FImie menunjukkan bahasa isyarat yang membawa maksud 'aku sayang kamu'.
FImie menunjukkan bahasa isyarat yang membawa maksud 'aku sayang kamu'.

Fimie Don jadikan kemahiran berbahasa isyarat mudahkan urusan dalam dunia lakonan

AZLEENDA SAHALUDIN
24 Jul 2023 10:34am
A
A
A

Komunikasi tanpa bunyi atau lebih dikenali sebagai bahasa isyarat adalah satu bentuk perbualan yang digunakan dalam komuniti orang kurang upaya (OKU) bagi kategori pekak dan bisu.

Dengan menggunakan pergerakan tangan, bahasa isyarat kini dilihat satu kepentingan untuk dipelajari semua golongan supaya mudah untuk berkomunikasi dengan golongan berkenaan.

Benar, mempelajari bahasa baharu yang bukan bahasa ibunda adalah satu nilai tambah dalam diri seseorang namun sekiranya mampu berbahasa isyarat, ia satu kelebihan buat mereka sama ada dalam dunia pekerjaan atau sebaliknya.

Fimie Don
Fimie Don



Bagi pelakon terkenal, Shafimie Saedon atau lebih dikenali sebagai Fimie Don, boleh berkomunikasi dalam bahasa isyarat adalah satu kelebihan yang ada pada dirinya untuk memudahkannya berinteraksi dengan golongan pekak dan bisu.

Katanya, sebagai rakyat di negara berbilang kaum yang bukan sahaja berbeza bahasa dan mempunyai kepelbagaian komuniti antaranya pekak dan bisu adalah penting untuk seseorang itu mahir menggunakan bahasa isyarat.

“Ramai berkata, orang yang boleh berkomunikasi dalam bahasa lain seperti India dan Cina adalah aset penting terutamanya dalam dunia pekerjaan.

“Akan tetapi rugi sekiranya tidak mengetengah dan mengutamakan bahasa isyarat kerana ia satu cara untuk berbual dengan mereka yang tidak boleh melontarkan suara dan juga tidak boleh mendengar,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Permulaan pelajari bahasa isyarat

Bercerita lebih lanjut tentang kebolehannya berbahasa isyarat, Fimie menjelaskan, pada awalnya agak sukar untuk mendalami dan menghafal segala pergerakan tangan dan jari.

Ini kerana ia bukanlah bahasa yang selalu digunakan, namun siapa sangka pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terbit rasa ingin mempelajari bahasa itu semula.

FImie menunjukkan bahasa isyarat yang membawa maksud 'aku sayang kamu'.
FImie menunjukkan bahasa isyarat yang membawa maksud 'aku sayang kamu'.

“Dahulu pernah belajar ABC dalam bahasa isyarat dengan kanak-kanak OKU sewaktu terlibat dalam rancangan Adik Di 9.

“Tetapi apabila tidak dipraktikkan lupa semuanya sampailah PKP saya mula membuat siaran langsung (live) di media sosial dan kebetulan pada waktu itu ada berapa peniaga bisu menjual baju terpakai (•bundle•).

“Daripada situ saya mula mempelajari sedikit demi sedikit penggunaan bahasa isyarat bagi memudahkan urusan jual beli,” jelasnya.

Ulas Fimie lagi, dia turut terlibat dalam satu sesi penggambaran telefilem bersama seorang gadis pekak dan bisu serta pempengaruh terkenal di aplikasi TikTok iaitu Ciknis.

Sejak itu, dia semakin mahir menggunakan bahasa isyarat malah menjadi pengantara Ciknis dengan produksi bagi memudahkan urusan sepanjang penggambaran.

Kenapa perlu mahir bahasa isyarat?

Sebagai seorang pelakon yang mula berkecimpung dalam dunia lakonan sejak berusia lima tahun, Fimie memberitahu, dia berasa seronok dan teruja kerana boleh berbahasa isyarat apatah lagi kemahiran itu turut digunakan dalam lagu baharunya bersama Faizal Tahir.

Di hujung muzik video lagu bertajuk SAMBUT itu Fimie sempat mengaplikasikan bahasa isyarat yang membawa maksud 'Sampai Aku Mati Buat Untuk Tuhan'.

Video muzik lagu tersebut lebih menarik dan mereka yang tidak boleh mendengar akan faham tentang maksud sebenar lagu yang ditulis olehnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Fimie sempat berkongsi tip kepada mereka yang berminat untuk mempelajari bahasa isyarat ini.

Ujarnya, setiap perkara yang dilakukan hendaklah disertakan latihan yang berterusan agar ia tidak mudah dilupakan.

“Praktis dan terus praktis di samping perlu dibuat bersama rakan kerana sekiranya salah mereka boleh tegur dan betulkan.

“Selain itu, untuk lebih mudah faham disarankan mengajar orang lain.

“Jadi, teruskan mengajar mereka yang tidak tahu berbahasa isyarat agar kita juga akan jadi lebih bijak dan mahir,” katanya•.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok