian Sumber Pendidikan dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Fadzliaton Zainudin.

Beberapa guru inspirasi yang turut mendapat undian terbanyak daripada platform media sosial Taylor’s College daripada orang awam iaitu Cikgu Anne Margarette Kho dari SK Belipat, Sarawak; Cikgu Muhammad Anas Murugan Abdullah dari SK Seri Intan, Perak; Cikgu Siti Ainulmursyida Shamsudin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Orkid Desa, Kuala Lumpur dan Cikgu Siti Intan Farahana Mhd Fauzy dari SK Bandar Laguna Merbok, Kedah.

Barisan pemenang RISE Educator Awards 2024.
Barisan pemenang RISE Educator Awards 2024.

Sementara itu, Guru Besar SK RPS Banun, Cikgu Mohd Zamarol Ahmad berkata, geran tersebut akan digunakan bagi mewujudkan hub pembelajaran murid sekolah tersebut.

Tambah beliau, usaha yang dilakukan oleh Cikgu Shawn Stanly sangat luar biasa dalam memperjuangkan pendidikan anak-anak di kawasan pedalaman.

“Geran ini akan memainkan peranan penting dalam mewujudkan hab pembelajaran khusus untuk pelajar kami.

“Kami akan menyokong beliau dalam usaha-usaha masa depannya dan akan sentiasa memperjuangkan usaha guru ini untuk menyediakan pendidikan luar biasa kepada pelajar-pelajar kami,” ujarnya.

Shawn menyampaikan ucapan penghargaan selepas berjaya meraih anugerah utama.
Shawn menyampaikan ucapan penghargaan selepas berjaya meraih anugerah utama.

Dalam pada itu, Kah Wah berkata, perkembangan teknologi dapat membantu lebih ramai murid dan pelajar menguasai silibus pembelajaran yang lebih kompleks sesuai dengan perkembangan semasa.

Ujar beliau, peranan pendidik di negara ini penting bagi merealisasikan aspirasi Pelan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.

“Saya berharap pendidik di negara ini dapat bersama-sama memajukan diri dan memastikan bahawa kita mampu memenuhi cabaran di masa hadapan bukan untuk kita, tetapi demi kepentingan anak-anak serta generasi masa hadapan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok