Sudah tiba masanya untuk kerajaan memandang serius suara guru ganti.
Sudah tiba masanya untuk kerajaan memandang serius suara guru ganti.

Guru ganti: Wira tanpa nama dalam sistem pendidikan

13 May 2025 09:35am

Bayangkan seseorang mengajar tanpa gagal selama tujuh tahun, mengendalikan kelas, menanda latihan malah menjadi rujukan pelajar, namun masih belum diiktiraf sebagai guru tetap.

Itulah realiti pahit yang dilalui oleh seorang guru ganti, Cikgu Mohamad Ridzuan Mohamed Ali Jinnah yang mana ia mungkin berlaku juga kepada sebilangan besar pendidikan yang lain.

Mohamad Ridzuan merupakan salah seorang daripada ratusan, mungkin ribuan guru ganti di seluruh negara yang menyumbang kepada kelangsungan pendidikan nasional.

Apabila guru tetap bercuti sakit, bersalin atau menghadiri kursus, guru ganti dipanggil masuk bagi mengisi kekosongan. Namun, status mereka kekal sementara dan sering dipandang sebagai 'pengisi ruang'.

Mengikut takrifan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), guru ganti boleh dilantik dalam kalangan pemegang Sijil Pelajar Malaysia (SPM), diploma atau ijazah.

Namun, mereka tidak diwajibkan memiliki kelayakan ikhtisas pendidikan. Meskipun demikian, ramai dalam kalangan mereka berpengalaman luas dan membuktikan kecekapan yang setanding, malah kadangkala mengatasi guru terlatih.

Persoalannya, adakah adil untuk menafikan peluang kerjaya tetap hanya kerana kekurangan kertas sijil sedangkan mutu kerja dan sumbangan mereka sudah pun terbukti?

Sistem pendidikan negara kini mengurus lebih 10,000 sekolah dengan hampir lima juta murid dan pelajar. Dalam ekosistem sebesar ini, guru ganti bukan sekadar pelengkap tetapi elemen penting dalam kesinambungan pengajaran.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) wajar mempertimbangkan mekanisme penyerap guru ganti ke jawatan tetap secara lebih sistematik.

Antara pendekatan yang boleh diambil termasuk menawarkan latihan ikhtisas secara sambilan atau laluan khas untuk guru ganti yang telah berkhidmat lebih tiga tahun dan mempunyai rekod prestasi cemerlang.

Dalam usaha melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap global, kita tidak boleh terus menafikan sumbangan kelompok pendidik ini. Pengiktirafan selayaknya akan membina semangat mereka seterusnya membawa manfaat besar kepada para pelajar.

Justeru, sudah tiba masanya untuk kerajaan memandang serius suara guru ganti. Mereka bukan bayang-bayang tetapi tunggak pendidikan dalam senyap!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp