Fadhlina (dua dari kiri) bersama Cikgu Velerie (dua dari kanan) yang dinobatkan pemenang MTP 2024 pada Sabtu.
Fadhlina (dua dari kiri) bersama Cikgu Velerie (dua dari kanan) yang dinobatkan pemenang MTP 2024 pada Sabtu.

Cikgu Velerie diumum pemenang Malaysia Teacher Prize 2024. 'Komitmen beliau sangat luar biasa. 'Miracles Do Happen' - Menteri Pendidikan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
21 Oct 2024 04:30pm

Majlis Anugerah Malaysia Teacher Prize (MTP) 2024 Sabtu lalu, menyaksikan Guru Pendidikan Khas dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, Sabah, Dr Velerie Wheelervon Primus diumum pemenang dalam anugerah paling berprestij untuk golongan pendidik di negara ini.

Dianjurkan oleh PEMIMPIN GSL dengan sokongan YTL Foundation dan Ecmlibra Foundation, Cikgu Velerie membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000.

Kemenangan beliau dinilai menerusi sumbangannya dalam mendidik anak-anak murid SK Bingkor.

Antara usaha dilakukan guru hebat adalah menggunakan pelbagai jenis kaedah inovatif bagi mewujudkan persekitaran kondusif untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) demi keberhasilan murid dalam aspek literasi, komunikasi dan tingkah laku.

Selain itu, beliau juga giat menjalankan bengkel bersama ibu bapa dan kajian dalam bidang Pendidikan Khas.

Semua yang dilakukan Cikgu Velerie sememangnya luar biasa kerana sanggup berkorban apa sahaja demi melihat anak-anak didik berjaya dalam kehidupan.

Apa yang lebih membanggakan lagi, segala kerja buat ini adalah inspirasi daripada pendidikan anaknya sendiri yang autisme.

No Image Caption

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut tidak ketinggalan merakamkan ucapan tahniah kepada Cikgu Velerie yang muncul pemenang dalam MTP 2024.

"Beberapa bulan yang lalu, saya telah melawat SK Bingkor. Dalam lawatan itu telah menemukan saya dengan Dr Velerie, seorang guru bagi murid berkeperluan khas (MBK) yang sangat percaya dengan miracles.

"Siapa sangka kami berjumpa lagi dalam pentas yang berbeda. Komitmen beliau sangat luar biasa apatah lagi saya sempat menyaksikan hasil tangan beliau mengendalikan aktiviti dalam kelas serta keupayaan beliau memartabatkan anak-anak berkeperluan khas.

"Sempat saya bisikkan kepada beliau bahawa sebahagian daripada agenda bajet untuk MBK ini adalah inspirasi daripada beliau dan guru-guru MBPK yang sentiasa gigih melaksanakan tugas.

"Tahniah Dr Velerie di atas kejayaan dinobatkan sebagai pemenang MTP 2024. Bak kata beliau, Miracles Do Happen," tulisnya di Facebook.

Untuk info, Fadhlina telah diberi penghargaan menjadi tetamu kehormat dalam Majlis Anugerah MTP 2024 yang berlangsung di Khazanah Auditorium, Aras 1, Asia School of Business, Kuala Lumpur.

No Image Caption

Beliau juga menyampaikan hadiah kepada Cikgu Velerie dan barisan finalis MTP 2024 yang terdiri daripada Guru Besar SK Dato’ Wan Kemara, Kedah, Cikgu Mohd Nizam Saidin; Guru Bahasa Melayu dan Sejarah, Sekolah Menengah Perempuan Cina Persendirian, Pulau Pinang, Cikgu Lim Chin Chin; Guru Matematik serta Reka Bentuk dan Teknologi, SK Raja Bahar, Kelantan, Cikgu Saifulnizan Che Ismail dan Guru Pendidikan Seni Visual, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah 2, Kelantan, Cikgu Nik Anita Nik Ahmad.

Turut serta Guru Sains Rumah Tangga (SRT), SMK Badrul Alam Shah, Terengganu, Cikgu Shahira Said; Guru Besar SK RPS Dala (K9), Perak, Cikgu Mohamad Nazri Ishak; Guru Pendidikan Seni Visual, SK Felda Mempaga 02, Pahang, Cikgu Mohd Huzaire Ahmad; Guru Pemulihan Bahasa Melayu dan Matematik, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Fletcher, Selangor, Cikgu Kalaichelvi Jayamohan dan Guru Muzik, SK Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, Cikgu Kamarul Shahril.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp