Arahan mencetak e-RPH seperti dinyatakan dalam Soalan Lazim (FAQ) telah ditarik balik serta-merta, demikian kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan.
Arahan mencetak e-RPH seperti dinyatakan dalam Soalan Lazim (FAQ) telah ditarik balik serta-merta, demikian kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan.

Guru tarik nafas lega arahan cetak e-RPH dibatalkan KPM!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
02 May 2025 01:45pm

"Alhamdulillah. KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) mendengar."

"Terima kasih KPM kerana cakna dengan kami."

Itulah luahan penuh kelegaan yang dizahirkan oleh ramai guru di seluruh negara susulan pengumuman penting KPM berkaitan isu mencetak Rancangan Pengajaran Harian Secara Dalam Talian (e-RPH).

Menerusi kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan, beliau memaklumkan bahawa arahan mencetak e-RPH seperti dinyatakan dalam Soalan Lazim (FAQ) telah ditarik balik serta-merta.

Katanya, guru hanya perlu memastikan e-RPH sentiasa tersedia dan boleh dikemukakan apabila diperlukan tanpa kewajipan mencetaknya setiap minggu.

Dalam perkara ini, bekas guru tersohor, Cikgu Mohd Fadli Salleh mendapat pujian ramai kerana berani bersuara dalam isu berkenaan.

Dek kelantangan itu, ramai guru berterima kasih atas usaha yang dilakukan biarpun beliau tidak lagi bergelar pendidik di KPM.

"Tahniah Cikgu Mohd Fadli Salleh di atas perjuangan cikgu memartabatkan profesion perguruan Malaysia. Kerana suara cikgu, beban tugas kami menjadi ringan sedikit.

"Inilah hikmah cikgu pencen. Bersuara demi rakan-rakan guru di mana kami penjawat awam tidak boleh menyuarakan hak tanpa izin ketua jabatan di media sosial."

No Image Caption

Sebagai makluman, RPH merupakan satu dokumen mengenai perancangan dan penerangan terperinci setiap guru tentang pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah yang disediakan sebelum proses pembelajaran di kelas.

Dokumen ini bertindak sebagai panduan (guideline) yang komprehensif tentang topik yang akan diajar agar selari dengan silibus yang ditetapkan KPM.

RPH juga berfungsi memberi gambaran tentang bagaimana sesuatu topik atau sukatan pelajaran akan diajar.

Kepentingan RPH

Proses penyediaan RPH mungkin sedikit merumitkan bagi sesetengah guru tapi ia memberi manfaat yang berikut:

1) Menjadi bukti dokumen persediaan guru-guru sebelum mengajar

2) Membolehkan sesuatu kelemahan yang perlu diperbaiki dan boleh diusahakan untuk sesi PdP akan datang

3) Memberi guru panduan yang terperinci untuk diikuti, jadi ia membantu mereka menjadi guru yang lebih baik

4) Memastikan keseluruhan kelas anda berada di landasan yang betul mengikut silibus yang telah ditetapkan

No Image Caption

Terdapat beberapa isi kandungan penting yang boleh dimasukkan dalam dokumen RPH guru-guru.

Antaranya adalah:

1) Objektif pembelajaran

  • Ia seharusnya perlu realistik dan boleh dicapai serta diukur pada akhir sesi PdP.

2) Kandungan atau topik khusus

  • Isi kandungan termasuk topik khusus dan bagaimana ia berkaitan kembali dengan sukatan kurikulum kebangsaan adalah perkara kedua yang biasanya terdapat dalam RPH.

3) Aktiviti PdP

  • Rancangan yang terperinci, ini termasuk rutin yang dijangkakan, aktiviti yang akan dijalankan serta soalan dan jawapan kepada penilaian.

4) Penilaian

  • Penilaian adalah pelbagai dan boleh berbentuk soalan aneka pilihan atau ujian formatif.

5) Tugasan

  • Komponen ini subjektif kerana rancangan tugasan juga boleh terkandung semasa PdP yang biasanya terdiri daripada soalan, latihan dan set latihan yang ditentukan oleh guru mengikut topik dan keperluan sukatan kurikulum.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp