Didoakan Ali terus diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menempuh perjalanan menuntut ilmu. Foto: Facebook Maisarah Hannan
Didoakan Ali terus diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menempuh perjalanan menuntut ilmu. Foto: Facebook Maisarah Hannan

'Ziarah ke rumah dibuat untuk cari tahu apakah puncanya? Dan akhirnya saya faham...' - Cikgu Maisarah Hannan

08 Aug 2025 04:56pm

Di saat ramai ibu bapa yang risau anaknya tinggal di asrama, pelajar ini tiada pilihan selain bersetuju untuk masuk demi masa depannya.

"Anak ini harapan keluarga. Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025. Masalah kehadirannya sangat teruk sampai kena amaran kedua ponteng berkala.

"Ziarah ke rumah dibuat untuk cari tahu apakah puncanya? Dan akhirnya saya faham..." demikian hantaran Cikgu Maisarah Hannan Chong Abdullah di Facebook peribadinya pada Khamis.

Catat Cikgu Maisarah Hannan, Ali sukar hadir ke sekolah kerana satu faktor utama.

"Kemiskinan. Tiada tambang untuk ke sekolah, kadang hanya mengharapkan kawan yang datang ambil naik motor untuk ke sekolah. Ada adalah. Tak ada, maka pontenglah," tulisnya lagi.

Sementara itu, Cikgu Maisarah Hannan turut memuat naik hantaran berbentuk dialog yang mengundang sebak netizan.

Perbualan itu berkisar tentang luahan dari hati ke hati antara dirinya, ibu kepada pelajar berkenaan dan Ali sendiri.

Cikgu: Puan boleh carikan Ali (bukan nama sebenar) bas sekolah yang dapat hantar pergi balik? Bayarannya jangan risau, saya selesaikan sampai dia habis SPM.

Ibu: Sudah pernah cari cikgu. Tapi ndakda yang ambil dari sini.

Cikgu: Ali, tinggal asrama saja ya. Boleh?

Diam, senyum, tunduk, diam…(Lama diamnya).

Cikgu: Kalau di asrama senang da mau ke sekolah, ke kelas tambahan, belajar pun tenang, makan minum semua free Ali.

Ali: Cikgu, kalau masuk asrama mau dibayarkah?

Cikgu: Semua free. Barang-barang kelengkapan, peribadi, makanan ringan, duit poket nanti cikgu uruskan ya. (Sengaja saya tawarkan macam-macam kelebihan supaya Ali setuju).

Ali: Bila mau masuk cikgu?

Cikgu: Esok kamu masuk, petang ni cikgu beli semua barang.

Begitulah kehidupan kita. Setiap insan menempuh jalan hidup yang berbeza-beza.

Ada yang dilimpahi kemudahan dan kemewahan manakala ada pula yang perlu berjuang menempuh cabaran serta rintangan tanpa mengenal penat lelah.

Apa-apa pun, Sinar Bestari mendoakan agar Ali terus diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menempuh perjalanan menuntut ilmu.

Semoga setiap pengorbanan yang dilakukan dibalas dengan kejayaan cemerlang nanti.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp