Segelintir pelajar yang mendapat G dalam SPM 2023 baru-baru ini, mengecewakan ramai warga maya.
Segelintir pelajar yang mendapat G dalam SPM 2023 baru-baru ini, mengecewakan ramai warga maya.

Dia tak sepatutnya gagal Bahasa Melayu - Cikgu Sofuan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
31 May 2024 11:35am
A
A
A

“Sekiranya pelajar itu boleh membaca, dia tak sepatutnya gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Lebih-lebih lagi kepada pelajar Melayu. Ini hang (pelajar) boleh bangga pula dengan keputusan teruk itu.”

Luah seorang guru dikenali Sofuan Saadon di akaun Facebooknya pada Khamis.

Hantaran yang dimuat naik itu mungkin ditujukan kepada segelintir pelajar yang mendapat gred Gagal (G) subjek Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 baru-baru ini.

Paling mengecewakan lagi, sikap sesetengah mereka yang tidak malu menayangkan slip keputusan peperiksaan di media sosial.

Menurut Cikgu Sofuan, kertas Bahasa Melayu ada 'jawapan' dalam soalan/bahan tapi pelajar kena pandai cari dan analisis bahan tersebut.

“Bahasa Melayu ini ada empat kertas. Kertas 1 adalah soalan karangan. Ada isi dalam soalan karangan respon terhad dan terbuka. Format Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dulu tak ada isi untuk karangan umum. Tak reti hurai? Hafallah bingkai karangan!

“Kertas 2 pula ada sembilan soalan. Soalan satu (Morfologi) kena cari empat ‘kata’. Empat kata itu ada dalam petikan. Soalan dua (Sintaksis) berkenaan ayat. Kebanyakan soalan kena ubah saja bentuk ayat yang diberi. Contohnya, subjek predikat, biasa/songsang, aktif/pasif dan tunggal/majmuk.

“Manakala soalan tiga (Penyuntingan), pelajar kena cari kesalahan perkataan dalam bahan itu. Soalan empat (BM Standard) sama seperti soalan dua tadi. Ubah sikit pun boleh dapat satu markah daripada empat atau enam,” katanya yang merupakan guru BM.

Artikel Berkaitan:

Sambung beliau lagi, soalan lima (Peribahasa) adalah berdasarkan soalan diberi.

“Ada soalan disediakan peribahasa dan ada soalan kena fikir. Tahun lepas dia bagi dan pelajar kena bagi maksud. Tulis peribahasa saja yang diambil daripada bahan dan boleh dapat tiga markah.

“Soalan enam (Petikan Umum) dan soalan tujuh (Petikan Sastera) lagilah tak patut salah sebab soalan satu dan dua, jawapan dalam bahan. Hanya soalan tiga dan empat kena fikir sendiri.

“Soalan lapan (Novel) yang pertama adalah pemahaman novel. Kalau tak boleh dapat empat markah, baik duduk planet lain saja. Yang penting salin balik jawapan tanpa ubah atau tambah perkataan lain. Ambil bulat-bulat.

“Soalan terakhir Kertas 2 ialah rumusan. Anda (pelajar) sedar tak SEMUA isi dalam stimulus? Berbeza dengan format KBSM dulu yang ada isi tersirat. Perlu fikir sendiri. Jangan bagi alasan tak tahu ‘fokus’. Anda salin pun akan dapat markah walaupun fokus salah. Hanya isi pertama kena penalti,” katanya panjang lebar.

Seterusnya, Cikgu Sofuan berkongsi pula tentang Kertas 3 iaitu Ujian Bertutur dalam SPM.

“Banyak kali cikgu ingatkan yang soalan satu dan dua, jawapan dia dalam petikan! Hang boleh bacakan? Petikan bukan panjang pun.

“Kertas 4 iaitu Ujian Mendengar, takkan tak ada jawapan langsung kalian dapat tangkap daripada audio yang diperdengar? Kalau pun tak boleh dapat markah 30, takkan tak boleh dapat separuh daripada itu?,” ujarnya lagi.

Sebagai cikgu BM, beliau sememangnya tidak boleh menerima sekiranya pelajar itu boleh membaca tetapi GAGAL Bahasa Melayu.

“Awak jawab ke tak sebenarnya?" luahnya lagi.

Terdahulu, Cikgu Sofuan berkongsi yang sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keledang, Menglembu, Perak telah mencipta rekod apabila mendapat peratus lulus tertinggi dalam sejarah penubuhan sekolah berkenaan.

Peratus lulus BM adalah 93 peratus daripada 100 peratus kerana terdapat lima pelajarnya mempunyai masalah Membaca dan Menulis (2M) dan semua sembilan kelas bukan penutur jati BM.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok