Guru besar bersara atas pelamin?
Persaraan di atas pelamin mungkin menjadi kenangan yang tidak dilupakan buat Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Manjoi Dua, Fazilah Abd Aziz selepas menabur bakti dalam bidang pendidikan selama 35 tahun.
Lebih manis lagi, hari terakhirnya di sekolah itu ditemani suami tercinta, Badrul Hisham Yusof yang juga merupakan seorang pendidik.
Fazilah memilih untuk menamatkan karier sebagai pendidik pada usia 56 tahun selepas memulakan kerjaya berkenaan pada 3 Januari 1989.
"Saya memilih untuk bersara pilihan pada usia 56 tahun kerana sudah puas dengan pencapaian yang diperoleh sepanjang kerjaya ini.
"Dalam tempoh lebih 34 tahun itu, saya pernah menjadi Guru Besar SK Kampung Maamor Sungai Siput, SK Sungai Rapat Ipoh, SK Raja Perempuan Ipoh dan berakhir di sini," katanya sempena Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih di Dewan Orang Ramai Sungai Tapah, Manjoi, Perak.
Lebih manis, majlis sambutan persaraannya diadakan dengan sambutan penuh tradisional, diiringi pembawa bunga manggar dan lapan hulubalang terdiri daripada murid SK Manjoi Dua.
Acara turut diserikan persembahan tarian tradisional lemak manis, persembahan angklung, ukelele dan kompang.
Kemeriahan majlis itu dirasai apabila lebih 200 murid sekolah tersebut bersama ibu bapa, guru, pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Negeri Perak dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara menyaksikan 'persandingan'.
Majlis menjadi lebih signifikan apabila penyampaian watikah persaraan turut diserahkan kepada Fazilah yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pemulihan Khas Kinta Utara, Mohd Mubarak Hussin.