Petugas sedang memadamkan kebakaran di sebuah sekolah di Dhaka akibat nahas jet pejuang. Gambar kanan: Maherin Chowdhury.
Petugas sedang memadamkan kebakaran di sebuah sekolah di Dhaka akibat nahas jet pejuang. Gambar kanan: Maherin Chowdhury.

Guru terkorban ketika selamatkan murid dalam nahas jet pejuang

24 Jul 2025 12:44pm

Seorang guru Bahasa Inggeris di Bangladesh meninggal dunia selepas menyelamatkan puluhan murid daripada kebakaran akibat nahas jet pejuang di sebuah sekolah utara Dhaka Isnin lalu.

Mangsa, Maherin Chowdhury, 46, dilaporkan berulang kali berlari masuk ke dalam bangunan yang terbakar untuk menyelamatkan murid-murid walaupun tubuhnya terbakar.

Insiden itu berlaku apabila pesawat F-7 BGI milik Angkatan Udara Bangladesh yang sedang menjalani misi latihan rutin mengalami kegagalan mekanikal lalu terhempas di kawasan sekolah berkenaan.

Tragedi tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang, kebanyakannya kanak-kanak termasuk juruterbang pesawat terbabit.

Adik mangsa, Munaf Mojib Chowdhury, memberitahu Reuters, dia hanya mengetahui kisah keberanian kakaknya selepas menemui murid-murid yang terselamat di hospital.

"Saya tidak tahu jumlah tepat, tetapi kemungkinan sekurang-kurangnya 20 orang berjaya diselamatkan. Dia menarik mereka keluar dengan tangannya sendiri," katanya.

Guru sekolah, Khadija Akter pula menggambarkan tindakan Maherin sebagai luar biasa kerana ketika semua orang melarikan diri, dia memilih untuk menyelamatkan nyawa murid-murid.

"Ketika pesawat jatuh dan api mula merebak, semua orang berlari menyelamatkan diri. Tetapi dia berlari untuk menyelamatkan orang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut saksi, suami Maherin menelefon meminta meninggalkan lokasi, namun dia enggan.

"Dia menjawab mereka juga anak-anak saya dan terbakar. Bagaimana saya boleh tinggalkan mereka?" ujarnya.

Maherin menghembuskan nafas terakhir akibat luka bakar parah pada hari kejadian dan dikebumikan di kampung halamannya di Distrik Nilphamari, Bangladesh utara.

Dia meninggalkan seorang suami serta dua anak lelaki remaja.

WARTAWAN: ROSKHOIRAH YAHYA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp