Gemar tonton filem seram, Nasa Yusof kongsi genre thriller melalui penulisan
Memulakan kerjaya sebagai seorang penulis buku lebih-lebih lagi genre seram, jenayah dan ngeri (thriller) pastinya ia satu perjalanan yang penuh cabaran.
Mana tidaknya, penulisan dengan genre berkenaan memerlukan hasil yang bukan sahaja menarik tetapi mampu memberi kesan nyata (real) kepada pembaca agar mereka dapat merasai sebuah penceritaan dengan gambaran luar biasa.
Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, hari ini semakin ramai penulis-penulis baharu menghasilkan novel bergenre seram dan thriller memandangkan permintaan semakin banyak daripada pembaca yang mula beralih arah meminati novel genre berkenaan berbanding kisah-kisah cinta.
Bagi Nur’ Azyyati Shaiful Azman atau nama penanya, Nasa Yusof, kerjaya sebagai penulis novel genre seram dan thriller ini memerlukan imaginasi luar kotak supaya pembaca dapat merasai keseraman serta kengerian ketika membaca setiap baris ayat yang dihasilkan.
Katanya, penulisan novel yang baik dan berkualiti bukanlah dilihat dari sudut pengakhiran cerita yang gembira tetapi mampu mewujudkan unsur kejutan atau tidak disangka-sangka (plot twist) sehingga mampu membuatkan pembaca tercengang ketika menghabiskan pembacaan.
Penulis yang berasal dari Muar, Johor itu memberitahu, penulisan yang terperinci juga memainkan peranan penting untuk membuat pembaca berimaginasi sendiri ketika membaca sesebuah novel.
Perjalanan sebagai penulis buku genre thriller
Ketika ditanya mengenai perjalanannya memulakan kerjaya sebagai seorang penulis buku thriller, Nasa memberitahu, dia amat meminati filem-filem seram luar negara dan gemar membaca kisah seram.
Bermula dari situ pada tahun 2016, Nasa mula menghantar penulisannya untuk dimuat naik di platform media-media sosial seperti Facebook untuk dibaca secara percuma.
“Ketika itu banyak tempat yang boleh dimuat naik penulisan untuk dibaca orang ramai antaranya Arkib Angker Negara dan Kisah-Kisah Seram yang merupakan satu halaman (page) di Facebook.
“Saya juga pada awalnya menulis hanya sekadar suka-suka sebelum membuat keputusan untuk menghantar satu manuskrip penuh sebuah novel kepada sebuah syarikat penerbitan tempatan,” beritahunya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ujar Nasa lagi, hasil penulisannya yang pertama telah ditolak disebabkan beberapa faktor seperti format penulisan yang tidak menepati ciri-ciri dikehendaki.
Tidak mudah menyerah, ibu kepada seorang cahaya mata itu telah menghantar penulisannya buat kali kedua pada 2018 dan akhirnya berjaya diterbitkan buat kali pertama dengan tajuk Mastermind.
Bercerita lanjut mengenai pencapaiannya dalam bidang penulisan, wanita berusia 37 tahun itu memaklumkan pernah mengalahkan 190 orang peserta dalam satu pertandingan mencari penulis buku thriller dengan merangkul gelaran juara pada 2019.
Terbitnya idea menulis buku
Sebagai seorang yang gemar menonton filem dan membaca kisah seram atau fakta-fakta jenayah yang berlaku dalam negara, ia memberikan satu idea baharu untuk Nasa menterjemahkan kisah-kisah ini ke dalam sebuah novel.
Katanya lagi, bermula dengan menerima fakta dan berita sesuatu kes seperti pembunuhan atau jenayah yang berlaku, dia akan mengolah peristiwa tersebut menjadi satu penceritaan yang dapat menarik perhatian pembaca.
“Sebagai contoh, sekiranya ada kes seorang gadis yang dirompak tengah malam dan dibunuh.
“Dari situ, saya akan kembangkan idea dengan menambah kemungkinan seperti sebelum kejadian tersebut dia diganggu atau berlakunya kes-kes lain,”tuturnya lagi.
Tambahnya yang juga merupakan seorang pereka kulit buku dan tudung, suasana dan persekitaran sunyi antara faktor membantu dirinya untuk fokus dan menyiapkan sesebuah penulisan novel.
Beliau akan mencari masa yang sesuai dan sunyi sebelum menulis dan sekiranya ingin menyiapkan karya dengan lebih cepat Nasa akan membawa komputer ribanya ke taman atau pantai bagi mengambil ‘mood’ untuk menjana idea.
Malah, bergelar ibu kepada cahaya mata yang baru berusia enam bulan juga sedikit sebanyak antara cabaran yang perlu ditempuh untuk menyiapkan sesuatu karya.
“Cabaran utama apabila ada anak yang masih kecil ialah kita perlu bijak mencuri masa contohnya ketika anak sedang tidur.
“Sepanjang dia tidur, masa yang ada memang digunakan sepenuhnya untuk menyiapkan kerja-kerja penulisan,” ujarnya.
Selain itu, tegasnya, walaupun novel yang dihasilkan lebih memfokuskan genre thriller dan seram namun Nasa sama sekali tidak pernah lupa untuk menerapkan unsur-unsur pengajaran dan nilai murni agar dijadikan iktibar kepada pembaca.
Melalui penulisan, dia dapat menitip pesan sebagai ingatan kepada semua pembaca dan masyarakat tentang bahaya yang boleh berlaku di luar rumah.
Mengakhiri perbualan, Nasa sempat memberitahu kerjaya sebagai seorang penulis novel adalah terbuka kepada semua yang berminat untuk menulis dan mengarang cerita.
Ini kerana katanya, semua orang mempunyai idea dan imaginasi tersendiri dan untuk itu mereka boleh menyampaikan idea tersebut dalam bentuk penulisan novel.
“Sebagai seorang penulis novel, saya tidak terikat dengan sebarang peraturan dan syarat untuk mengarang sesebuah cerita.
“Selagi mana ia tidak melan•ggar isu-isu sensitif, jadi semua orang boleh cuba menulis dan menghasilkan novel sendiri.
“Siapa tahu hasil penulisan tersebut berjaya diterbitkan dan dari situ ia boleh menghas•ilkan pendapatan yang lumayan,” ujarnya.
Senarai novel yang ditulis oleh Nasa Yusof
1) Mastermind
2) Jangan Tonton PAWAGAM
3) Arraroa
4) Seriau
5) Gadis
6) Darra
7) Tollgate
8) Implisit
9) Projek Seram Flat
10) Dendam
11) M.A.T.I