No Image Caption

Guru cemerlang tidak tercalon APC atas alasan beri kepada cikgu 'lama berkhidmat'!

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
03 Sep 2024 03:18pm

Setiap tahun Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dianjurkan bagi memberi pengiktirafan dan menghargai prestasi kerja penjawat awam yang cemerlang di Malaysia.

Semua pekerja dalam perkhidmatan awam layak menerima anugerah ini termasuklah golongan guru yang sentiasa berdedikasi tinggi dalam mendidik murid demi masa depan pendidikan negara.

Disebabkan itulah, APC ini sebagai salah usaha menjadi daya penarik kepada pegawai-pegawai lain untuk bersama-sama meningkatkan lagi taraf perkhidmatan demi mencapai matlamat organisasi termasuklah warga pendidik.

Namun lain pula ceritanya yang dikongsi di laman Facebook bekas guru, Mohd Fadli Saleh yang berkongsi mengenai kekecewaan seorang rakan guru disebabkan tidak berpeluang menerima anugerah berprestij itu walaupun berkelayakan.

“Kelmarin seorang kawan mengeluh. Markah prestasi dia tinggi selayaknya dia dapat markah itu sebab memang orangnya cukup berdedikasi apabila membuat tugasan.

“Banyak program dia rangka dan jayakan. Kalau tidak silap markah dia paling tinggi berbanding rakan sejawat yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Namun pentadbir panggil dan bisik kepadanya, ‘maaf ya cikgu. Kami calonkan orang lain untuk APC. Dia dah berbelas tahun berkhidmat tapi belum pernah dapat APC’.

“Cikgu baru tiga tahun di sini,” tulisnya.

Mohd Fadli mendedahkan, situasi seperti ini bukan kali pertama berlaku malah sudah beberapa kali terjadi di seluruh negara sehingga menyebabkan guru yang layak diberi pengiktirafan terlepas untuk menerimanya.

“Guru baru yang sangat cemerlang bekerja tetapi tidak dicalonkan sebab baru bertugas.

“Beri peluang kepada yang lebih lama (cikgu yang sudah lama berkhidmat) tetapi tidak pernah dapat,” katanya lagi.

Justeru, Mohd Fadhli turut mencadangkan, jika benar-benar ingin mengiktiraf guru berdasarkan perkhidmatan yang lebih lama adalah lebih elok jika diberikan menerusi pengenalan anugerah lain.

“Kalau hendak beri anugerah berdasarkan senioriti buat satu lagi kategori lain iaitu Anugerah Guru Paling Berpengalaman.

”Anugerah itu diberi mengikut senioriti tetapi APC wajib dapat kepada mereka yang benar-benar cemerlang sahaja.

“Kerja bukan main fokus, buat pelbagai aktiviti tambahan duit poket dan masa banyak diluangkan. Akhirnya nama yang biasa-biasa naik dengan alasan lama berkhidmat. Hilang motivasi dan semangat orang,” tulisnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp