
Dari air mata kepada makna: Kisah guru baharu temui jiwa di bumi Sarawak
“Ucapan tahniah pihak SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan), tapi sugul daripada pihak saya.”
Itulah kata-kata jujur Cikgu Che Ainie, yang mengimbau kenangan penempatan pertamanya sebagai guru di Sarawak, sekali gus menjadi pengalaman yang akhirnya mengubah hidupnya sebagai pendidik.
Dalam perkongsian di media sosial, beliau bercerita bagaimana surat tahniah daripada SPP pada awalnya membawa rasa gementar kerana perlu berjauhan dengan keluarga dan orang tersayang.
Namun, perjalanan itu menjadi titik tolak kepada satu pengalaman luar biasa.
“Siapa sangka rasa sedih itu akhirnya bertukar menjadi pengalaman bermakna. Saya melihat sendiri budaya masyarakat Sarawak, terutama anak-anak murid kaum Bidayuh. Di situ, saya belajar bahawa menjadi guru bukan sekadar mengajar tetapi satu perjalanan jiwa,” tulisnya.
Beliau juga berkongsi bagaimana pengalaman di pedalaman Sarawak membentuk dirinya menjadi seorang pendidik yang cekal dan sabar serta membuka matanya terhadap erti sebenar pengorbanan.
“Yang sedih tadi telah bertukar kepada satu pengalaman yang mengajar saya banyak perkara tentang sabar, pengorbanan dan indahnya menjadi sebahagian keluarga besar di bumi Sarawak,” katanya lagi.
Cikgu Che Ainie turut menitipkan pesanan buat guru-guru baharu yang bakal berkhidmat di Sabah dan Sarawak agar sentiasa kuat dan berjiwa besar.
“Yang dapat penempatan di S&S (Sabah dan Sarawak), cekalkan diri dan cipta nyala rasa yang tiada siapa mampu padamkan. Lagi banyak ujian ALLAH bagi, lagi cekal jiwa pendidik kita. Trust me!” pesannya penuh semangat.
Beliau turut mengingatkan guru muda supaya menjauhkan diri daripada pengaruh negatif dan kekal berfikiran positif dalam menjalani tugas mendidik.
“Jangan ikut mereka yang toksik dan suka beri alasan. Setiap hari niatkan dalam diri; 'aku sayang kerja aku dan aku ingin jadi guru yang ALLAH reda',” kongsi guru itu
Sebagai bekas pelajar tajaan biasiswa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Cikgu Che Ainie turut berkongsi bagaimana perjalanan hidupnya telah disusun dengan indah.
“Kalau saya pilih biasiswa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), mungkin sekarang saya berada dalam pentadbiran kerajaan... ALLAH dah susun baik perjalanan hidup kita,” tulisnya penuh makna.
Kisah Cikgu Che Ainie mungkin menjadi inspirasi kepada ramai guru muda bahawa penempatan pertama bukan pengakhiran tetapi permulaan sebuah perjalanan jiwa yang luar biasa.
Ringkasan AI
- Ucapan tahniah dari SPP membuat Cikgu Che Ainie gementar kerana perlu berjauhan dengan keluarga
- Penempatan pertama sebagai guru di Sarawak memberi pengalaman bermakna dan pembelajaran tentang budaya setempat
- Pengalaman mengajar di pedalaman Sarawak membentuk dirinya menjadi pendidik yang lebih cekal dan sabar
- Che Ainie menyarankan guru baru yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak untuk kuat dan berjiwa besar
- Beliau percaya pencapaian dan jalan hidupnya sebagai pendidik disusun indah berkat pilihan biasiswa Kementerian Pendidikan Malaysia